Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 21, 2013

PAS TIDAK MAHU PERTAHANKAN AKIDAH UMAT ISLAM



Siapa yang tidak bimbang jika setelah berdekad-dekad lamanya menabur bakti bagi memperkukuhkan syiar Islam di negara ini, tiba-tiba terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba menghancurkannya dalam sekelip mata.

Pihak-pihak terbabit khususnya ahli politik pembangkang tidak segan silu untuk menyokong pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan bersikap tidak apa dengan fahaman pluralisme agama semata-mata atas nama tuntutan kerjasama politik bagi menawan Putrajaya.

Antara individu yang cukup bimbang dengan tindakan berani pihak berkenaan membangkitkan isu-isu sensitif sehingga mencetus polemik di peringkat nasional ialah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kader Talib, 84.

Beliau yang menjadi mufti dari 1991 hingga 1997 dan Imam Besar (Pertama) Masjid Putra, Putrajaya dari 1999 hingga 2001 berkata, mana-mana orang Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim dan fahaman pluralisme agama telah berdosa besar.

"Minta maaflah (membuat teguran). Saya bukan musuh Pas. Saya berkawan dengan semua pembesar dan ulama Pas, tapi ini (tidak bersetuju dengan pendirian parti itu) yang nak menunjukkan bahawa ia sebenarnya adil dan bagus.

"Memang ada sekumpulan, bukan semua dalam Pas itu, oleh kerana nak melicinkan hubungan antara parti-parti yang bergabung, maka mereka sanggup menyatakan bahawa kalimah Allah boleh diucapkan oleh agama lain dan menyokong pluralisme agama," katanya.

Beliau yang secara panjang lebar meluahkan isi hatinya berharap seluruh umat Islam tanpa mengira fahaman politik bersepakat dalam mempertahankan akidah ketika satu pertemuan di kediamannya di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu pernah menyatakan Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Pendirian bersama pakatan pembangkang itu turut dipersetujui Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi, Nik Abdul Aziz dan Mohamad mengubah pendirian masing-masing setelah mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 13 Januari lalu memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.

Menurut Abdul Kader, desakan orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah bukanlah isu baru kerana perkara sama pernah tercetus semasa beliau berada di Mesir pada 1971.

"Ketika itu penganut Kristian Qibti yang berpegang kepada fahaman triniti telah mendesak supaya kerajaan Mesir membenarkan mereka merujuk tuhan mereka dengan nama Allah.

"Pada masa sama mereka turut mendesak supaya Injil yang diguna mereka dirujuk sebagai 'kitab', sama seperti penggunaan perkataan itu bagi merujuk kepada al-Quran.

"Mereka nak namakan juga sebagai kitab dan menggunakan kalimah Allah supaya orang Arab mudah masuk Kristian," katanya yang berkelulusan Sarjana Dakwah dan Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Azhar.

Beliau berkata, ulama-ulama Universiti Al-Azhar pada ketika itu telah menasihatkan kerajaan Mesir supaya tidak melayan tuntutan berkenaan kerana ia dibuat di luar daripada lingkungan undang-undang dan faktor sejarah.

"Berdasarkan kepada pengalaman yang berlaku di Mesir ini, saya berpendirian kita mesti pertahankan (umat Islam sahaja menggunakan kalimah Allah).

"Kerajaan Mesir berjaya menangani isu desakan Kristian Qibti ini tanpa tercetusnya apa-apa pergaduhan dan saya yakin perkara sama boleh dibuat di Malaysia," ujarnya.

Mengulas isu pluralisme agama, beliau menegaskan, mana-mana umat Islam yang mendokong persamaan tak kira dari sudut apa jua antara Islam dengan agama lain boleh dianggap telah berpegang kepada fahaman khurafat dan tahyul.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pihak-pihak yang diberi peranan menangani isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim dan fahaman pluralisme agama supaya mengambil pelbagai pendekatan untuk mengatasinya.

Katanya, antara pendekatan yang boleh digunakan adalah melibatkan ilmu mantik yang menggunakan hujah logik bagi berdepan dengan desakan bukan Islam.

"Semasa saya bertugas di Pusat Islam dari 1980 hingga 1984 (sebagai Timbalan Ketua Pengarah) saya pernah berdepan dengan pemimpin agama lain yang menyertai seminar persefahaman antara agama.

"Saya mendapati mereka lebih menerima hujah dari segi logik berbanding kita membawa ayat-ayat al-Quran kerana mereka tak tahu dan tidak mempercayainya.

"Misalnya, jika mereka datang dan menyatakan nak menggunakan kalimah Allah, kita kena tanya apa tujuannya. Kalau tujuannya hendak menyamakan tuhan mereka dengan Allah SWT, kita kena tolak mentah-mentah kerana ia tak boleh sama sekali.

"Tetapi kalau mereka menyatakan mereka perlu kepada Allah SWT, tuhan orang Islam kerana merasakan tuhan mereka tak cukup kuat, maka mereka sepatutnya masuk Islam dengan meninggalkan tuhan yang lemah dan mengambil tuhan yang lebih kuat," tegasnya.

Menurutnya, bagi menghadapi pemimpin Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan orang muslim yang berpegang kepada fahaman pluralisme, selain hujah logik, ia juga perlu disertakan dengan dalil ayat-ayat al-Quran.

"Saya rasa tiada masalah untuk mendapatkan pakar dalam ilmu logik ini kerana mana-mana lulusan dalam bidang Usuluddin yang belajar berkaitan akidah telah diajar dengan ilmu mantik," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang hampir tiba, Abdul Kader menyambut baik usaha Barisan Nasional (BN) untuk mengetengah golongan ulama muda sebagai calon pilihan raya bagi menggantikan tokoh-tokoh agama yang telah bersara seperti bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Bagaimanapun, Abdul Kader meluahkan kebimbangan kerana terdapat ura-ura baru-baru ini bahawa BN dan pihak pembangkang bercadang mencalonkan tokoh ulama muda yang dilihatnya mempunyai kecenderungan kepada fahaman Muhammad Abdul Wahab (Wahabi).

Fahaman Wahabi mengetepikan amalan harus dan sunat umat Islam negara ini sejak turun-temurun, seperti amalan membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia, membaca Yasin, qunut, tahlil, talkin, berdoa, berzikir dan ziarah kubur.

"Walaupun Wahabi tidak difatwakan sesat, saya bimbang fahaman ini boleh mengeruhkan hubungan sesama umat Islam yang selama ini berpegang kepada pemikiran al-Ash'ari dan al-Maturidi.

"Saya bimbang kalau mereka menjadi calon dan menang, akan meresap roh Wahabiah di dalam pentadbiran negara dan memberi kesan kepada akidah kita," ujarnya lagi.

0 comments:

share2