APABILA berlaku kenaikan harga minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa tengah malam kelmarin, sudah tentu yang paling membimbangkan rakyat adalah kenaikan harga barang-barang lain.
Maka, memberikan jaminan bahawa pemantauan harga akan dibuat di seluruh pasar raya, pasar-pasar awam dan kedai runcit serta restoran di seluruh negara dan juga memberikan peringatan kepada peniaga-peniaga agar tidak menaikkan harga barangan sesuka hati, tidak mencukupi dan tidak dapat meredakan keresahan rakyat ini.
Sebabnya, kita semua pun sudah biasa dan sering melalui keadaan di mana apabila harga petrol terpaksa dinaikkan, banyak peniaga yang pasti akan mengambil kesempatan.
Sedangkan, dalam keadaan tertentu yang tidak membabitkan kenaikan harga petrol pun, peniaga-peniaga ini bijak memainkan harga dengan macam-macam alasan, contohnya menaikkan harga ayam dan beberapa barangan keperluan lain sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri lalu, inikan pula bila harga petrol sudah naik.
Kenaikan ini sudah pasti bagaikan sudah mengantuk disorongkan bantal kepada peniaga-peniaga, yang sudah tentunya dalam kepala hanya mengutamakan keuntungan. Hakikatnya, berapa ramai sangatlah peniaga yang berniaga dengan berkonsepkan memikirkan kepentingan ramai.
Kita juga bimbang akan wujudlah keadaan harga petrol naik 20 sen seliter, tetapi harga barangan mereka akan dinaikkan berlipat kali ganda daripada itu dan kedai-kedai makan pun mengambil kesempatan menekan pelanggan dengan harga yang tidak munasabah.
Sedangkan, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek, kementerian tersebut telah membuat kajian bahawa pengurangan subsidi minyak petrol 95 dan diesel itu tidak memberikan kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 peratus sahaja.
Justeru, kita berharap kajian ini bukan sekadar memberi angka kepada kita. Pastikanlah peniaga-peniaga ini betul-betul tidak menaikkan harga barangan.
Inilah antara cabaran dan tugas besar yang perlu ditangani oleh kementerian berkenaan bukan setakat seminggu dua ini, tetapi secara berterusan.
Sudah tentunya, rakyat tidak mahu peniaga-peniaga ini sekadar diberi diberi amaran, peringatan dan nasihat.
Sudah jelas pun dalam apa-apa kes di negara ini menggunakan pendekatan dengan memberi amaran dan peringatan atau menasihati, tidak akan diendahkan malah tidak digeruni langsung oleh pihak terbabit.
Dalam pada itu, meminta atau menyarankan orang ramai untuk mengamalkan budaya berjimat cermat atau memboikot mana-mana produk atau restoran yang mengenakan harga yang melambung tinggi, juga bukan satu penyelesaian yang terbaik.
Maka, sekiranya peniaga-peniaga ini ingkar, tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka. Gunakan segala peruntukan undang- undang bagi melindungi hak-hak pengguna ini di bawah Akta Antipencatutan, Akta Kawalan Harga dan sebagainya. Sementara itu, orang ramai juga perlu membuat aduan dan memberi maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kenaikan harga barangan ini. Jangan biarkan peniaga-peniaga ini berpesta harga.
Yang penting, apabila harga petrol telah dinaikkan beban rakyat disebabkan kenaikan ini perlu diminimumkan.
Di mana-mana negara pun di seluruh dunia, kenaikan barangan keperluan, makanan dan petrol pasti akan meresahkan dan menaikkan kemarahan rakyat.
Ini kerana kebanyakan rakyat sukar untuk menerima apa jua penjelasan mengenai kenaikan itu, dalam pada itu perlu juga kita menerima hakikat ramai juga di antaranya yang tidak faham apa yang dijelaskan itu.
Bagi kebanyakan rakyat, walau apa pun penjelasan dan alasannya, sudah tentu mereka tidak mahu kos sara hidup mereka terjejas akibat kenaikan ini terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Dan pada masa yang sama, kita tidak mahu isu kenaikan harga petrol ini dimainkan oleh mana-mana pihak yang mahu mengeksploitasi isu ini dan mencetuskan pelbagai persepsi buruk rakyat kepada kerajaan. Dan mengurus persepsi ini bukan sesuatu yang mudah.
0 comments:
Post a Comment