Kuantan - Sepasang suami isteri hanya mampu melihat semua barangan keperluan dan perabot mereka hangus selepas rumah sewa mereka dijilat api dalam kejadian kebakaran petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam tiga petang selepas Wan Saiful Rizal Wan Abdul Razak, 38 dan isterinya Zalini Abdullah, 30 keluar ke rumah ibunya bersama empat anak mereka sebelum dimaklumkan jiran berdekatan.
Rizal yang bekerja sebagai pemandu jengkaut berkata, dia dimaklumkan jiran terbabit sepuluh minit selepas sampai di rumah ibunya dan terus bergegas pulang.
“Malangnya, tiada apa yang sempat diselamatkan kerana api sedang marak dan semua perabot serta pakaian musnah,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang dan akan menumpang di rumah ibunya yang tidak jauh dari rumah sewa itu.
Sementara itu, Zalini berkata, mereka mengesyaki kebakaran itu berlaku akibat petir yang kerana itu kejadian kedua berlaku sejak mereka menyewanya tiga tahun lalu.
Katanya, kejadian berkenaan berlaku awal tahun lalu tetapi mereka sekeluarga ada di rumah dan sempat bertindak memadamkan api selepas petir menyambar kotak elektrik.
Zalini berkata, akibat kebakaran itu, kerugian yang dianggarkan ialah sebanyak RM30,000 termasuk kelengkapan sekolah anak-anaknya yang turut musnah.
Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah yang turut melawat pasangan berkenaan akan membantu mendapatkan bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya akan memohon bantuan khas daripada pejabat Menteri Besar Pahang sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban pasangan berkenaan.
“Kesusahan mereka sedang dalam perhatian JKM dan Pegawai Daerah dan mungkin ada bantuan tambahan segera untuk kegunaan harian sementara keadaan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya tidak meninggalkan anak-anak kecil sendirian ketika musim hujan selain berhati-hati dengan penggunaan elektrik bagi mengelakkan kebakaran.
0 comments:
Post a Comment