Endau – Dua orang penduduk Kampung Teriang Kecil bersama dua orang kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Johor yang ditugaskan untuk menyiasat punca kematian seekor penyu yang ditemui mati terdampar di pantai Kampung Teriang Kecil itu, 5 Mac lalu dikejutkan pula dengan penemuan dua lagi bangkai penyu jenis Agar, semalam.
Bagaimanapun, dalam lawatan itu, kakitangan Jabatan Perikanan berkenaan gagal menemui bangkai seekor penyu seberat 200 kilogram yang dilaporkan ditemui seorang pemancing 5 Mac lalu yang dipercayai sudah dihanyutkan ke laut akibat air pasang.
Difahamkan, dua lagi bangkai haiwan berkenaan yang baru ditemui itu dianggarkan berusia lebih 40 tahun dengan ukuran 0.6 meter panjang dan berat kira-kira 50 kilogram seekor.
Penduduk, Mohd Razali Ismail, 39, berkata, beliau yang sering ke pantai berkenaan untuk mengutip botol plastik setakat ini sudah menemui empat bangkai penyu mati terdampar sepanjang bulan ini.
“Saya rasa hairan, apakah sebab penyu-penyu ini mati? Bulan ini sahaja saya sudah menemui empat ekor bangkai penyu terdampar di pantai dengan seekor daripadanya mempunyai kesan belah di bahagian belakang.
“Ada kemungkinan juga penyu-penyu ini mati akibat tersangkut pada jaring nelayan, malah tidak tidak mustahil juga ia akibat perbuatan khianat manusia berdasarkan kesan kecederaan terdapat pada bangkai haiwan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga khuatir ia mungkin disebabkan tumpahan minyak dari kapal yang mencemari sepanjang pantai Kampung Teriang Kecil menjadi punca kematian spesies hidupan laut yang semakin terancam itu.
“Setahu saya ni bukan kawasan pendaratan penyu untuk bertelur atau sebagainya, namun begitu ia seperti ada di kawasan ini dan jumlah bangkai yang ditemui kian bertambah ini bagaikan suatu misteri kepada punca kematiannya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment