Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 1, 2013

Jihad Bagi Umat Islam Menolak PAS


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat Kelantan supaya berjihad dengan menolak PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana selama ini parti itu menyebabkan kemunduran kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan pimpinan PAS itu adalah kerajaan yang sangat lemah dan tidak berupaya sama sekali untuk membawa pembangunan di Kelantan walaupun telah diberi mandat memerintah sejak 23 tahun lalu.

"Inilah masanya untuk Barisan Nasional (BN) menang di Kelantan. Ini adalah perkara jihad yang perlu dilakukan oleh rakyat Kelantan demi menolak kemunduran dan segala kelemahan yang telah dilakukan.

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu jika rakyat sendiri terutama rakyat Kelantan tidak membuat perubahan itu,".

Muhyiddin berkata, jika BN menang pada PRU13, Ahad ini, Mustapa adalah calon terbaik untuk dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan yang baharu dan beliau mampu membawa Kelantan ke era yang lebih cemerlang.

"Saya berjanji akan berhubung dengan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) pada setiap minggu untuk bertanyakan khabar mengenai Kelantan. Kita akan tolong menyelesaikan segala masalah rakyat Kelantan.

"Ini bukan janji palsu dan ini janji yang akan kita buat kerana ini merupakan amanah kerana setiap apa yang akan kita buat nanti akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T," katanya.

Beliau berkata rakyat Kelantan mempunyai masa beberapa hari lagi bagi membuat keputusan dan Ahad ini adalah hari yang terbaik buat rakyat mengubah kerajaan PAS sedia ada itu.

"Kita mahu memilih kerajaan bagi tempoh lima tahun lagi dan percayalah hanya kerajaan BN yang mampu mengubah keadaan yang tidak mampu dilakukan oleh kerajaan PAS itu," katanya.

Muhyiddin berkata, rakyat Kelantan perlu memikir dengan mendalam dan menilai siapakah sebenarnya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sama ada benarkah Mursyidul Am PAS itu seorang ulama.

"Kalau sokong PAS masuk syurga itu tidak betul. Nik Aziz kata ibadat orang UMNO tidak dapat pahala dan saya ingin bertanya balik, tok guru kah dia, ulama kah dia. Ayahanda saya ada pondok di Johor tidak pernah beritahu pun kata masuk UMNO ini kafir. Apa beza tok guru Nik Aziz dengan Mat Yassin (bapa Muhyiddin).

"Saya hairan, ini bukan main-main, ini sesuatu perkara yang mungkar. Kalau tok guru dah menyimpang, kalau salah baca dalam solat pun kita kena tegur dan kalau sudah lama tidak betul logiknya kita kena tolak tok guru ini," katanya.

Beliau berkata, adalah sesuatu yang menghairankan pemimpin PAS banyak membuat janji seperti mahu mengadakan lebuh raya yang sudah tentu tidak mungkin mampu dilaksanakan PAS.

Katanya, soal membina lebuh raya itulah yang akan diperjuangkan BN apabila berjaya menguasai Kelantan dan Pusat pada PRU ini. - BERNAMA

1 comments:

  • Johan says:
    May 1, 2013 at 9:17 PM

    setuju

share2