Kuantan - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan mengadakan sesi penerangan khas dalam masa terdekat mengenai bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu kepada warga Kuantan bagi mengelak kekeliruan.
Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, dengan penerangan itu, MPK tidak lagi menjadi sasaran masyarakat jika mereka berasa tidak berpuas hati sebaliknya merujuk kepada agensi berkenaan.
Menurutnya, ini kerana masyarakat masih menganggap setiap kerja yang dilaksanakan di kawasan pentadbiran PBT itu dilakukan MPK sedangkan ia turut membabitkan agensi kerajaan lain.
“Sebagai contoh, kerja menaiktaraf beberapa jalan utama seperti Jalan Tun Ismail, Jalan Beserah dan Jalan Gambut diselenggarakan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Begitu juga masalah sampah yang dikendalikan sepenuhnya Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) di bawah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA).
“Saya juga ada menerima aduan mengenai masalah bot nelayan tersadai di Sungai Kuantan dikatakan di bawah bidang tugas MPK sedangkan ia bidang kuasa Jabatan Laut dan kerja mendalamkan sungai adalah di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Zulkifli mengakui terkilan kerana masyarakat khususnya warga Kuantan masih tidak memahami bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
“Saya juga bersetuju penerangan lebih jelas akan disiarkan dalam laman sesawang MPK untuk makluman lebih terperinci bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.
Dalam pada itu, MPK juga berusaha memenuhi syarat untuk mencapai taraf bandaraya.
Zulkifli berkata, walaupun kerajaan negeri belum bercadang berbuat demikian namun seluruh warga MPK sudah berusaha ke arah itu.
Menurutnya, segala syarat yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dilaksanakan sebaik mungkin.
“Antaranya adalah dari segi memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Kuantan supaya dapat memudahkan kementerian untuk menilai tahap keupayaan MPK sebelum dinaik taraf sebagai bandaraya.
“MPK kini berusaha memenuhi segala syarat yang ditetapkan KPKT dan kita bersedia pada bila-bila masa untuk diiktiraf sebagai bandaraya,” katanya.
Zulkifli berkata, beliau yakin MPK mampu melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar sekiranya dinaiktaraf menjadi bandaraya.
Pada sidang Dun ke 13 baru-baru ini, kerajaan negeri memaklumkan belum bercadang menaik taraf MPK kepada Majlis Bandaraya Kuantan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ke arah itu sudah bermula sejak 1997 dan perbincangan mengenainya dengan KPKT masih berjalan.
Menurutnya, perbincangan itu membabitkan banyak peringkat yang mana peringkat pertama sudah dimulakan sejak 1997 hingga 2000 lalu.
Perbincangan mengambil masa memandangkan banyak aspek perlu diambil kira dan kriteria perlu dipenuhi PBT sebelum diiktiraf dengan status bandaraya.


Tolong jgn main wayang lah. Sudah banyak kali aduan dibuat akibat perumahan depan airport, kuantan tiada jalan masuk utama tetapi apa tindakan MPK? Tiada tindakan lansung.....kini ada pula kedai dibuat atas rizab jalan didepan airport, pun tiada tindakan juga. Sudah2lah duk tipu rakyat kuantan.