Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 27, 2013

Shila Amzah Mengaku Masih Warga Malaysia


Sekarang ini masa untuk bekerja. Banyak perkara yang perlu dikejar. Tak ada masa nak bersedih-sedih lagi," kata Shila Amzah, 23, berhubung keadaan dirinya pada hari ini. Baginya tempoh merawat luka di hati selepas putus cinta dengan pelakon Shaarnaz Ahmad kira-kira empat bulan yang lalu sudah memadai.

Enggan terus mengingati detik sedih itu, Shila merasakan ada hikmah tersembunyi di sebalik cintanya yang terhalang dan tidak mendapat restu orang tua. Bahkan juara pertandingan Asian Wave 2012 ini mengaku terlalu beremosi sewaktu menjalinkan hubungan cinta satu ketika dahulu.

Lantaran itu Shila mengabadikan kisah cintanya sebelum ini sebagai satu pengalaman hidup seperti yang dilalui wanita lain.

Kini yang penting buat artis di bawah naungan Shanghai Music Group (SMG) ini adalah fokus untuk menempa nama sebagai penyanyi bertaraf dunia.

Shila amat yakin dengan kemampuannya. Dan yang lebih penting lagi impiannya itu disokong penuh oleh bapa, ND Lala, 51, dan ibu, Fauziah Sarman, 44.

Kedua-dua tulang belakang Shila itu juga menjadi penggerak utama kerjaya buat anak sulung daripada empat beradik itu.

Shila amat bertuah kerana orang tuanya sentiasa menyuntik semangat agar lebih bersedia untuk melangkah jauh ke hadapan.

"Manusia belajar daripada pengalaman. Jika dahulu saya agak berperangai macam budak-budak tapi tidak selamanya saya begitu. Mungkin sebab masa itu saya tidak boleh berfikir jauh. Tapi kini tidak lagi.

"Saya semakin fokus tentang apa yang mahukan dalam hidup. Malah saya bersungguh-sungguh mencapai impian itu. Saya mahu berkongsi kepada semua tentang bakat yang ada.

"Kesedihan yang saya alami itu ternyata tidak lama. Sewaktu mengerjakan umrah pada Mac lalu, saya curahkan segala-galanya kepada-Nya.

"Ada rezeki lain yang datang menggantikan rawan hati saya. Dan semua itu adalah ganjaran daripada kesabaran yang ditanggung selama ini," katanya penuh syukur.

Kini pemilik syarikat Shila Amzah Entertainment Berhad (SAEB) ini sedang sibuk dengan persiapan pembikinan album Melayu kelima yang bakal dilancarkan bulan depan.

Mengekalkan konsep pop rock, album yang masih dirahsiakan judulnya itu cukup istimewa kerana Shila sendiri yang mencipta keenam-enam lagu yang dimuatkan dalam album itu.

Malah Shila mencatatkan segala pengalaman suka, duka, susah dan senang yang dialami selama ini khusus buat peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.

"Tak banyak yang boleh saya kongsi untuk pembikinan album ini. Terpaksa dirahsiakan buat sementara waktu sehingga tiba masanya," kata Shila yang bakal terbang ke Shanghai, China penghujung bulan ini.

Penyanyi lagu Patah Seribu ini menafikan dia sudah menukar taraf kewarganegaraan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Mengakui tetap warganegara Malaysia, Shila menjelaskan bahawa dia hanya mendapat taraf penduduk tetap di China bagi memudahkan urusan kerjaya seninya.

Dengan keistimewaan itu, dia tidak perlu berulang-alik ke Jabatan Imigresen untuk urusan pembaharuan visa lawatan.

Shila juga bertuah menjadi satu-satunya artis Malaysia bertudung yang berpeluang mengembangkan bakat di negara yang megah dengan Tembok Besar China itu.

Selain itu Duta Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) ini juga menjadi simbol perpaduan peminat seni dua negara tersebut.

"Saya bersyukur apabila khalayak di China semakin menerima penyanyi bertudung seperti saya. Biarpun di sana saya jarang mengenakan mekap tetapi peminat tetap mengenali.

"Pernah saya bermain badminton dan kemudiannya disapa oleh peminat dengan panggilan Kak Xi-La. Saya terperanjat mereka kenal saya.

"Mereka terima saya sebab bakat dan penampilan bukan penghalang utama untuk mengeratkan silaturahim," katanya yang bakal melancarkan pertandingan menguruskan badan, Shilalas Biggest Loser dalam kalangan peminatnya.

0 comments:

share2