GENERASI Y, yang pada satu hari nanti diharap menjadi pemimpin negara berwibawa, perlu celik undang-undang.
Oleh itu, mereka mesti mampu menggunakan akal fikiran secara waras dan tidak akan membenarkan diri ditipu oleh orang lain (biasanya yang lebih tua dari mereka) yang punyai agenda selfish tersendiri, bukan agenda nasional yang mementingkan kesejahteraan seluruh rakyat negara ini.
Generasi Y ini (yang lazimnya mudah mempercayai orang lain, terutama orang yang lebih berpengalaman dari mereka) mesti peka bahawa mereka sedang diperalatkan oleh puppet-master yang amat licik memanipulasi pihak lain.
Antara undang-undang negara yang Generasi Y mesti faham sepenuhnya adalah undang-undang jenayah hasutan, yang terkandung dalam Akta Hasutan 1948 (Akta 15), mulai berkuatkuasa sebelum merdeka tetapi telah disemak semula pada 1969.
Akta ini mengandungi 11 seksyen sahaja. Yang terpenting adalah seksyen 3, yang mengandungi huraian terperinci istilah "kecenderungan menghasut" dan seksyen 4, iaitu yang menyatakan hukuman bagi kesalahan menghasut.
Sesuatu ucapan itu dikira mengandungi "kecenderungan menghasut" sekiranya ia -
(i) Mendatangkan kebencian terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(ii) Mendatangkan penghinaan terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(iii) Membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan;
(iv) Membangkitkan (mengapi-apikan) rakyat supaya cuba mendapatkan perubahan dengan apa cara yang tidak sah;
(v) Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau perasaan tidak setia kepada institusi kehakiman negara;
(vi) Menimbulkan rasa tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di Pertuan Agong atau Raja;
(vii) Mengembangkan rasa niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di negara ini;
(viii) Mempersoalkan perkara-perkara sensitif yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan (misalnya Bahagian III, Perkara 152, 153 atau 181).
Sebagai contoh, andainya seorang ahli politik atau aktivis itu, ketika berucap di satu perhimpunan (sama ada tertutup atau sewaktu menyertai protes jalanan) ada melafazkan kata-kata seperti "Ayuh tuan-tuan dan puan-puan. Mari kita sama-sama turun ke jalan raya dan kita gulingkan kerajaan yang ada sekarang ini menerusi kuasa rakyat (people power)" itu sudah prima facie merupakan satu ucapan yang menghasut, kerana ia mengapi-apikan rakyat untuk mendapat perubahan secara tidak sah, bukan menerusi proses pilihan raya.
Begitu juga, jika dalam ucapannya, dia menimbulkan rasa benci terhadap mana-mana raja atau kerajaan, dia juga telah melakukan kesalahan menghasut. Ataupun dalam ceramahnya dia ada menghina mana-mana raja atau kerajaan, atau ada menimbulkan rasa tidak setia kepada mana-mana raja atau kerajaan atau menimbulkan rasa tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong.
Samalah juga halnya sekiranya semasa dia berucap dia ada mengembangkan rasa niat jahat atau permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di negara ini, dia juga telah melakukan kesalahan menghasut.
Tidak lama dulu saya sempat berbual panjang dengan seorang kenalan, Dr. Ho (bukan nama sebenarnya), tokoh akademik dari sebuah pusat pengajian tinggi tempatan, kini sudah bersara. Bila saya tanya pendapatnya tentang sikap dan pendirian pengundi kaum Cina di Pulau Pinang khasnya dan di seluruh negara amnya, saya terkejut bila dia menjawab bahawa sebahagian besar pengundi Cina tidak lagi percayakan Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan itu "telah gagal memelihara kebajikan kaum Cina" di seluruh negara. Bila saya katakan kepadanya bahawa itu adalah tidak betul dan satu pembohongan, kenalan saya itu berkata walaupun kenyataan itu tidak benar, ia menjadi propaganda yang sentiasa dijadikan modal pihak berkenaan mendapatkan sokongan kaum itu.
Nampaknya propaganda yang sama telah dijadikan bahan sebaran am menerusi media sosial oleh cyber troopers (tentera maya) pihak pembangkang menjelang PRU13. Pada waktu itu ramai di kalangan sahabat yang aktif menggunakan media sosial sudah mengetahui dan merasakan peranan jahat Red Bean Army ini, tetapi nampaknya ramai dalam kalangan ahli politik BN yang terus selesa dan "under-estimate" (gagal menyedari) kesan buruk perbuatan jahat pasukan cyber troopers ini.
Jika kita lihat secara teliti maksud seksyen 3 Akta ini, jelas sudah perbuatan menyebarkan maklumat salah menerusi media sosial dengan niat menimbulkan rasa benci rakyat terhadap kerajaan atau rasa tidak setia kepadanya adalah satu kesalahan menghasut. Sesiapa sahaja yang mengambil bahagian, secara sedar atau tidak, menyebarkan maklumat palsu itu di kalangan rakyat, boleh diheret ke mahkamah kerana melakukan kesalahan menghasut.
Dan jika rasa benci dan tidak puas hati kepada kerajaan itu diapi-apikan lagi dengan seruan dan ajakan agar rakyat turun ke jalan raya bagi maksud menggulingkan kerajaan secara tidak sah, itu menambahkan lagi kesalahan menghasut yang dilakukan.
Perbuatan berkumpul dengan berbaju hitam sambil menterbalikkan bendera Malaysia, jika diiringi dengan niat menunjukkan benci kepada kerajaan, menghina kerajaan atau mengapi-apikan rasa tidak setia kepada kerajaan atau menggulingkan kerajaan secara tidak sah, juga adalah kesalahan menghasut.
Sekiranya seorang itu telah diheret ke mahkamah kerana melakukan kesalahan menghasut, dan disabitkan kesalahannya di bawah seksyen 4(b) Akta (iaitu "menyebut apa-apa perkataan menghasut"), dia boleh dikenakan hukuman (bagi kesalahan pertama) penjara tidak melebihi 3 tahun, denda RM5000 atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berikutnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari 5 tahun.
Andainya orang itu ada dalam miliknya penerbitan menghasut, ia juga adalah satu kesalahan, dan jika dia disabitkan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 18 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan selanjutnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun.
Sementara itu, proses tangkapan dan siasatan mengenai kesalahan menghasut ini dijalankan polis, tidak ada pendakwaan boleh dijalankan ke atas mana-mana tertuduh kecuali izin bertulis telah terlebih dahulu diperolehi dari Pendakwa Raya - Seksyen 5. Ini bermakna segala pertuduhan dan pendakwaan kes-kes hasutan akan ditapis dan dinilai terlebih dahulu oleh Peguam Negara (selaku Pendakwa Raya) sebelum sesuatu kes hasutan itu boleh sampai ke mahkamah.
Seksyen 11 Akta ini memberi kuasa kepada mana-mana Pegawai Polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan, cuba melakukan, menyebabkan atau bersubahat dengan mana-mana orang untuk melakukan kesalahan di bawah Akta ini.
Ini bermakna bahawa tindakan awal memerangi anasir penghasut di negara kita ini adalah tanggungjawab PDRM. Tidak timbul soal bahawa sekiranya seorang itu ditangkap dan disiasat oleh pihak polis kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta ini, ia merupakan tindakan kuku besi Kerajaan Pusat. Menghasut adalah satu kesalahan jenayah biasa, di bawah satu undang-undang yang telah lama wujud. Ia tidak sewajarnya dipolitikkan.
0 comments:
Post a Comment