Kuala Lumpur: “Walau apapun yang terjadi terhadap MH370, saya yakin krew penerbangan melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan semua penumpang,” Itu tegas bekas pramugari Malaysia Airlines (MAS), Dzuriazrilla Dzulkefli, 44.
Dia percaya rakannya dalam pesawat yang masih hilang berkenaan sudah berusaha sedaya-upaya untuk mengawal sebarang keadaan berdasarkan latihan keselamatan krew MAS.
Katanya, sebagai anak kapal penerbangan MAS, mereka dilatih untuk sentiasa mengutamakan penumpang dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kecemasan di udara.
“Anak Kapal dilatih untuk berdepan apa jua keadaan, sama ada pendaratan kecemasan, rampasan pesawat, cuaca buruk mahupun sabotaj. Tiada situasi yang tidak dapat ditangani melainkan keadaan luar dugaan seperti tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di sini.
Dzuriazrilla yang tujuh tahun bersama MAS, berkata setiap latihan dan ujian yang diberikan amat terperinci dan kegagalan untuk menyempurnakan tugasan boleh menyebabkan kakitangan diberhentikan kerana MAS sejak dulu lagi amat mementingkan aspek keselamatan.
“Ketika saya berkhidmat dulu, anak kapal yang tidak dapat menjawab soalan penyelia ketika sesi taklimat sebelum penerbangan akan diganti dengan anak kapal lain,” katanya.
Katanya, setiap kecemasan mempunyai kaedah tersendiri untuk ditangani contohnya jika berlaku rampasan pesawat, anak kapal tidak diajar untuk melawan sebaliknya bertenang dan berunding secara baik dengan perampas supaya penumpang tidak dicederakan.
“Seingat saya, dalam situasi rampasan pesawat, anak kapal dilatih supaya segera memberi alat komunikasi kepada perampas kerana kebiasaannya mereka mahu berhubung dengan pihak berkuasa untuk membuat tuntutan.
“Dalam keadaan seperti ini, anak kapal perlu sentiasa bertenang dan memikirkan cara supaya penumpang dan pesawat tidak diapa-apakan,” katanya.
“Jika berlaku pendaratan kecemasan pula, lazimnya juruterbang membuat pengumuman kira-kira 30 saat sebelum impak bagi memberi peluang kepada anak kapal memastikan penumpang membuat persediaan keselamatan seperti memakai tali pinggang dan duduk dalam posisi selamat,” katanya.
Dia yang juga mengenali seorang daripada anak kapal MH370 iaitu penyelia Patrick Francis Gomes berharap rakyat Malaysia memberi sokongan kepada MAS serta pasukan mencari dalam menghadapi tragedi menyayat hati ini.
“Tak perlu kita menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya sama-sama berdoa agar misteri MH370 terjawab dalam masa terdekat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment