Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 17, 2013

SEDIA HADAPI TENGKUJUH


KUANTAN - Sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem saliran di beberapa kawasan dilanda banjir di Dun Panching sekali gus melegakan hati lebih 10,000 penduduk di sini.

Kerja naik taraf yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu kini sudah bermula sejak awal bulan lalu dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

Adun Panching, Datuk Mohd Zaili Besar berkata, kawasan yang terbabit dalam Projek Peningkatan Sistem Saliran Utama itu adalah Perkampungan Lubuk Puyu, Permatang Badak dan Sungai Belat.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf itu membabitkan pembesaran parit utama, pembinaan jambatan lengkung (arch bridge), pembinaan longkang konkrit dan pembetung baru.

“Sebanyak 59 lokasi akan dibina pembetung kecil supaya air dapat mengalir dengan lancar selain menaik taraf pembetung di lapan lokasi.

“Pembinaan longkang konkrit di Kampung Lubuk Puyu akan menjadikan aliran air lebih sempurna terutama pada musim tengkujuh,” katanya ketika meninjau kawasan terlibat, di sini.

Beliau berkata,  tahun lalu beberapa kawasan di Dun itu dilanda banjir ekoran masalah sistem saliran yang kurang sistematik.

“Justeru, dengan projek peningkatan saliran ini diharap dapat mengurangkan masalah banjir yang sering berlaku di sini.

“Saya mengucapkan terima kasih dan bersyukur kepada kerajaan yang prihatin dengan masalah dihadapi penduduk di Dun Panching.

“Walaupun ia dijangka siap dalam tempoh setahun, namun sedikit sebanyak kawasan terbabit akan lebih baik dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berharap, penduduk di kawasan terlibat projek berkenaan perlu bersabar kerana mungkin terdapat beberapa kesulitan yang dihadapi.

Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri bagi mengatasi masalah sistem saliran di bandar Kuantan.

0 comments:

share2