KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited meneruskan program rasionalisasi subsidi sebagai usaha pembaharuan fiskal untuk melindungi kewangan negara.
Jelas beliau, kerajaan akan memperluaskan asas pendapatan dan menguruskan perbelanjaan menerusi perancangan infrastruktur.
"Kita akan kekal kepada siling hutang negara dan sasaran untuk mengurangkan defisit," katanya ketika berucap menyempurnakan majlis Anugerah Korporat The Edge Billion Ringgit Club 2013 di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi The Edge Communications Sdn. Bhd., Datuk Toh Kooi Ong.
Dalam majlis yang memberi pengiktirafan kepada 144 syarikat mencatatkan modal pasaran lebih RM1 bilion itu, syarikat telekomunikasi, Digi.Com Bhd. diumumkan syarikat terbaik keseluruhan manakala CIMB Group Holdings Bhd. adalah syarikat terbaik dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
Anugerah untuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terbaik pula diraih Abdul Wahid yang merupakan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S. P. Setia Bhd., Tan Sri Liew Kee Sin.
Menurut Najib, kerajaan tidak boleh selamanya menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara kerana terdapatnya kekangan dalam perbelanjaan awam.
"Program Transformasi Ekonomi (ETP) memberi gambaran kepada masa depan Malaysia iaitu liberalisasi, penjualan dan persaingan akan mengubah struktur ekonomi negara bagi mengurangkan peranan kerajaan dan memberi tanggungjawab utama kepada sektor swasta untuk menjana pertumbuhan," katanya.
Katanya, dengan sektor swasta akan menjadi enjin pertumbuhan negara, perancangan perniagaan tidak harus tertumpu hanya kepada sasaran jangka pendek tetapi juga untuk jangka panjang.
"Saya berharap sektor swasta komited untuk membina ekonomi yang lebih mampan untuk negara dengan melabur kepada modal insan dan juga projek-projek yang bersesuaian untuk sasaran jangka panjang," katanya.
0 comments:
Post a Comment