Jerlun 9 Mac - Ibu seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilapor hilang hari ini, amat berharap anak perempuannya itu ditemui dalam keadaan selamat.
Tan Tuan Lay, 53, berkata, anaknya Chew Kar Mooi, 31, ke Beijing atas urusan kerja dan beliau hanya mengetahui mengenai kehilangan pesawat itu pada kira-kira 9 pagi tadi melalui anak sulungnya, Chew Kar Hui, 33 .
"Sebelum Kar Mooi menaiki pesawat dia ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya bahawa pesawat yang dinaikinya akan berlepas.
"Selepas itu, kami tidak dapat apa-apa berita mengenainya sehinggalah anak
sulung saya beritahu pihak MAS mengarahkannya membawa pasport ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Kami sekeluarga amat mengharapkan pesawat itu dijumpai dan anak kami selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, Kerpan dekat sini, semalam.
Tan berkata, anak keduanya itu, yang bekerja sebagai pegawai bahagian pinjaman di Maybank Kuala Lumpur, merupakan seorang anak yang periang dan sering berkongsi masalah dengan keluarga.
"Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah pada Tahun Baharu Cina lepas," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penumpang pesawat itu Jee Jing Hang, 41, menghubungi ibunya yang tinggal di Jitra sebelum bertolak ke Beijing, pada kira-kira 11 malam tadi.
Abang mangsa, Jee Jing Hong, 42, berkata bagaimanapun adik lelakinya itu yang juga pengatur cara komputer dan memiliki syarikat sendiri di Seremban, tidak memaklumkan tujuannya ke Beijing.
0 comments:
Post a Comment