Kuantan - Tindakan pantas sepasukan anggota bomba berjaya menyelamatkan empat sekeluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia dua daripada rentung selepas mereka terperangkap di tingkat atas sebuah rumah kedai yang terbakar di Jalan Wong Ah Jang, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, seorang ahli keluarga terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas hampir pengsan akibat terhidu asap tebal.
Keluarga terbabit bernasib baik apabila mereka yang ketika itu sedang nyenyak tidur terjaga akibat dikejutkan bunyi bising dan bau asap sebelum mendapati kedai menjual peralatan telekomunikasi di tingkat bawah terbakar.
Penolong Penguatkuasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Mohd Najib Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.24 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira seminit kemudian.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, anggota bomba menyedari ada mangsa terperangkap di tingkat atas lalu bertindak menyelamatkan semua mangsa yang difahamkan tinggal menyewa di premis tersebut.
“Empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, Kuantan dan Taman Tas bersama 22 anggota dikerah ke lokasi bagi membantu mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran.
“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 15 minit kemudian dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian namun tidak tolak kemungkinan ia berlaku akibat litar pintas,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.
Mohd Najib berkata, kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan melebihi RM500,000 apabila telefon bimbit dan aksesori serta perabot dalam premis di tingkat bawah itu musnah terbakar.
0 comments:
Post a Comment