Kuala Lumpur - Malaysia Airlines (MAS) melahirkan rasa terkejutnya berkaitan dakwaan yang dilempar terhadap pembantu juruterbang MH370, Fariq Ab Hamid.
Menurut satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan negara itu berkata MAS memandang serius terhadap dakwaan itu.
Kami tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar dan video berkenaan. Seperti yang anda sedia maklum, kami sedang mengalami krisis dan tidak mahu tumpuan kami dialih," katanya.
MAS turut menggesa media dan orang awam agar menghormati privasi keluarga dan rakan penumpang serta anak kapal penerbangan MH370 kerana mereka berdepan masa yang sukar ketika ini.
"Kebajikan keluarga anak kapal dan penumpang kekal menjadi fokus kami.
Pada masa yang sama, keselamatan penumpang adalah perkara paling penting bagi kami," kata MAS ketika mengulas dakwaan yang dimuat naik Channel 9 News dari rangkaian Televisyen Australia dalam laman sesawangnya bertajuk Woman remembers cockpit fun with missing pilot pada Selasa.
Fariq merupakan antara 12 anak kapal penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu.
Pesawat yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.
0 comments:
Post a Comment