Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 9, 2014

OPERASI KHAS CEGAH SALAH LAKU




Raub - Hasil daripada Operasi Khas yang dijalankan pada 4 dan 5 Mac lalu, sebanyak 182 saman telah dikeluarkan polis daerah ini manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 93 saman melibatkan pelbagai kesalahan.

Puspakom pula telah membuat pemeriksaan ke atas 23 kenderaan dan 11 daripadanya didapati melakukan kesalahan dalam operasi melibatkan pelbagai agensi terbabit.

Operasi timbang juga diadakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di mana mereka turut menjalankan sebanyak 165 pemeriksaan terhadap lori, bas, teksi atau kereta sewa.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Raub bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Raub telah menahan 10 pengguna jalan raya kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh sendiri dan kes terbabit disiasat di bawah seksyen 15(1) ADB 1952.

Selain itu, 10 lelaki warganegara Myanmar ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, di mana kesemua mereka disiasat di bawah seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Ketua Trafik Daerah, Mohd Nazlan Othman berkata, Operasi Khas itu sekali gus membuktikan bahawa pihak berkuasa amat prihatin dengan rungutan yang diberikan masyarakat berkaitan lori bijih dan lori balak yang membawa muatan lebih dan memandu secara berbahaya.

“Operasi ini diketuai oleh saya bersama seorang pegawai kanan polis dan 17 anggota dari pelbagai cawangan memberi tumpuan kepada kenderaan perdagangan seperti lori membawa biji besi, kayu balak, dan kenderaan perdagangan yang melanggar syarat sah permit.

“Ia dijalankan berikutan rungutan orang ramai terhadap lori-lori biji besi dan lori kayu balak yang membawa muatan secara berbahaya akhir-akhir ini sehingga menimbulkan isu dalam kalangan masyarakat setempat seperti kerosakan jalan, kemalangan dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, Polis Daerah Raub telah mengadakan Operasi Khas bersama lain-lain agensi terdiri daripada SPAD, JPJ, Puspakom, Majlis Daerah Raub (MDR), AADK Raub dan Pejabat Kesihatan Daerah Raub di Kilometer 375 jalan Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur.

“Dalam masa sama, Operasi Khas ini juga dijalankan bagi mengesan pesalah lalu lintas yang mempunyai waran tangkap kerana gagal melunaskan saman yang tertunggak.

“Pihak polis juga ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan ketika berada di atas jalan raya. Pihak polis akan bertindak secara tegas kepada mereka yang memandu menyalahi undang-undang sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Bahagian dan Ketenteraman Awam berkata, Operasi Khas sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa.

0 comments:

share2