Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 26, 2013

AirAsia Perlu Diberi Pengajaran


Orang Melayu harus menolak perkhidmatan AirAsia bagi memberikan pengajaran kepada syarikat yang hanya mementingkan keuntungan tanpa menunjukkan sikap prihatin terhadap penumpang agar tidak lagi mengulangi kesilapan lalu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, AirAsia adalah sebuah syarikat yang mempunyai agenda tersendiri dan tidak memberikan perhatian serius terhadap aduan orang ramai kerana sudah selesa dengan kedudukannya yang melakarkan nama di persada dunia.

Menurutnya, kejayaan AirAsia selama ini adalah daripada sokongan rakyat Malaysia yang menggunakan perkhidmatan ke destinasi-destinasi disediakan.

“Namun, keprihatinan yang diharapkan daripada syarikat milik rakyat Malaysia ini adalah sia-sia belaka kerana jelas AirAsia tidak melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya serta gagal menjalankan perkhidmatan cemerlang.

“Sehubungan itu, orang Melayu khususnya, buat pilihan bijak kerana kini sudah banyak syarikat penerbangan menawarkan harga tambang murah berserta layanan terbaik,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tragedi malang yang menimpa seorang ibu, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, dan anaknya, Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan yang dihalang menaiki pesawat pesawat tambang murah AirAsia, AK 1455 untuk pulang ke negara ini dari lapangan terbang Ho Chi Minh baru-baru ini.

Begitu juga dengan keengganan AirAsia membawa pulang jenazah seorang wanita dari Jogjakarta, Indonesia ke negara ini.

Nadzim juga meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat pemeriksaan ke atas makanan yang disediakan oleh syarikat tersebut yang dipercayai makanan halal dan tidak halal dihidangkan bersama-sama.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Mohamed Izat Emir berkata, AirAsia perlu bertanggungjawab ke atas kesemua penumpang mereka untuk menjadikan syarikat tersebut syarikat penerbangan yang boleh dihormati orang ramai.

“Jika benar apa yang terjadi ke atas mangsa di lapangan terbang Ho Chi Minh baru-baru ini, maka perkara itu tidak wajar berlaku kerana pihak AirAsia perlulah bertanggungjawab menolong mangsa tersebut dengan menyediakan kemudahan seperti hotel dan tambang penerbangan segera.

“AirAsia juga dilihat sering mengubah waktu penerbangan sehingga menyebabkan ramai penumpang terkandas," ujarnya.

0 comments:

share2