Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 12, 2014

PKR: SUAMI VS ISTERI

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk SeriAnwar Ibrahim sah bertanding jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan pada Mei ini.

Ini disahkan Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul pada sidang media calon pemilihan Keadilan 2014 pada Jumaat.

Wan Azizah yang sudah memegang jawatan itu selama 15 tahun bakal bertanding dengan Anwar yang kini sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas disabit kesalahan meliwat.

"Bagi jawatan presiden, setakat jam 12 pada 11 April hari ini, masih kekal dua calon. Calon nombor satu adalah Datuk Seri Wan Azizah dan calon nombor dua Datuk Seri Anwar Ibrahim," Johari Abdul memberitahu.

Semalam, calon Timbalan Presiden, Tian Chua yang merupakan Ahli Parlimen Batu serta Ketua Cabang Puchong, S Murali mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan tersebut.

Empat calon yang akan terus bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua PKR Batang Kali Datuk K Ramachandran dan Azmin Ali.

Bagi jawatan Naib Presiden, 14 calon disahkan bertanding setelah Elizabeth Wong disahkan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan itu.




Pada sidang media tersebut, Johari Abdul menegaskan bahawa tindakan keras akan diambil terhadap calon yang melanggar garis panduan pertandingan.

"Saya ingin menekankan bahawa sebarang tindakan yang boleh menunjukkan kekerasan atau ugutan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Selain itu, kami juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tujuan membeli undi menerusi pemberian wang, material atau janji," kata Johari.

Sementara itu, Johari menjelaskan bahawa pimpinan di pusat mengambil keputusan untuk mempertimbangkan calon yang belum mencukupi 12 bulan menjadi ahli untuk mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini.

Menurut Johari, kelonggaran itu dibuat melalui permohonan rayuan yang dikemukakan kepada presiden parti sebelum dipertimbangkan sama ada individu tersebut akan dibenarkan bertanding atau tidak.

" Mereka yang telah memohon untuk menjadi calon ada 247 orang bertanding di kalangan mereka yang tidak cukup 12 bulan dan saya jangka jumlah ini akan bertambah," tambahnya.

Pemilihan PKR akan bermula pada 26 April dan berakhir pada 11 Mei dimana seramai 496,923 anggota yang layak mengundi akan menentukan kepimpinan parti tersebut.

0 comments:

share2