Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 30, 2013

CINA DAP TIPU SESAMA SENDIRI


KUANTAN – Lebih 10 penduduk di sekitar Kuantan membuat laporan polis apabila menyedari pelaburan mereka menerusi sebuah projek mega  menggunakan nama “1 Malaysia Spiritual Tourism” yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat sebenarnya tidak wujud.

Rata-rata mereka membuat tempahan dan pelaburan untuk ruang tempat menyimpan abu mayat yang kononnya bakal dibina di dalam sebuah piramid 30 tingkat yang juga antara salah satu agenda utama projek mega di Gambang itu.

Seorang mangsa, Chen Siew Tee, 64 berkata, dia membuat pembayaran sebanyak RM 16,500 untuk menempah 10 unit ruang tempat menyimpan abu mayat.

Menurutnya, dia mula mengesyaki telah ditipu apabila maklum balas kerajaan negeri mengesahkan tiada sebarang projek menggunakan nama “1 Malaysia Spiritual Tourism” dijalankan di Gambang.

“Saya membuat pembayaran pada 28 Ogos 2013 yang lalu dan wang yang dibayar bukan sahaja dijanjikan 10 unit tempat penyimpanan tersebut tetapi sebagai pelaburan.

“Apabila membuat bayaran, kami turut dijanjikan pelaburan yang bakal membawa keuntungan berganda.

“Suami saya was-was dengan projek berkenaan dan menemui pengarah syarikat tetapi dia hanya memberikan sehelai resit serta sijil pengesahan pembayaran.
“Apa yang pelik pembayaran bukan dibuat ke atas akuan syarikat tetapi menerusi nama pengarah syarikat itu sendiri.

“Apabila diselidik, kementerian pelancongan ada mengeluarkan kenyataan di media mengatakan projek berkenaan tidak pernah wujud,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata, setelah diselidik projek berkenaan tidak pernah wujud, malah nama syarikat lain turut disalah guna untuk memancing pembeli.

“Kita tidak menuduh tetapi mengesyaki penduduk ditipu kerana difahamkan kononnya projek ini bernilai berbilion-bilion dan bakal menjadi produk antarabangsa tetapi pihak berkaitan langsung tidak mengetahuinya.

“Saya telah menghubungi kerajaan negeri dan telah disahkan projek berkenaan tidak pernah wujud.

“Pihak tidak bertanggungjawab ini turut menggunakan nama sebuah syarikat tempatan untuk menarik pembeli dan saya telah menghubungi pengarah syarikat itu serta dimaklumkan syarikatnya tidak terlibat.

“Pengarah syarikat itu telah membuat laporan polis dan lebih menguatkan dakwaan ini apabila sebuah akhbar menyiarkan kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk seri Mohamed Nazri Aziz mengatakan tidak mengetahui tentang projek itu.

“Saya nasihatkan mangsa yang lain segera membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat diambil,” katanya.

Read more »

CEC DAP HANYA SANDIWARA MURAHAN


SEMALAM, Kongres Khas DAP berlangsung dengan pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Jumlah perwakilan hanya 2,576 orang dan calon yang bertanding pula 49 orang. Kongres khas ini diadakan selepas pemilihan yang berlangsung pada 15 Disember 2012 terpaksa dibatalkan. Ketika itu 68 orang bertanding dan tidak sampai 2,000 yang mengundi. 

Semalam juga, berlangsung simulasi pemilihan UMNO. Berbanding DAP, pemilihan UMNO tentulah lebih rumit kerana bakal melibatkan lebih 146,000 perwakilan yang akan memilih 33,682 calon pemimpin bagi pelbagai peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan bahagian. Jika DAP memilih 30 anggota CEC yang kemudiannya akan bermesyuarat memilih pemimpin seperti setiausaha agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi, UMNO pula terus membuat pemilihan bagi jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.

Begitulah bezanya corak pemilihan dua parti - DAP dan UMNO. Berbanding DAP, sudah tentulah, pemilihan dalam UMNO terpaksa menempuh perjalanan yang rumit. Walaupun ini kali pertama berlangsungnya pemilihan corak baru, UMNO perlu memastikan kaedah yang dilaksanakan tidak menjejaskan kredibiliti parti. Jika sebelum ini ramai yang mempertikaikan corak pemilihan DAP, maka jangan dibiarkan orang lain mengambil kesempatan untuk memperkecilkan kaedah pemilihan UMNO. 

Sebarang masalah teknikal yang berlaku perlu diselesaikan segera. Jika diselak sejak hari ‘penamaan calon’ baru-baru ini terdapat beberapa kenyataan yang berkaitan dengan kelayakan bertanding. Begitu juga dengan etika berkempen. Pihak yang menjadi pemantau pemilihan kali ini perlu lebih jelas dengan etika berkempen, bukan sekadar pertemuan di peringkat bahagian tetapi juga kenyataan, ucapan oleh calon-calon yang bertanding. Timbul persoalan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media.

Keadaan ini berbeza bagi mereka yang mempunyai jawatan sama ada dalam kerajaan pusat atau kerajaan negeri atau memegang jawatan lain yang boleh mencipta pelbagai aktiviti untuk tampil bertemu pemilih sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mungkin jika ini tidak ditangani akan timbul pelbagai isu yang boleh menjejaskan proses pemilihan. Bukan mudah untuk memantau corak kempen ini. Eloklah kempen untuk menyatakan visi dan misi diberi kelonggaran. Fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah politik wang dan kempen memburukkan orang lain. Seperti dibangkitkan dalam Selak sebelum ini, apa yang penting elakkan ketirisan poket sepanjang berkempen. Berdasarkan simulasi semalam, dijangkakan tidak timbul masalah dalam kaedah pemilihan kali ini.

Berbalik kepada pemilihan DAP, jumlah calon yang bertanding semalam berkurangan berbanding pemilihan yang diadakan pada Disember lalu. Jumlah kali ini berkurangan sebanyak 19 orang, iaitu 17 menarik diri dan dua lagi keluar parti. Menyelak kembali di sebalik pemilihan semula ini, kongres khas terpaksa diadakan semula atas permintaan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana banyak persoalan timbul pada pemilihan lalu.

DAP terpaksa akur dengan ‘kecuaian manusia’ yang melibatkan keputusan terhadap tujuh orang calon. Dalam pemilihan yang diadakan sebelum ini, beberapa fakta menarik perhatian banyak pihak. Pertamanya, lapan orang Melayu yang bertanding tersingkir menyebabkan parti yang mendakwa mewakili pelbagai kaum itu dikritik hebat. Keduanya berlaku ‘pembetulan’ keputusan selepas 19 hari pemilihan apabila parti itu tampil memperbetulkan kesilapan undi yang diterima oleh tujuh calon. Hasil ‘pembetulan’ itu, Zairil Khir Johari yang pada mulanya menduduki tangga ke-39 melonjak ke tangga 20 (terakhir dalam senarai) sekaligus meletakkannya sebagai seorang anggota CEC yang dipilih. 

Undi ‘asalnya’ 305 meningkat kepada 803 manakala Wu Him Ven yang menduduki tempat ke-6 menjunam ke kedudukan 26 menyebabkannya terkeluar daripada senarai anggota CEC yang dipilih. Undi baru yang diperolehnya adalah 669 undi berbanding 1,202 undi. Beliau kemudiannya menganggotai CEC sebagai anggota yang dilantik. Lima lagi turut mengalami perubahan jumlah undi iaitu Wong Sai Hoong 23 (asal 448), Wong Sze Phin 643 (761), Zulkifli Mohd Noor 249 (216), Roseli Abdul Gani 69 (39) dan Tan Boon Peng 40 (407).

Semalam, semua 20 anggota yang dipilih adalah anggota CEC yang terpilih selepas ‘pembetulan’ dilakukan pada pemilihan lalu. Jelaslah, perwakilan tetap memilih orang yang sama, cuma corak undi yang diterima berubah. Pada masa yang sama, perwakilan tetap menolak calon-calon Melayu yang turut menawarkan diri bertanding termasuklah Senator Ariffin SM Omar yang dilantik sebagai Naib Pengerusi selepas pemilihan lalu. Benarkah kenyataan seorang calon CEC Melayu, Zulkifli Mohd Noor bahawa nilai orang Melayu dalam DAP ibarat mata wang bernilai ‘lima kupang’ atau 50 sen?

KARPAL TETAP GAGAH

Walaupun pemilihan semula diadakan, Karpal Singh, 73 tetap ‘gagah’ sebagai Pengerusi DAP. Semalam, beliau menegaskan tidak akan berundur dari politik selagi pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan Pusat. Karpal pernah jatuh dalam pilihan raya umum (PRU) apabila beliau kalah di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada 1999. Bagaimanapun beliau berikrar untuk bangkit semula dan kata-kata itu terbukti apabila beliau menang semula pada PRU 2004 diikuti 2008 dan 2012.

Begitulah keazaman veteran DAP itu yang tidak menolak kemungkinan akan terus kekal sebagai calon PRU akan datang. Beliau sememangnya berhasrat untuk menyerahkan kepemimpinan kepada generasi muda. Katanya: “Kita semakin tua dan orang (pemimpin) tua perlu bersara satu hari nanti. Saya akan bersara dalam masa munasabah. Munasabah bermaksud lepas apa yang kami mimpikan iaitu untuk jadi kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan. Lepas itu baru bagi kepada orang muda,’’.

Maknanya, peranan orang lama masih tetap diperlukan. Kenapa Karpal Singh yang sudah begitu lama berkecimpung dalam politik masih tetap gagah dan diterima ramai? Semalam, Karpal Singh mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, sama seperti pada pemilihan Disember lalu. Jumlah undinya meningkat daripada 1,411 kepada 1,421 undi. 

Penasihat parti, Lim Kit Siang pula jatuh ke nombor dua dengan undi merosot iaitu daripada 1,607 kepada 1,436 undi, kehilangan 171 undi. Anaknya, Lim Guan Eng pula menduduki tempat ke lima dengan 1,304 undi, merosot 272 undi berbanding kedudukan No.2 pada 2012 dengan 1,576 undi. Apakah ada sesuatu di sebalik keputusan semalam? Yang pasti tiada kejutan!

Read more »

EXPO BUKU ISLAM SASAR 100,000 PENGUNJUNG


KUANTAN 29 Sept. - Lebih 100,000 orang dijangka mengunjungi Ekspo Buku Islam (EBI) yang diadakan selama 10 hari bermula kelmarin di ruang legar pusat membeli-belah Kuantan Parade di sini.

Ekspo tahunan yang bermula pukul 10 pagi sehingga 9 malam itu melibatkan sebanyak 70 gerai dengan disertai 40 penerbit dari seluruh negara.

Selain pameran dan jualan buku dengan tawaran harga istimewa, pelbagai aktiviti turut disediakan seperti persembahan nasyid, pelancaran buku terbaharu dan sesi bertemu ikon terkenal antaranya Ustaz Don Daniyal Biyajid .

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, ekspo yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) serta Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang itu turut mendapat kerjasama Sinergi Ilmu Resource Sdn. Bhd. dan merupakan kali kedua diadakan di Pahang.

Menurut beliau, ekspo itu diadakan bertujuan mengajak serta memupuk minat membaca dalam kalangan belia di negeri ini.

"Minat membaca bahan-bahan ilmiah sebegini di kalangan remaja semakin pudar dan terhakis dengan aktiviti tidak sihat selain terdedah dengan bacaan lain," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian ekspo tersebut di sini.

Kata beliau, program itu juga dapat membantu menyebarkan ilmu bermanfaat kepada remaja dan masyarakat Islam.

"Saya harap program ini menyumbang kepada pembentukan masyarakat lebih baik kerana mereka kini semakin dihimpit dengan kemelut sosial yang semakin parah," katanya.

Tambah beliau, ekspo yang berorientasikan keislaman itu juga mampu membantu penyebaran ilmu Islam kerana mesej agama yang terkandung di dalam setiap judul buku akan dapat dihayati setiap umat di negeri ini.

"Saya berharap ekspo ini menjadi program tahunan pada masa akan datang dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat negeri ini," katanya.

Read more »

LEBIH BANYAK RUMAH RAKYAT AKAN DIBINA

Gambar Hiasan

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), akan membina sebanyak 15,909 unit rumah mampu milik di seluruh negara tahun depan bagi memperbanyakkan lagi kaum bumiputera dalam pemilikan aset bukan kewangan.

Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, daripada pembinaan rumah pelbagai kategori itu, 1,640 unit adalah rumah kos rendah, 3,155 unit kos sederhana rendah manakala baki 11,114 unit adalah rumah kos sederhana.

''Kita akan membuat pelaburan besar dalam projek yang dirancang itu dan memastikan perumahan tersebut mengikut jadual yang ditetapkan," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya agensi pembangunan perumahan kerajaan memperbanyakan pembinaan rumah mampu milik bagi memastikan kaum bumiputera tidak ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan.

Najib sebelum ini berkata, langkah itu akan dilaksanakan di bawah fokus ketiga Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Malah beliau mengumumkan langkah dan strategi baharu bagi memperkasa ekonomi bumiputera, berpayungkan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan ditubuhkan tidak lama lagi dan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

MEB akan menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam melaksanakan lima strategi utama sebagai kelangsungan implementasi agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera.

Antara strategi itu ialah menangani bumiputera yang masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah kediaman, premis industri dan kompleks komersial.

Kamarul Rashdan berkata, SPNB juga akan memperkenalkan satu program baharu iaitu pembangunan hartanah bercampur di atas tanah milik kerajaan negeri dan rumah-rumah yang dijual berharga di antara RM70,000 hingga RM220,000 seunit.

Katanya, setakat ini, 11 tapak yang berpotensi telah dikenal pasti dan melibatkan perancangan pembangunan sebanyak 2,607 unit.

Beliau berkata, projek atau produk baru ini akan mengutamakan golongan pembeli rumah pertama, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu-ibu tunggal.

''Sebagai permulaan, modal pusingan sebanyak RM250 juta akan diperuntukkan untuk menjayakan program ini," katanya.

Menurutnya, bagi tahun ini pula, SPNB sedang dan akan membina sebanyak 4,652 unit rumah mampu milik di lima lokasi iaitu Apartmen Laguna Biru Fasa 2 Rawang sebanyak 1,224 unit, Taman Sutera Wangi Fasa 2 sebanyak 566 unit, Apartmen Alam Prima Fasa 2 (655 unit), Vista Perdana Fasa 2 dan 3 (1740 unit) termasuk Taman Seri Bayu Fasa 3, Taman Seri Bayu, Tumpat.

Beliau menambah, Apartmen Laguna Biru, Rawang berharga RM120,000 hingga RM220,000 seunit yang dimulakan Jun lalu dan dijangka siap Jun 2015.

Tambahnya, bagi Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka melibatkan 566 unit membabitkan harga antara RM42,000 hingga RM226,934 seunit yang dimulakan bulan lalu dan dijangka siap Ogos 2016.

Kata beliau, Apartmen Alam Prima Shah Alam pula sebanyak 655 unit termasuk sembilan unit kedai berharga antara RM120,000 hingga RM220,000 seunit yang akan dimulakan pada bulan depan dan dijangka siap Oktober 2016.

Di samping itu, Vista Perdana Miri sebanyak 1,740 unit berharga antara RM195,000 hingga RM730,000 seunit bagi rumah kedai dan akan dimulakan Disember ini dan siap dalam tempoh lima tahun.

Sementara Taman Seri Bayu Tumpat sebanyak 467 unit dengan harga RM62,500 seunit akan dimulakan Disember ini dan siap dalam tempoh dua tahun.

Read more »

BANTUAN BR1M AKAN DIBERI DUA KALI SETAHUN


Kerajaan bercadang melaksanakan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara dua peringkat bagi memastikan penerimanya dapat menggunakan wang tersebut secara berhemah dengan berbelanja mengikut keperluan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, kerajaan juga bercadang tidak memberikan bantuan itu secara tunai tetapi terus didebitkan ke dalam akaun penerima.

"Berapa jumlah yang mahu diberikan untuk BR1M kali ini, kita tidak boleh maklumkan lagi tetapi apa yang pasti lebih RM500.

"Apa yang boleh dinyatakan sekarang adalah draf pertama yang disediakan telah dibentangkan kepada Perdana Menteri. Jadi sekarang kita sedang memperkukuhkannya lagi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Husni berkata, kerajaan juga sedang melihat keperluan membantu meringankan beban isi rumah berpendapatan antara RM4,000 dan RM5,000.

Katanya, model bantuan tersebut akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

"Bagi golongan ini, kita melihat cara yang boleh dilaksanakan bagi membantu mereka. Apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi, kita telah menyatakan kerajaan akan terus membantu mereka. Kita bantu mereka dalam bentuk lain," katanya.

Read more »

Friday, September 27, 2013

KOS TINGGI PINDAH GAJAH


KUANTAN -  Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri memerlukan perbelanjaan lebih RM45,000 bagi setiap operasi menangkap dan memindahkan seekor gajah.

Pengarahnya, Khairiah Mohd Shariff berkata, pihaknya terpaksa menyediakan peruntukan besar setiap tahun bagi mengatasi ancaman gajah di negeri ini yang sentiasa bertambah disebabkan beberapa faktor seperti pembukaan hutan.

Menurutnya, kos berkenaan akan bertambah sekiranya lokasi operasi terbabit terletak jauh di dalam hutan dan berbukit yang memerlukan aktiviti membersih termasuk membuat jalan menggunakan jentera.

“Perhilitan tidak mungkin mampu memenuhi kehendak masyarakat terutama pekebun yang inginkan semua gajah ditangkap dan dipindahkan bagi mengelak kemusnahan seterusnya kerugian kepada mereka.

“Selain kekangan kewangan semakin bertambah, beberapa faktor lain seperti bentuk muka bumi dan lokasi yang jauh di dalam hutan juga turut menjadi penghalang utama kepada operasi menangkap,” katanya.

Khairiah berkata, pihaknya berharap masyarakat dapat memahami situasi yang dihadapi Perhilitan dan setiap operasi tidak semestinya berakhir dengan tangkapan.

“Pada keadaan tertentu kumpulan gajah hanya dihalau masuk ke kawasan hutan berhampiran.

“Kini serangan gajah kini lebih tertumpu di daerah ini, Jerantut, Lipis, Raub dan Temerloh. Dalam tempoh lapan bulan tahun ini Perhilitan berjaya menangkap dan memindahkan tiga gajah dewasa,” katanya.

Mengulas ancaman gajah di Sungai Lembing, di sini, Khairiah berkata, kini terdapat enam hingga lapan gajah berkeliaran dan memusnahkan ladang serta kebun buah-buahan penduduk setempat sejak seminggu lalu.

Katanya, ancaman gajah di kawasan Sungai Lembing berlaku sejak beberapa tahun lalu selepas aktiviti pembukaan hutan berlaku, dua ekor berjaya ditangkap dan dipindahkan tahun lalu dan Mei lalu.

“Perhilitan akan mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen, Adun dan penduduk kampung bagi mencari jalan penyelesaian membendung ancaman gajah yang memusnahkan kebun buah-buahan masyarakat setempat.

“Pandangan serta cadangan semua pihak akan diambil kira sebelum sebarang tindakan dilakukan terutama membabitkan operasi menghalau dan menangkap haiwan berkenaan yang kini semakin ganas dengan merosakkan pokok buah-buahan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan dengan Ahli Parlimen dan Adun diperlukan bagi mendapatkan keputusan membabitkan berkaitan perbelanjaan untuk menjalankan operasi menangkap dan memindahkan haiwan terbabit.

“Kita hanya akan menangkap satu atau dua ekor gajah sahaja iaitu ketua kumpulan, saya yakin sekiranya operasi terbabit berjaya masalah berkaitan haiwan berkenaan dapat diselesaikan,” katanya.

Read more »

KERAJAAN BN TETAP TEPATI JANJI


TEMERLOH - Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap akan melaksanakan janji semasa pilihan raya umum lepas, namun ianya berdasarkan perancangan rapi meliputi soal peruntukan serta kesan dan manafaat kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, setiap projek yang hendak dilaksanakan memerlukan perancangan dan kajian teliti kerana ia membabitkan kewangan rakyat.

"Setiap wang yang kerajaan belanjakan itu adalah wang rakyat, ianya perlu dibelanja dan diurus secara teliti dan terancang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan dari Pas yang meminta kerajaan membina jambatan kedua di Temerloh sepertimana yang dijanjikan sebelum ini.

Katanya kerajaan BN mempunyai jadual dan program melaksanakan setiap projek pembangunan di Pahang, malah kerajaan tidak pernah berhenti melaksanakan pelbagai program dan projek pembangunan untuk rakyat.

Mohd Sharkar yang juga Exco kerajaan negeri berkata, kerajaan tidak akan memungkiri janji dan pihak pembangkang tidak perlulah berterusan mengadu-domba perkara yang tidak benar terhadap kerajaan BN. - Bernama

Read more »

Thursday, September 26, 2013

DESTINASI LAMA PERLU PERUBAHAN


KUANTAN – Seluruh warga kerja termasuk penggiat dan agensi berwajib pelancongan negeri disaran agar terus memperkasakan sektor pelancongan menerusi idea dan kaedah baru sekali gus dapat memastikan industri ini bertambah baik dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari masa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Sharkar Samsuddin berkata, perancangan tersebut juga dapat membantu usahawan dalam sektor pelancongan ini untuk menaik taraf pusat pelancongan sedia ada agar pelancong masih terdorong untuk terus datang membuat lawatan.

“Pada tahun lepas, Pahang menerima kunjungan sekitar 2.9 juta pelancong antarabangsa dan 6.8 juta pelancong domestik serta dianggarkan mereka telah berbelanja RM6.5 bilion hanya untuk negeri ini.

“Justeru, destinasi pelancongan utama dan sedia ada seperti contoh Cherating, Taman Negara, Pulau Tioman dan Cameron Highlands antara destinasi lama perlu melalui perubahan dalam usaha mengekalkan daya tarikan buat pelancong.

“Jelas sekali pusat pelancongan negeri ini mempunyai potensi sekiranya pihak yang terlibat mempunyai banyak usaha baru yang dirangka untuk mencergaskan lagi industri memandangkan ia mampu memberi kesan yang cukup baik bukan sahaja kepada ekonomi negeri malah secara tidak langsung kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata dalam ucapan perasmiannya di Seminar dan Bengkel Pelan Tindakan Pelancongan Negeri Pahang, di Bukit Gambang Resort, dekat sini.

Menurutnya, negeri Pahang pada masa ini mempunyai sebanyak 467 buah hotel dengan kira-kira 26,095 buah bilik penginapan pelbagai jenis.

“Kita sedia maklum bahawa kadar penginapan adalah berbeza mengikut destinasi dan cabaran untuk memenuhi bilik-bilik ini harus ditangani melalui cara manfaatkan semaksimumnya agar kita dapat merangka satu ‘Way forward’ yang jelas dan memberi kejayaan di masa depan.

“Kita mungkin harus mengenal pasti produk-produk baru dalam bentuk acara-acara menarik, tarikan baru, aktiviti dan sekali gus menghidangkannya dalam pakej dan suasana yang lebih menarik,” katanya.

Sementara itu, katanya, eko-pelancongan turut akan terus menjadi fokus utama pelancongan negeri Pahang yang mana masing-masing mempunyai keunikan tersendiri.

“Kita juga telah bersetuju untuk mengetengahkan kawasan Gua Merapoh yang turut dikenali sebagai “Caving Paradise of Malaysia”.

“Di anggarkan bukit-bukit batu kapur Merapoh mempunyai lebih 500 buah gua yang belum diterokai dan  telah mula menarik pelancongan Eropah seperti United Kingdom, France, Jepun, Jerman dan Crotia," katanya.

Read more »

RAYU JHEV PERCEPAT PERMOHONAN


TEMERLOH – Seorang isteri bekas anggota tentera merayu Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempercepatkan permohonan bantuan bulanan suaminya yang terlantar sakit akibat kemalangan, Januari lalu.

Azlina Mohd Baki, 45, merayu jabatan terbabit meluluskan segera bantuan terbabit memandangkan wang simpanan keluarga semakin menyusut apabila perbelanjaan bulanan untuk rawatan suaminya, Ishak Said 53, mengatasi pendapatan keluarga.

Bekas pembantu Kebajikan Masyarakat itu berkata, dia terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suaminya yang terlantar akibat kemalangan pada 3 Januari lalu.

Sejak itu katanya, dia hanya bergantung kepada bantuan bulanan pesakit kronik yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula Mac lalu.

“Nasib baik kerajaan negeri bagi sumbangan pesakit kronik RM3,000 pada saya masa itu, dapat juga tampung sedikit sebanyak belanja rawatan.

“Dengan wang itulah saya gunakan untuk beli lampin, susu dan keperluan harian saya selain belanja sekolah anak,” kata ibu kepada tiga anak ini ketika ditemui di rumahnya di Rumah Murah Lanchang di sini, semalam.

Azlina berkata, suaminya terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal lain semasa menunggang motosikal untuk menghantar anak bongsunya ke sekolah.

Menurutnya, akibat kejadian itu, suaminya mengalami pendarahan dalam otak dan koma beberapa bulan serta terpaksa menjalani rawatan beberapa kali di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

“Dua kali dia jalani pembedahan dan kini terpaksa bergantung pada mesin bantuan pernafasan selain ditebuk pada leher,” katanya.

Azlina berkata, dia menghubungi JHEV awal September lalu tetapi jawapan daripada petugas di situ sangat mengecewakan.

“Saya harap JHEV segerakan bantuan bulanan kerana keadaan sangat memaksa sekarang, saya terpaksa berhenti kerja untuk jaga suami.

“Dua anak masih belajar, belanja sekarang juga tinggi. Saya harap JHEV atau orang perseorangan dapat bantu kami dari segi kewangan dan kerusi roda,” katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Azlina di talian 014-7931822 atau nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 06400-41-000105279.

Read more »

RONDAAN BANTU KURANGKAN JENAYAH


BENTONG – Jumlah kes jenayah di daerah ini yang dilaporkan dari Januari hingga Ogos tahun ini mencatatkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu dari 345 kes kepada 312 kes.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor berkata, dalam tempoh itu sebanyak 162 kes berjaya diselesaikan bagi tahun ini dan 166 kes pada tahun lalu.

Menurutnya, antara kes yang menunjukkan penurunan ialah kes jenayah kekerasan iaitu 101 kes tahun lalu kepada 82 kes tahun ini.

“Selain itu, jenayah rogol sebanyak 21 kes tahun lalu menurun kepada 4 kes tahun ini.

“Manakala samun berkawan menggunakan senjata api pula hanya dua kes tahun ini berbanding tahun lalu sebanyak enam kes,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dekat sini.

Mohamad Mansor berkata, kes curi motosikal juga menurun dari 60 kes kepada 56 kes, kes ragut dari lima kes kepada dua kes, dan kes pecah rumah  waktu malam dari 47 kes kepada 41 kes sahaja.

Katanya, antara kes yang menunjukkan peningkatan ialah kes bunuh iaitu dari satu kes tahun lalu kepada tiga kes tahun ini.

“Kes cabul lima kes berbanding tiga kes tahun lalu, kes samun berkawan tanpa senjata dari 13 kes kepada 22 kes dan curi kereta dari 12 kes kepada 18 kes tahun ini.

“Selain itu kes pecah rumah siang hari pula mencatatkan peningkatan dari 14 kes kepada 20 kes,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, pihaknya akan berusaha mengurangkan kadar jenayah di kawasan ini bukan sahaja dengan meningkatkan rondaan dan mengatur strategi bersesuaian tetapi turut memperbanyakkan lagi program pencegahan.

Katanya, setiap balai polis disaran menjalankan program pencegahan di kawasan masing-masing dengan melibatkan penyertaan penduduk.

“Hubungan baik dengan penduduk setempat secara tidak langsung dapat membantu proses pencegahan jenayah seterusnya mengekalkan kesejahteraan dan keamanan kawasan,” katanya.

Read more »

Tuesday, September 24, 2013

POLIS DITETAK DENGAN PARANG


PEKAN – Tindakan agresif seorang lelaki yang cuba melibas parang ke arah beberapa anggota polis ketika cuba ditahan berakhir dengan tembakan mengenai perut dan dadanya kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek lelaki berusia 45 tahun itu dikepung oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Pekan selepas berjaya meloloskan diri ketika serbuan pertama pada jam 3 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, polis menerima maklumat daripada Ketua Polis Balai Chini mengenai laporan kecurian buah sawit yang dilaporkan orang awam sebelum membuat pemeriksaan di kawasan ladang kelapa sawit Felda Chini 2.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan menyebabkan suspek dan beberapa lelaki yang sedang berkumpul di sebuah ‘port’ yang juga menjadi sarang penagihan dadah bertempiaran lari sebelum berjaya ditahan polis.

“Ketika dibawa ke sebuah van (dipercayai miliknya) yang terletak berhampiran untuk diperiksa, suspek tiba-tiba mencapai sebilah parang panjang yang diletakkan di kerusi penumpang dan melibas ke arah anggota polis.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan van berkenaan sebelum kembali berjaya dikesan di sebuah lokasi di Jalan Dara, Chini, kira-kira 200 meter dari Balai Polis Chini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yahaya berkata, suspek diminta menyerahkan diri selepas dikepung namun melibas parang miliknya secara rambang ke arah polis sehingga memaksa tembakan dilepaskan selepas salah seorang anggota polis hampir ditetak ketika terjatuh kerana mengelak libasan senjata berkenaan.

“Suspek terus agresif melibas parang walaupun tembakan pertama telah mengenai perut suspek, sebelum tembakan kedua dan ketiga dilepaskan ke bahagian dada suspek.

“Suspek yang berasal dari Taman Sri Mahkota Aman, Batu 12, Kuantan itu kemudiannya masih cuba bergelut dengan anggota polis sebelum berjaya ditangkap dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sepaket serbuk dadah dipercayai jenis heroin kira-kira seberat 10 gram di dalam van berkenaan selain menyita tiga buah motosikal yang ditemui ketika melakukan serbuan di ladang Felda Chini 2.

“Suspek yang sedang dirawat dilaporkan stabil dan pihak polis sedang menjalankan pemeriksaan termasuk kandungan air kencing suspek bagi menentukan suspek positif dadah atau tidak.

“Suspek turut dikesan mempunyai sembilan rekod lampau melibatkan kes dadah serta jenayah dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Read more »

BAYI MENINGGAL DUNIA AKIBAT SAKA


GUAL PERIOK – "Terdetik di hati merasakan Lia akan pergi meninggalkan saya tidak lama lagi," luah Marlina Ab Rahman, 33 mengenangkan detik-detik sebelum anak bongsunya, Lia Nur Zahirah Osman, sembilan bulan menghembuskan nafas terakhir di Kampung Tersang, semalam.

Sayu hati Marlina apabila naluri keibuan yang kuat mengatakan anak bongsu dari enam beradik itu bakal mengikut jejak dua kakaknya menjadi kenyataan.

Menurut Marlina, selepas mendapat rawatan daripada pengamal Perubatan Islam at-Tobibi, Datuk Shamsuri Shafie, Rabu lalu, Lia sudah pandai tersenyum serta kurang menangis, malah aktif bergerak.

"Namun pada jam 12 tengah hari, Lia kelihatan letih dan kurang bermaya. Dia diletakkan di atas tilam untuk berehat.


"Tidak semena-mena hati saya berasa amat sayu. Malah saya hampir menitiskan air mata kerana merasakan usia Lia tidak panjang," cerita Marlina mengenang kembali detik-detik akhir sebelum pemergian Lia.

Marlina berkata, Lia menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.15 petang di samping suami serta dua orang tuanya.

Jenazah Lia Nur Zahirah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Luar, Gual Periok pada jam 5 petang semalam.

Sebelum ini penderitaan adik Lia yang menghidap penyakit misteri tiga bulan selepas dilahirkan telah mendapat perhatian Sinar Harian.

Adik Lia dipercayai mengalami gangguan saka keluarga atau makhluk halus (iblis), malah darahnya dikatakan dihisap sehingga hampir kering.

Akibat perkara berkenaan, badan adik Lia semakin susut, cengkung dan boleh dikatakan hanya tinggal kulit dan tulang.

Read more »

PELATIH PLKN MATI DIBUNUH


Muadzam Shah: Seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), ditemui mati di bilik air Kem Pinggiran Pelangi, dekat sini, tengah malam kelmarin, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Mangsa, Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, yang berasal dari Kerdau, Temerloh, ditemui terbaring dalam bilik air itu oleh rakan lain pada jam 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata laporan bedah siasat Hospital Muadzam Shah menunjukkan ada kesan lebam di belakang telinga mangsa dipercayai akibat pukulan objek tumpul.

“Mangsa meninggal dunia kemungkinan akibat dipukul berdasarkan kesan lebam di belakang telinga tetapi kita akan teruskan siasatan bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Johari berkata, pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebaik ditemui, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Muadzam Shah, namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pengarah Latihan Khidmat Negara, Rozainor Ramli, berkata sebelum itu, mangsa dalam keadaan sihat serta baru selesai menjalani latihan bersama pelatih lain.

“Satu pasukan khas ditubuhkan pada peringkat jabatan bagi menyiasat perkara itu sebaik memperoleh laporan bedah siasat mengenai punca kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bapa mangsa, Norhamidi Bakar, 46, ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Muadzam Shah, berkata kali terakhir beliau bertemu Muhammad Suhaimi adalah ketika menghantarnya ke kem untuk pendaftaran, bulan lalu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu seorang yang pendiam namun disenangi rakan.

“Sebelum pergi, arwah bersemangat menyertai PLKN dalam usaha mengejar cita-citanya menjadi anggota polis. Saya reda dengan kejadian yang menimpanya,” katanya.

Read more »

Friday, September 20, 2013

PERTANDINGAN SIRKIT MOTOCROSS PERINGKAT NEGERI PAHANG 2013


Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Pahang dengan kerjasama Sungai Dusun Motosport akan mengadakan pertandingan Sirkit Motocross. Pertandingan Sirkit Motocross akan diadakan pada 21/9/2013 (Sabtu) dan 22/9/2013 (Ahad).

Antara acara yang dipertandingkan adalah perlumbaan motorsikal, MOTOCROSS OPEN, MOTOCROSS VETEREN, CKD OPEN dan banyak lagi. Hadiah yang ditawarkan adalah wang tunai dan cenderamata.

Lokasi pertandingan Sirkit Motocross Peringkat Negeri Pahang 2013 akan diadakan di Mempaga 3, Bentong, Pahang Darul Makmur.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Sirkit Motocross Peringkat Negeri Pahang 2013.

Read more »

KALIMAH ALLAH WAJIB PERTAHANKAN


MUNGKIN ada yang fikir isu kalimah Allah sudah selesai tetapi hakikatnya jauh berbeza kerana ia akan berterusan selagi ada pihak yang mahu salahguna kalimah tersebut dan selagi ada umat Islam diperguna kerana tidak memahami hujah dan fakta untuk mempertahankannya.

Atas keperluan itu, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil inisiatif menerbitkan hujah dan fakta sahih bagi memberi penerangan kepada rakyat, bukan sahaja dalam bahasa Melayu malahan dalam bahasa Inggeris.

Felo Kanan merangkap Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), IKIM, Dr. Wan Azhar Wan Ahmad selaku editor monograf Controversy Over the Term "Allah" in Malaysia cuba merungkai isu panas ini.

Menurut beliau, monograf yang sesuai untuk semua peringkat dan kumpulan itu mengumpulkan artikel bahasa Inggeris untuk menunjukkan kesinambungan hujah dan fakta khususnya untuk pemahaman orang bukan Islam mahupun mereka yang lebih selesa dengan bahasa Inggeris.

"Monograf ini sesuai untuk semua dan kita telah sampaikan satu salinan kepada Perdana Menteri, khususnya dalam menjelaskan kesalahan bahasa apabila menterjemah 'God' sebagai 'Allah'.

"Ada juga fakta dan hujah lain tetapi fokus utama kepada kesilapan terjemahan yang menjadi asas utama isu ini. Sebuah lagi buku terbitan IKIM, Antara Nama dan Hakikat: Kemelut Kalimah Allah tulisan Md. Asham Ahmad pula ada menjelaskan hujah lain dengan lebih terperinci," jelasnya.

Tegasnya, apa yang perlu difahami semua pihak adalah terjemahan 'God' kepada 'Allah' bukan sahaja tidak tepat malahan salah kerana kalimah Allah tiada dalam mana-mana versi Injil asal dalam bahasa Hebrew atau Latin mahupun terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Beliau berharap umum memahami 'Allah' merupakan satu kata nama khas yang tidak boleh diterjemahkan sementara 'God' merupakan kata nama umum diterjemah menjadi 'Tuhan', juga kata umum dalam bahasa Melayu.

"Seperti nama manusia, bolehkah diterjemah? George Bush jadi George 'Semak'? Jika nama umum mahu diterjemah ke nama khas (atau sebaliknya), jelas sekali ia tidak betul.

"Jika dibenarkan, terjemahan 'gods' pula akan menjadi 'allah-allah' yang nyata satu penghinaan (kepada Islam). Sanggupkah mereka ini jika perkataan 'Tuhan' dalam Rukun Negara dan lagu Negaraku juga ditukar kepada Allah," soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan terjemahan yang cuba dibuat pihak terbabit itu khususnya dalam bahasa Melayu sedangkan tiada pula kesungguhan serupa untuk terjemahan Mandarin dan Tamil di negara ini.

Tambahnya, bukannya isu 'penggunaan' tetapi 'penyalahgunaan' kalimah Allah yang dipertikai terutamanya dalam bahasa Melayu yang fokusnya pasti kepada orang Melayu sedangkan bangsa lain lebih menggunakan bahasa Inggeris di gereja.

"Kita pun hairan kenapa beria-ia nak terjemahan (God) dalam bahasa Melayu, jika mahu martabat bahasa kebangsaan kita sambut baik tetapi dalam isu ini nampak seperti ada niat lain. Bahasa Hebrew, Latin dan Inggeris tiada Allah tetapi bila bahasa Melayu jadi Allah pula?

"Mungkinkah ini melibatkan usaha melemah Islam dan bangsa Melayu di negara ini? Jika kalimah Allah digunakan mengikut maksud asalnya dalam Islam tidak mengapa tetapi menerapkan ciri-ciri Kristian (Trinity) tidak bolehlah," tegasnya.

Menjelaskan lebih lanjut hujah nama khas itu, Wan Azhar memaklumkan setiap agama perlu mempunyai konsep tuhan yang kukuh dan nama khas tuhan agama tersebut dinyatakan dalam kitab asal mereka sejak mula diamalkan.

Menurutnya lagi, nama Allah sudah ada dari awal lagi dalam al-Quran bersama nama khas 'Islam' serta 'Muslim', bukannya nama khas yang diberi oleh orang Arab jahiliah.

"Asalkan Islam akan gunakan Allah, satu sahaja kalimah dari awal lagi. Kristian tidak pernah guna pun kalimah Allah dalam kitab mereka, di mana kewajarannya untuk mula guna sekarang?

Dalam al-Quran juga ada ayat-ayat yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tidak betul jika dakwaan al-Quran benarkan mereka guna kerana dalam Kristian contohnya, kalimah ini mahu gambarkan Trinity atau 'Jesus', bukannya Allah yang satu (esa)," ujarnya.

Tambahnya, tidak mungkin agama sebesar itu tidak mempunyai nama khas untuk tuhannya dan tindakan beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah seolah-olah menyatakan tuhan Kristian tiada nama selama ini.

Beliau melihat kumpulan yang membangkitkan isu tersebut pada masa sama telah menghina agama mereka sendiri, mungkin kerana tidak membaca hujah-hujah terdahulu para paderi yang menolak menggunakan kalimah Allah dalam Kristian.

"Adakah Pope sendiri setuju dengan usaha mereka ini? Para paderi Kristian pun tidak setuju unsur-unsur Islam masuk kerana khuatir elemen Trinity iaitu identiti Tuhan mereka akan terjejas.

"Kajian di Belanda pada 2007 juga menunjukkan 92 peratus daripada 4,000 responden Kristian Katolik tidak setuju gunakan kalimah Allah dalam agama mereka. Di Indonesia juga ramai tidak setuju malahan Injil versi baharu mereka sudah keluarkan kalimah Allah," katanya.

Beliau juga berpendapat mahkamah bukan medan terbaik untuk menentukan isu sedemikian kerana tiada 'privilege' ilmu agama dan lebih baik jika diadakan dialog inter atau intra agama antara cerdik pandai keagamaan berbanding secara terbuka sehingga mengelirukan orang ramai.

Beliau menasihati mereka yang tidak layak agar tidak bercakap mengenai isu tersebut walaupun mereka itu pemimpin, hakim, peguam mahupun rakyat biasa sementara cerdik pandai agama perlu akur dengan kebenaran fakta, tidak boleh mengikut nafsu agenda lain sehingga mengabaikan kepentingan agama.

"Ingatlah, adil itu meletakkan keutamaan kepada yang benar, bukan kepentingan peribadi, itu zalim dan impaknya kepada umum. Elakkan anarki sosial, kita takut dan syak isu ini melibatkan usaha menyebar Kristian di kalangan orang Melayu (Islam) di Malaysia.

"Paling tidak pun, ia akan mengelirukan dan melemahkan pegangan umat Islam khususnya orang muda. Fakta tetap fakta, perlu dibawa ke depan. Fakta tidak berubah bila-bila masa pun dan akan kekal relevan," tegasnya.

Wan Azhar juga bimbang jarum-jarum kekeliruan bermula dengan beberapa perkataan sehingga ke tahap masjid dan gereja tidak dibezakan anak muda untuk beribadat, memudahkan orang Melayu dibaptiskan seperti kes paderi Melayu dan Lina Joy sebelum ini.

Beliau melihat kewujudan Injil versi bahasa Melayu juga menjadi bukti usaha mengkristiankan orang Melayu sudah lama berjalan tetapi dilemanya jika dibiar maka dipijak, jika melawan dikatakan rasis dan menentang hak asasi pula sehingga tidak berani diuar-uarkan para pemimpin.

"Ini cuma perjuangan individu-individu yang bergabung dalam kumpulan kecil, bukan semua orang Kristian terlibat atau sokong kerana mereka ini ada agenda tertentu. Isu ini akan berterusan, maka usaha tingkatkan pemahaman umum termasuk para pemimpin juga perlu diteruskan.

Read more »

Thursday, September 19, 2013

ADAKAH AHLI UMNO AKAN IKUT NASIHAT TUN MAHATHIR


SEBAIK-BAIK sahaja selesai membaca rencana tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad "Masa depan UMNO'" (Utusan Malaysia, halaman 16, Isnin 16 September 2013), soalan yang terlintas dalam kepala saya apakah 3.5 juta ahli UMNO seluruh negara akan dengar dan ikut nasihat beliau?

Tun Dr. Mahathir mula dengan menyatakan beliau kini "berasa serba salah". Katanya beliau setia pada UMNO tetapi hakikatnya parti itu kini "menghidap sakit tua dan akan maut kerana sudah tua".

Beliau telah mencuba "sedarkan UMNO akan usianya yang sudah lanjut". Tun Dr. Mahathir menggesa agar parti "diperbaharui" dengan penerimaan ahli serta "kepimpinan daripada generasi muda". Hanya dengan kemasukan generasi muda ini perjuangan UMNO dapat diteruskan.

Sambil menghargai "sumbangan pengasas UMNO" dulu yang pada ketika itu masih muda, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa ramai mereka kini sudah tua, dan "masa mereka sudah terlanjut". Pemimpin yang sudah lanjut usia ini mesti "sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka".

Kata Tun Dr. Mahathir lagi: "Lambat laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran".

Selain menegur pemimpin parti yang sudah lanjut umur dan "melampaui masa mereka", Tun Dr. Mahathir juga menegur pemimpin yang mengamalkan rasuah.

Tegas beliau "Percayalah jika ahli memilih perasuah sebagai pemimpin, mereka akan amalkan budaya penerima rasuah semasa menjadi pemimpin. Kuasa mereka akan disalahgunakan. Kita dan bangsa kita akan rugi … Negara akan hancur. Maruah bangsa akan luput."

Selain isu UMNO sudah tua dan isu rasuah, Tun Dr. Mahathir juga turut menyatakan: "Kita harus akui bahawa UMNO sekarang tidak lagi dipercayai oleh ramai orang Melayu". Lantaran itu ramai yang telah menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dan bergerak di luar parti.

Di peringkat akhir tulisannya, Tun Dr. Mahathir menyatakan "Sesungguhnya perjuangan orang Melayu belum selesai". Beliau menyeru agar ahli UMNO mengetepikan kepentingan diri, menerima masuk dan memberi tempat kepada orang muda, dan " tolaklah yang sudah tua".

Nampaknya tidak semua pemimpin UMNO yang setuju dengan pandangan Tun Dr. Mahathir. Antaranya Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyatakan parti itu telah wujud untuk sekian lama, dan mengalami "pelbagai penyakit" sejak zaman Tun Dr. Mahathir sendiri dari 1981 hingga 2003 - antaranya perpecahan, tidak menumpukan perhatian sewajarnya kepada perjuangan parti, dan politik wang (rasuah).

Dr. Mohd. Puad menyangkal pendapat Tun Dr. Mahathir bahawa parti UMNO akan mati kerana kepimpinan yang ada sekarang bekerja keras mengatasi pelbagai masalah yang ada dan serius menjalankan transformasi politik negara.

Turut berbeza pendapat adalah Ahli MT Datuk Bung Mokhtar Radin. Menurut beliau, kehadiran pemimpin muda seperti Datuk Mukhriz dan Khairy Jamaluddin adalah bukti bahawa parti memberi tempat kepada generasi muda.

Bung Mokhtar berkata pemimpin muda menganggotai sayap parti, Pemuda dan Puteri, dan bila ini meningkat umur 40 tahun, mereka boleh menyertai MT dan mengambil alih kepimpinan parti. Barangkali Tun Dr. Mahathir telah terlepas pandang kepada proses pembaharuan yang sedang berjalan dalam parti, kata Bung Mokhtar lagi.

Seorang Ahli MT lain, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Tun Mahathir sepatutnya mengakui proses transformasi sedang berlaku dalam UMNO. Di bawah sistem lama, hanya 2500 perwakilan layak mengundi bagi memilih kepimpinan tertinggi parti. Di bawah sistem baru, 146,500 perwakilan secara terus akan memilih kepimpinan bahagian dan MT. Tersirat dalam kata-kata Shahidan itu adalah harapan bahawa perwakilan di akar umbi akan memilih pemimpin yang lebih muda sebagai pengganti pemimpin lama.

Bagi ketua UMNO Bahagian Tapah, Datuk Samsudin Abu Hassan, usaha meremajakan UMNO akan gagal jika 'orang lama' masih tampil menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti bulan depan.

"Masa golongan veteran sudah berakhir. Jika mereka masih merebut jawatan Naib Presiden, saya bimbang akan ada ahli UMNO yang meluat terutama orang muda," katanya lagi.

Bagi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan, pesannya mudah sahaja. "Yang dah lama dan pernah kalah tu, tak payahlah bertanding".

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, akhirnya mengumumkan dia tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Selain itu dia juga tidak akan mempertahankan jawatan ahli MT yang disandangnya sekarang.

Ketua UMNO bahagian Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop juga memutuskan tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang. Kekosongan itu menyebabkan beberapa muka lama menyatakan hasrat mereka bertanding merebutnya - antaranya Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (bekas Ketua Menteri Melaka) dan Exco kerajaan negeri sekarang, Datuk Ismail Othman.

Bagi Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad, gesaan pelbagai pihak agar veteran UMNO tidak lagi menyertai pemilihan parti bagi memberi laluan kepada pemimpin muda hendaklah "dilihat dari perspektif lebih meluas".

Veteran UMNO ini berpendapat gandingan muka lama dengan muka baru akan "mampu merencana inisiatif dan pelbagai agenda parti", sekali gus menarik sokongan muda dan tua. Padanya penyertaan orang lama pada pemilihan nanti tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Saya masih akan bertanding jawatan Naib Presiden untuk memantapkan parti terutama bagi menghadapi PRU-14 nanti," katanya.

Bagi Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu dan penyandang jawatan ketua UMNO Bahagian Kemaman, dia "tidak kisah" akan dicabar oleh Mat Dalam Awang, kerana "ini demokrasi, dan sesiapa pun boleh bertanding". Mat Dalam adalah bekas Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Kemaman.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata pemimpin muda hendaklah diberi ruang menjadi barisan pelapis. Beliau berpendapat Menteri Besar atau Ketua Menteri pemimpin lain "yang telah lama memegang jawatan, tak payahlah tawar diri, biarlah muka baru... Bantulah Presiden transform parti."

Veteran UMNO dari Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berpendapat semua pihak perlu diberi peluang sama rata untuk bertanding apa-apa jawatan asalkan mereka yakin layak untuk menerajui parti. "Tidak ada masalah...terpulang kepada masing-masing kerana sekarang siapa pun boleh tawarkan diri untuk bertanding," katanya lagi..

Sementara itu, seorang veteran UMNO lain masih lagi berteka-teki mengenai keputusannya untuk bertanding dalam Pemilihan UMNO Oktober nanti. Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata dia masih berhasrat untuk bertanding tetapi masih belum memutuskan jawatan mana yang akan dipertandingkan.

"Hasrat tu ada untuk bertanding jawatan tapi belum buat apa-apa keputusan lagi. Tunggu hari pencalonan 21 September nanti. Kalau ada, adalah. Kalau tiada, tiadalah," katanya.

Kesimpulannya, sementara Tun Dr Mahathir membangkitkan tiga isu penting dalam tulisan terbarunya (UMNO sudah sakit tua, politik rasuah, dan UMNO tidak dipercayai lagi), reaksi segera daripada kalangan ahli parti hanya menyentuh isu pertama. Dan itu pun tidak ada kata sepakat.

Tidak dinafikan masih ada lagi pemimpin lama parti yang menolak pandangan beliau. Kesannya, sukar bagi pemerhati meramalkan apakah langkah meremajakan parti itu akan terlaksana sepenuhnya dalam tempoh yang singkat ini menjelang PRU-14.

Read more »

DAP AMALKAN POLITIK PERKAUMAN


ENTAH kenapa apabila disebut perkataan ‘kiasu’, kita terus merujuk kepada sikap dan budaya politik orang Singapura. Penulis punya ramai teman dari Singapura sewaktu menuntut dahulu, namun tidak seorang pun yang dirasakan membawa imej dan sikap kiasu. Kebanyakan mereka adalah warga Singapura yang sangat mesra dan mudah didekati.

Merujuk kepada khidmat bantuan bahasa yang ditawarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara dalam talian, ‘kiasu’ tidak mempunyai makna. Tetapi jika dirujuk kepada kamus Bahasa Inggeris, kiasu merujuk kepada sikap penting diri (a grasping, selfish attitude). Menurut kamus Bahasa Inggeris lagi, asal usul perkataan kiasu ini adalah daripada budaya Cina yang membawa aura scared to lose, takut kepada kekalahan.

Sebagai sebuah parti di dalam ikatan politik longgar pembangkang, DAP sudah mencatat keuntungan yang luar biasa besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Lonjakan sokongan kepada DAP sangat jelas dan nyata. Kemenangan 38 daripada 51 kerusi Parlimen yang ditandingi adalah bukti yang sangat nyata. Secara keseluruhan, DAP mencatatkan peratusan kemenangan yang sangat besar - 70 peratus (%) daripada kerusi yang mereka tandingi.

Mungkin di atas keseronokan kemenangan itulah, DAP tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Model politik pakatan, walaupun longgar dan penuh kecurigaan, boleh dijadikan asas kepada DAP untuk menampilkan parti tersebut sebagai jagoan dalam ikatan politik tersebut. Mempunyai hampir 43% kepentingan dalam saham politik pakatan membawa makna yang besar.

Sebanyak 43% saham politik belum cukup untuk melonjak kedudukan politik DAP. Disebabkan itu, menggunakan alas politik ‘Impian Sarawak’ - DAP mahu membuat perhitungan politik lebih bersungguh di kawasan luar bandar di negeri tersebut. Dalam tempoh lima tahun, DAP menginginkan ekuiti lebih besar dalam ikatan politik pakatan pembangkang.

Walaupun menggunakan penjenamaan ‘Impian Sarawak’, apa yang mahu disorokkan adalah niat politik ultrakiasu, pentingkan diri yang berterusan. DAP kecewa dengan kelemahan rakan politik mereka yang gagal menarik sokongan lebih besar di kawasan luar bandar. Pas yang diberikan lesen mutlak ‘tahaluf siyasi’ tidak mampu menarik minat pengundi luar bandar. DAP wajar bergerak sendirian pada masa akan datang.

Daripada sudut politik, sikap kiasu politik DAP bertempat. Gegak gempita kemenangan majoriti puluhan ribu DAP di Kepong, Seputeh, Tanjung, Petaling Jaya Utara, Cheras, Bukit Mertajam, Bukit Gelugor dan Bagan - tidak akan mampu melonjak ekuiti sebenar DAP dalam formula politik pakatan.

Berasaskan semangat politik kiasu, DAP mahu sesuatu yang lebih daripada itu. Kita boleh mengagak dan membuat kesimpulan awal, sikap politik kiasu DAP akan membawa retak yang jelas dalam ikatan politik mereka sedikit masa lagi.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman punya pengalaman peribadi yang jelas mengenai isu ini. Rasa kecewa dengan sikap kiasu ala pendewaan politik di Pulau Pinang, diperjelas dalam minit mesyuarat yang akhirnya menjadi bualan umum. Apa yang berlaku, walaupun mungkin mencalar imej Ketua Menteri, namun tidak mengurangkan undi kepada DAP di negeri tersebut.

Mungkin, di atas sebab sikap kiasu politik jugalah menyebabkan pakatan pembangkang melambat-lambatkan pengumuman Kabinet bayangan yang menjadi isu mutakhir ini. Jika benar ‘berpakat’, tidak ada sebab untuk melewatkan pengumuman Kabinet bayangan. Pembangkang wajar menggunakan sesi Parlimen berikutnya sebagai medan menamakan Kabinet yang mahu ditampilkan.

Penulis mengucapkan tahniah kepada sebuah artikel bertajuk Changing face of Malaysia - in Lee Kuan Yew‘s eyes yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini. Sekurang-kurangnya, penulis artikel tersebut berani membicarakan ‘realiti politik’ Malaysia yang perlu difahami jelas oleh mereka yang terlalu yakin dan ultrakiasu.

Ini diperkukuh dengan fakta hanya 45 kerusi Parlimen majoriti pengundi Cina daripada 222 keseluruhan kawasan Parlimen di Malaysia. Penulis artikel yang sama turut menyatakan jika semua pengundi Cina tidak mengundi BN sekalipun - kerajaan tidak akan tumbang.

Kita tidak perlu meletakkan suasana politik sedemikian ekstrem. Yang nyata, sejarah membuktikan, pendulum sokongan pengundi Cina boleh berubah mengikut musim dan suasana politik. Ada ketikanya, BN akan menikmati sokongan yang baik. Dengan strategi yang betul, diikuti dengan penjernihan imej yang berkesinambungan, BN boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.

DAP tidak pernah mengubah strategi politik. Semuanya masih bersandarkan kepada jalur rasisme kental dan semangat perkauman. Semangat meritokrasi, ideal transparensi dan akauntabiliti hanyalah saduran. Di dalam jiwa dan semangat politik, DAP masih lagi punya semangat yang sama.

Kita boleh lihat bagaimana pemimpin DAP seperti Kit Siang yang menggunakan pengumuman Agenda Bumiputera minggu lalu sebagai senjata ampuh untuk menyerang tindakan kerajaan. Beberapa artikel yang jelas menonjol semangat perkauman seperti ‘Di Mana Kerajaan Saya?' (http:// blog.limkitsiang.com/2013/09/17/where-is-my- government/#comments) dan http://blog. limkitsiang.com/2013/09/16/has-najib-finally- abandoned-the-new-economic-model-nem/ sangat bersesuaian dengan semangat kiasu mereka.

BN perlu membuat analisis politik lengkap lagi jujur dalam mendepani cabaran politik yang dibawa DAP. Kaedah gerakan mereka nampak sangat tertumpu dan mempunyai sasaran jelas. Tidak dapat tidak, pendekatan politik drastik mesti diambil dalam memastikan UMNO dan BN tidak terus bermasalah mendapat sokongan di bandar.

Kaedah politik lama, menyediakan makan malam dengan hadiah cabutan bertuah mungkin sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Wajah politik perlu dijernihkan. 2,040 pusat daerah mengundi (PDM) bermajoriti pengundi Cina termasuk lebih 940 daripadanya mempunyai majoriti lebih 70% pengundi Cina memerlukan model politik baharu.

Jika perlu, mungkin sudah tiba masanya BN melantik Sekretariat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (SKRBN) di kawasan Parlimen yang strategik dan boleh dimenangi. Pilih orang muda yang bersih dan berintegriti untuk memberi khidmat kepada rakyat. Hierarki kepartian yang melembabkan dan melemahkan transformasi politik mesti diubah.

Kalangan yang tidak benar-benar menjiwai semangat BN wajar diketepikan terus. BN perlu tegas dengan disiplin politik untuk mendapat hormat dan penghargaan rakyat. Selagi mana mereka yang mensabotaj BN, mampu terus mendekati rakyat, selagi itulah BN akan kehilangan maruah dan integriti.

Read more »

SPR DIGESA MENYAMAN PAKATAN KERANA FITNAH


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesak mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar laporan palsu mengenai kewujudan pengundi hantu warga Bangladesh dan insiden gangguan bekalan elektrik dalam pilihan raya umum lalu.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, tindakan tegas itu penting sebagai pengajaran kepada pihak terbabit serta pihak lain supaya tidak sewenang-wenangnya menyebar fitnah sehingga menjejaskan imej negara.

Menurut beliau, SPR tidak sewajarnya memandang remeh pembohongan itu atas alasan tidak mahu melayan kerenah pembangkang kerana tuduhan yang dibuat adalah serius.

"Ini soal kewibawaan sebuah badan yang berintegriti. Kita kesal kerana tuduhan itu boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap SPR sebagai pengendali pilihan raya umum," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang tidak bercadang mengambil tindakan terhadap pemimpin Pas dan DAP ekoran dakwaan wujud pengundi hantu sebanyak 40,000 warga Bangladesh dan insiden bekalan elektrik terputus dalam pilihan raya umum lalu.

Penipuan pembangkang berhubung isu itu terbongkar selepas pemimpin DAP dan Pas sendiri mengakui insiden tersebut tidak benar.

Dalam pada itu, Ruslan melahirkan rasa kesal dengan tindakan Wan Ahmad yang tidak mahu mengambil tindakan terhadap pembangkang yang disifatkan beliau menunjukkan seolah-olah SPR mengakui kebenaran dakwaan tersebut.

"Dakwaan itu menyebabkan segelintir rakyat mempercayainya dan mengecam SPR, maka adalah tidak wajar untuk SPR berdiam diri," katanya.

Read more »

Tuesday, September 17, 2013

PENGAJARAN SEPANJANG 50 TAHUN USIA MALAYSIA


JIKA diibaratkan sebagai seorang manusia, usia lebih separuh abad lazimnya membentuk kedewasaan, kematangan, dan kebijaksanaan. Hal ini disebabkan pengalaman yang ditempuh sepanjang kehidupan banyak menimbulkan keinsafan dan pengajaran.

Demikianlah juga dengan Malaysia. Kemerdekaan yang dicapai lebih 50 tahun seharusnya menjadikan negara dan rakyatnya dewasa, matang, dan berwibawa. Telah sedemikian banyak liku yang dilalui. Sudah banyak pula onak dan duri yang ditempuh. Dengan kata-kata lain, kita telah mengenal dunia dan mengetahui permainannya. Ibarat kata pepatah, lebih lama kenal dunia, lebih lama tahu ranjau dan jurang hidup.

Resam kehidupan, ujian yang datang tidak mungkin ada noktahnya. Seperti diungkap al-Imam al-Syafi’‘ r.h.,: Ujian zaman datang begitu banyak, silih berganti tidak berhenti. Maka tidak hairanlah jika kita melihat semakin berusia negara ini semakin banyak dan hebat ujian yang melanda.

Antaranya termasuklah bentuk-bentuk ajaran dan pemikiran tertentu daripada Timur dan Barat yang tibanya bersilih ganti. Sekadar menyebut sebahagiannya cuma; sekularisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sedang diberikan perhatian kini, iaitu ajaran atau doktrin Syiah. Pemikiran atau doktrin yang tersasar jauh daripada landasan sebenar dan menyesatkan itu hakikatnya tidak mudah disekat hanya dengan menutup punca kemasukannya atau juga dengan menamatkan hubungan siasah yang telah sedia terjalin.

Hal ini mengambil kira hakikat dunia kini telah tiada sempadan atau batasannya. Manusia bebas berkomunikasi, menyampaikan pandangan dan menyebarkan pemikiran serta doktrin yang dianuti melalui pelbagai wadah seperti portal berita, blog, e-mel, web, dan media sosial.

Dengan yang demikian, matlamat memelihara masyarakat daripada musibah yang dibawa pemikiran-pemikiran seumpama itu harus terlaksana melalui tindakan yang tepat, berhikmah, dan berkesan. Dengan kata-kata lain, segala aspek dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum langkah menangani atau membendung penularan sesuatu pemikiran diambil. Dalam hubungan ini, pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman, pemantapan akhlak di samping pembudayaan sepenuhnya prinsip menyeru kepada kebaikan serta menghalang kemungkaran dilihat sebagai lebih utama dan berkesan.

Tindakan ini tidak lain selain bertujuan membina perisai atau benteng diri yang teguh dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman yang melanda pada masa kini. Jika dikiaskan pada tubuh, daya ketahanan tinggi yang dimiliki seseorang akan melindungi dirinya daripada dilanda sesuatu penyakit dengan mudah. Begitulah pula sebaliknya.

Perhatian utama terhadap aspek pemerkasaan akidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pemurnian kefahaman dan sebagainya itu perlu disusuli penilaian terhadap keberkesanan pendekatan yang digunakan selama ini. Adakah misalnya kaedah penyampaian pengajaran dan pendidikan bersesuaian dengan kehendak dan keperluan masyarakat yang telah dilanda perubahan pesat dalam segenap sudut? Atau sebaliknya kaedah tersebut gagal menarik minat anggota masyarakat untuk menerima pengajaran yang disampaikan? Apatah lagi untuk menghayatinya.

Malang sekali jika sedemikian banyak ruang dan masa diperuntukkan bagi menyampaikan ajaran agama; daripada pendidikan pada setiap peringkat pengajian sehingga khutbah di masjid dan program keilmuan di corong-corong radio serta kaca televisyen, namun akhirnya ajaran tersebut gagal sampai kepada kelompok sasarannya. Malah sebaliknya sebahagian kelompok berkenaan, khususnya golongan muda lebih mudah beralih kepada ideologi dan pemikiran asing yang ditemui mereka dalam media baharu.

Sungguh menyedihkan jika kebenaran tidak berupaya disampaikan dengan sebaik-baiknya kepada anggota masyarakat hanya kerana kelemahan pada kaedah atau pendekatannya. Sedangkan kebatilan pula dengan mudah menerobos dan menakluki pemikiran mereka hanyalah disebabkan kehebatan kaedah yang digunakan. Tepat sekali apa yang diingatkan oleh Khalifah ‘Ali k.w. bahawa kebenaran yang diperjuangkan secara tidak tersusun akan dapat ditewaskan oleh kebatilan yang disusun secara sistematik.

Dengan yang demikian, seluruh institusi yang terlibat seperti pendidikan, pemikir dan penyelidikan, dakwah, termasuk media perlu menggembleng tenaga secara bersama. Tujuannya bagi memastikan kaedah penyampaian pengajaran, pendidikan, serta dakwah diberikan nafas baharu dan ditampilkan dengan wajah serta format lebih kreatif dan segar, seiring dengan perubahan masa dan persekitaran. Walau bagaimanapun, pendekatan baharu yang digunakan haruslah tidak sama sekali semata-mata menurut selera masyarakat dengan mengabaikan kepentingan kandungan pengajaran, iaitu bagi meningkatkan kefahaman tentang ajaran agama serta tahap keilmuan dan memperluas ufuk pemikiran mereka.

Golongan ilmuwan dan agamawan secara khususnya harus menyedari bahawa mahu tidak mahu, mereka telah pun berada dalam medan persaingan untuk mendapatkan perhatian besar masyarakat awam. Jika perkara ini tidak diberikan tumpuan sewajarnya maka sudah tentu ruang yang ditinggalkan mereka dengan pantas diisi oleh pihak lain yang menanti untuk merebut peluang tersebut. Justeru, para ilmuwan dan agamawan harus memiliki daya tarikan yang kuat bagi memastikan bahawa mereka sentiasa dijadikan rujukan dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sememangnya pada dasarnya, masyarakat awam memikul tanggungjawab untuk merujuk kepada mereka, iaitu sebagaimana diperintahkan al-Quran.

Kecenderungan untuk menjadikan mereka sebagai rujukan sudah tentu pula didorong oleh keyakinan terhadap kewibawaan yang dibentuk oleh sifat-sifat dan nilai-nilai terpuji. Namun sekiranya, kewibawaan yang dimiliki telah pun lenyap sehingga meluputkan kepercayaan masyarakat untuk bergantung pada mereka, maka selayaknya merekalah yang bertanggungjawab atas kekhilafan yang berlaku itu. - Utusan Malaysia

Read more »

SIFAR SETINGGAN 2014

Gambar Hiasan
KUANTAN 16 Sept. - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mensasarkan setinggan sifar menjelang Mac tahun depan apabila kira-kira 437 keluarga setinggan yang direkodkan berpindah ke Perumahan Rakyat Disewa Flat Permatang Pak Mahat di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, hampir kesemua setinggan tersebut layak dan kini dalam proses untuk dipindahkan secara berperingkat.

"Kita tidak ada masalah melakukan penempatan semula pada setinggan tersebut kerana unit-unit perumahan mencukupi malah melebihi daripada jumlah rumah setinggan yang diduduki kini.

"Kerajaan negeri mahukan yang terbaik supaya mereka dapat meningkatkan kualiti serta taraf hidup dengan pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Penyelarasan Operasi Roboh Bangunan di Tok Keramat di sini semalam.

Menurut Muhammad Safian, sebanyak 37 unit rumah setinggan di Tok Keramat yang dibina sejak 30 tahun lalu terpaksa dirobohkan berikutan kawasan berkenaan tidak sesuai dijadikan penempatan dan milik persendirian.

"Justeru, sebanyak 80 unit rumah disediakan dan mereka diberi tempoh kira-kira dua bulan untuk merobohkan rumah berkenaan iaitu berakhir pada Rabu ini.

"Bagaimanapun, sehingga kini hanya terdapat 10 buah rumah masih belum dirobohkan walaupun MPK telah memberikan tempoh lanjutan perpindahan kepada mereka yang bermula 1 Ogos lalu," jelasnya.

Katanya, sebanyak 80 buah unit rumah disediakan berikutan hasil bancian mendapati terdapat dua hingga tiga ketua keluarga di dalam sebuah rumah setinggan di kawasan berkenaan.

Read more »

SEDIA HADAPI TENGKUJUH


KUANTAN - Sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem saliran di beberapa kawasan dilanda banjir di Dun Panching sekali gus melegakan hati lebih 10,000 penduduk di sini.

Kerja naik taraf yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu kini sudah bermula sejak awal bulan lalu dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, kawasan yang terbabit dalam Projek Peningkatan Sistem Saliran Utama itu adalah Perkampungan Lubuk Puyu, Permatang Badak dan Sungai Belat.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf itu membabitkan pembesaran parit utama, pembinaan jambatan lengkung (arch bridge), pembinaan longkang konkrit dan pembetung baru.

“Sebanyak 59 lokasi akan dibina pembetung kecil supaya air dapat mengalir dengan lancar selain menaik taraf pembetung di lapan lokasi.

“Pembinaan longkang konkrit di Kampung Lubuk Puyu akan menjadikan aliran air lebih sempurna terutama pada musim tengkujuh,” katanya ketika meninjau kawasan terlibat, di sini.

Beliau berkata,  tahun lalu beberapa kawasan di Dun itu dilanda banjir ekoran masalah sistem saliran yang kurang sistematik.

“Justeru, dengan projek peningkatan saliran ini diharap dapat mengurangkan masalah banjir yang sering berlaku di sini.

“Saya mengucapkan terima kasih dan bersyukur kepada kerajaan yang prihatin dengan masalah dihadapi penduduk di Dun Panching.

“Walaupun ia dijangka siap dalam tempoh setahun, namun sedikit sebanyak kawasan terbabit akan lebih baik dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berharap, penduduk di kawasan terlibat projek berkenaan perlu bersabar kerana mungkin terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi.

Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri bagi mengatasi masalah sistem saliran di bandar Kuantan.

Read more »

Sunday, September 15, 2013

HAYATI SEMANGAT HARI MALAYSIA


PADA 31 Ogos 1957 Tanah Melayu (Malaya) bebas daripada belenggu penjajahan British. Malaya yang merdeka ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu merangkumi negeri-negeri yang berada dalam Semenanjung Tanah Melayu. Pada 16 September 1963, wilayah geopolitik tanah air diperluas apabila Sabah, Sarawak dan Singapura memasuki Malaysia secara rasmi. Ia sekali gus menjadikan negeri-negeri tersebut bebas daripada belenggu penguasaan British. Persekutuan Tanah Melayu secara rasminya dikenali sebagai Malaysia. Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut: “Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris".

Secara ringkasnya gagasan penubuhan Malaysia dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj bagi menggabungkan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah dan Sarawak), Brunei dan Singapura. Dalam ucapannya di depan Persatuan Wartawan Asing di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, Tunku berkata: “Sebagai satu bangsa, Malaya pada hari ini sedar bahawa tidak dapat berdiri sendiri. Di luar bidang politik antarabangsa, maka politik kebangsaan kita hendaklah berdasarkan pada konsep yang luas. Lambat-laun Malaya akan mencari persefahaman dengan British dan dengan rakyat-rakyat di Wilayah Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak".

Bagi Tunku, penubuhan Malaysia adalah perlu bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan keselamatan rantau Asia Tenggara terutamanya daripada ancaman komunis. Tunku Abdul Rahman melahirkan kebimbangannya tentang ancaman komunis. British juga melihat ancaman Komunis sebagai alasan utama yang mendorong kepada pembentukan Malaysia. Perkara ini terkandung dalam laporan Colonial Office - CO 1030/980, Proposed state of greater Malaysia, 59/4/10, part D, Commissioner General for South East Asia, Singapore to Iain Macleod, M.P. pada 27 Jun 1961.

Untuk menjayakan gagasan itu, beberapa tindakan telah dilakukan. Tunku sendiri mengadakan lawatan muhibah ke Sarawak, Sabah (Jun 1961) dan Brunei (Julai 1961) bertujuan menerangkan konsep, tujuan dan objektif pembentukan Malaysia. Mereka yang menentang juga dijemput menghadiri Persidangan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di Singapura supaya mendapat penjelasan lanjut daripada pemimpin Tanah Melayu dan Singapura.

Tindakan lain yang diambil antaranya membentuk Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Kaum (JPPK) pada Julai 1961, menubuhkan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 bagi mendapatkan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak, membentuk Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) pada Ogos 1962 dan mengadakan referendum di Singapura pada 1 September 1962. Rombongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Sabah dan Sarawak dari 16 Ogos - 5 September 1963 adalah untuk meninjau reaksi penduduk di sana.

Cabaran pembentukan Malaysia

Sesuatu idea baru itu pasti ada yang menentangnya. Apatah lagi dalam konteks menubuhkan sebuah negara baru yang lebih luas wilayah geopolitiknya. Di Tanah Melayu, Pas menentang tetapi menerimanya setelah memahami manfaat pembentukan Malaysia. Di Singapura, United People‘s Party (PAP) menentang. Pada 1961, PAP pimpinan Lee Kuan Yew mengalami kekalahan teruk di tangan calon prokomunis dalam dua pilihan raya kecil di Hong Lim dan Anson.

Namun, setelah diadakan referendum pada 1 September 1962, rakyat Singapura bersetuju untuk menyertai Malaysia. Di Sabah dan Sarawak, dikatakan rakyat di kedua-dua negeri menentang. Namun, setelah Suruhanjaya Cobbold menjalankan pungutan suara, majoriti rakyat kedua-dua negeri bersetuju untuk memasuki Malaysia.

Brunei yang pada mulanya bersetuju untuk menyertai Malaysia akhirnya menolak kerana ada penentangan daripada rakyatnya sendiri yang dipimpin oleh A.M. Azahari dan Parti Rakyat Brunei. Pada 7 September 1962, Azahari dan Parti Rakyat Brunei melancarkan pemberontakan. Indonesia dan Filipina juga menentang gagasan Malaysia. Filipina mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada wilayahnya. Indonesia pula bercita-cita mewujudkan “Indonesia Raya".

Laporan Suruhanjaya Cobbold yang diserahkan kepada kerajaan British pada 21 Jun 1962 menjadi asas penting kepada pembentukan Malaysia. Suruhanjaya itu mendapati lebih 80 peratus bersetuju dengan gagasan Malaysia. Suruhanjaya mencadangkan Perlembagaan 1957 dijadikan asas kepada Perlembagaan Malaysia dan Persekutuan yang bakal ditubuhkan itu dinamakan ‘Malaysia’.

Selain itu, kuasa autonomi dan jaminan khas dalam sesetengah perkara diberi kepada Sabah dan Sarawak dan kuasa-kuasa itu tidak boleh dipinda tanpa persetujuan daripada kerajaan negeri-negeri berkenaan. Sabah dan Sarawak akan mempunyai ketua masing-masing. Kuasa imigresen dan agama masih di bawah kawalan Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak. Peraturan-peraturan kewangan akan diadakan bagi tujuan pembangunan ekonomi di kedua-dua negeri berkenaan.

Akhirnya, termeterai Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia di London (Perjanjian London) pada 9 Julai 1963 di pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House. Perjanjian itu diwakili oleh wakil Kerajaan British, wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, wakil Sabah dan wakil Sarawak. Hasil rundingan di London (7-9 Julai 1963) memutuskan Malaysia akan ditubuhkan.

Indonesia menentang
Namun, Indonesia membantah keputusan itu dan satu rundingan diadakan di Manila di antara Tunku Abdul Rahman (Tanah Melayu), Sukarno (Indonesia) dan Macapagal (Filipina) bagi membincangkan perkara itu. Mereka membuat kata sepakat agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan tinjauan ke atas penduduk Borneo bagi mengesahkan persetujuan rakyat Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Setiausaha PBB, U-Thant mengirim misinya ke Borneo diketuai Michael More. PBB akhirnya memperakukan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia. Namun, Indonesia tetap menentang keras penubuhan Malaysia. Tun Dr. Ismail menyebut keinginan Indonesia untuk meluaskan wilayah mereka sebagai Negara Kesatuan di Asia Tenggara hingga ke Madagaskar dan Kepulauan Polinesia (UMNO 20 Tahun:1966).

Pada 20 Januari 1963, Indonesia mengisytiharkan Konfrontasi dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Tentera Indonesia menyusup ke sempadan Malaysia, iaitu di Johor, Sabah dan Sarawak. Indonesia juga memutuskan hubungan perdagangan dengan Malaysia pada 21 September 1963. Tindakan Indonesia itu dibantah keras Malaysia.

Perwakilan Malaysia, Datuk Dr. Ismail Abdul Rahman dihantar ke PBB untuk menyampaikan bantahan. Malaysia juga menghantar beberapa perwakilan diketuai oleh Datuk Abdul Razak Hussein ke beberapa buah negara Afrika untuk menjelaskan kedudukan Malaysia-Indonesia.

Malaysia juga telah mendapat bantuan ketenteraan asing dari Britain, Australia, New Zealand dan Kanada untuk mempertahankan kedaulatan negara. Kejatuhan Sukarno dan kegagalan peristiwa GESTAPO pada 30 September 1965 telah mengendurkan konfrontasi Indonesia dan akhirnya pada Jun 1966, perjanjian damai bagi menamatkan konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia diadakan di Jakarta.

Akta Malaysia dan Perisytiharan Malaysia
Pada 26 Ogos 1963 Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Akta Malaysia yang sudah diperkenankan Ratu Elizabeth II serta diluluskan oleh Parlimen British. Walaupun 31 Ogos dicadangkan sebagai tarikh penubuhan Malaysia tetapi disebabkan faktor tertentu maka pengisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963. Persekutuan Malaysia dirasmikan penubuhannya serta diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Selain Tunku Abdul Rahman, tiga lagi pemimpin utama dari tiga negeri baru turut hadir, iaitu Lee Kuan Yew (Singapura), Donald Stephens (Sabah) dan Stephen Kalong Ningkan (Sarawak). Peristiwa bersejarah ini disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat jelata di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Singapura keluar Malaysia
Pada 9 Ogos 1965, Singapura yang turut menyertai Malaysia mengambil keputusan keluar dari Malaysia dan menubuhkan negara republik yang merdeka. Antara faktor yang membawa pemisahan Singapura daripada Malaysia termasuklah persoalan ekonomi, sosial, persoalan kuasa pusat, ideologi politik dan cita-cita peribadi Lee Kuan Yew. Tun Razak menganggap Singapura sebagai ‘duri dalam daging’.

Malaysian Solidarity Convention (MSC) yang dianggotai PAP, SUPP, UPKO dan UDP berikrar akan memperjuangkan Malaysian-Malaysia dan menolak dominasi Melayu dalam kerajaan. Cita-cita Lee Kuan Yew (PAP) itu mencetuskan perbalahan dalam Dewan Rakyat antara pemimpin UMNO dan PAP. Antara yang kuat mengkritik Lee Kuan Yew ialah Dr. Mahathir (Zarina Othman dan Rashila Ramli, 2006).

Sarawak, Sabah maju dan makmur

Sejak 50 tahun merdeka dalam Malaysia, pelbagai kejayaan dilakar oleh kedua-dua negeri itu. Kekukuhan semangat perpaduan pelbagai lapisan masyarakat di Sabah dan Sarawak menjadi tunjang menjamin kestabilan, kesejahteraan, kemakmuran serta keharmonian di kedua-dua negeri itu. Sebelum kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, negeri terbabit adalah miskin dan mundur. Kini, kedua-duanya telah berubah menjadi negeri yang maju dan membangun.

Masyarakat di kedua-dua negeri itu turut menjadi lebih progresif menerusi pendidikan yang lebih bermutu dan peluang pekerjaan yang meluas. Golongan muda yang berpendidikan dan berkemahiran terus menyumbang untuk negeri masing-masing.

Kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan Sabah dan Sarawak mencapai status negeri maju. Selari dengan moto gagasan 1 Malaysia dan dasar transformasi, rakyat Sabah dan Sarawak terus menikmati kemajuan yang lebih terserlah. Menerusi bantuan Kerajaan Persekutuan, kedua-dua kerajaan negeri itu telah merangka pelbagai strategi bagi membangun negeri masing-masing, bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga di kawasan luar bandar.

Ekonomi Sabah dan Sarawak terus berkembang positif, iaitu tumbuh lima peratus pada tahun lalu tahun lalu. Perkembangan sihat itu ditunjangi oleh penjanaan aktiviti-aktiviti ekonomi daripada pelaksanaan projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Kedua-dua koridor pembangunan itu berupaya menarik lebih banyak pelaburan asing ke negeri masing-masing dan dijangka berupaya memacu pertumbuhan KDNK hingga enam peratus pada tahun 2015 nanti.

Kini, agenda transformasi yang dibawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus menjamin kemajuan dan kedudukan Sabah dalam Malaysia. Sebahagian besar peruntukan RMK-10 disalurkan bagi membangunkan kedua-dua negeri terbabit. Menerusi NKRA Infrastruktur Luar Bandar, jalan raya di Malaysia Timur sahaja membentuk 54 peratus daripada keseluruhan jumlah jalan raya di negara ini.

Pada keseluruhannya, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia. Kestabilan politik di kedua-dua negeri itu menjadi antara faktor penting menarik pelaburan serta membolehkan perniagaan berkembang pesat. Kini, kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Sabah dipimpin oleh Datuk Seri Panglima Musa Aman terus komited untuk mempertingkat tahap kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial demi kesejahteraan rakyat di negeri-negeri terbabit.

Kedaulatan Wilayah dilindungi

Pada 12 Februari 2013 berlaku peristiwa pencerobohan bersenjata oleh pengikut Jamalulail Kiram III ke atas wilayah Sabah, iaitu di Lahad Datu sehingga mengorbankan 10 orang anggota keselamatan kita. Sebagai sebuah wilayah yang sah dan merdeka dalam Malaysia, pasukan keselamatan negara terdiri daripada polis dan tentera telah berjuang dan berjaya mempertahankan bumi Sabah melalui "Ops Daulat".

Kesimpulan, pembentukan Malaysia adalah satu rahmat yang harus disyukuri kerana pembentukannya telah menjadikan kita satu negara bangsa yang besar, bersatu dan makmur. Kedaulatan seluruh wilayah Malaysia akan terus dipertahankan daripada sebarang ancaman dan pencerobohan.

"Malaysia Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku" mestilah tertanam dalam minda dan jiwa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara ini.

Read more »

share2