LAPAN tahun lalu, pada 11 Februari 2005 Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Tetapi banyak yang tidak perasan bahawa kempen ini satu tamparan yang paling hebat; orang Malaysia hilang budi bahasa.
Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena. Pertentangan fahaman antara pemimpin politik mengikis budaya budi bahasa. Mereka seolah-olah bebas dari lingkungan adab sopan dan pengikut pun melihat contoh di depan mata mereka.
Sepatutnya kita meraikan pertentangan dengan hujah bukannya cercaan. Sebenarnya tidak ada kelonggaran kepada orang politik untuk tidak beradab dan berbudi bahasa. Golongan muda juga sudah pandai mencerca, padahal semasa kecil mereka disenandungkan dengan seloka dan gurindam supaya bersopan santun dan berbudi bahasa.
Semasa perhimpunan haram di Kuala Lumpur, tanda aras budi bahasa dan kesantunan golongan muda begitu rendah sekali. Tidakkah ini suatu membimbangkan apabila mencerca polis dan pemimpin tertentu dihalalkan atas nama perjuangan politik?
Tentulah suatu yang amat memalukan apabila negara yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam yang terkenal dengan kesantunan terpaksa diajar berbudi bahasa. Orang Melayu sebenarnya sangat prihatin perihal kesantunan dan budi bahasa. Seawal usia bayi lagi, orang Melayu menyanyikan lagu yang menyingkap peribadi mulia Nabi Muhammad. Selepas petah berbicara, dididik pula berkata-kata dengan bahasa yang mulia.
Di manakah silapnya apabila orang Melayu juga kini menjadi penyumbang kepada tanda aras masyarakat yang biadab di negara ini? Padahal dalam kerangka budaya Melayu dan agama Islam sudah menekankan kesantunan serta seni berkomunikasi dengan bahasa yang baik.
Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat kita berbudi bahasa selayaknya. Kempen ini menandakan keruntuhan tunggak peradaban orang Malaysia termasuk Melayu.
Sasterawan Negara Usman Awang menerusi puisi Melayu telah menggariskan sikap orang Melayu terhadap adab dan kesantunan biarpun untuk melepaskan kemarahan. Kata Usman Awang;
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan."
Ini adalah kesantunan Melayu yang menunjukkan budi bahasanya cukup tinggi hinggakan kalau hendak bersikap kurang ajar pun mesti bersopan santun. Tetapi warisan ini semakin hilang apabila orang Melayu cepat lekang dek panas dan lapuk dek hujan. Orang politik pula tidak banyak memberikan teladan yang baik.
Banyak pemimpin politik tidak lagi bersilat kata dengan santun. Mereka lupa bahawa warga melihat sisi peribadi ini dengan nyata. Baiknya kalau yang menolak untuk diteladani. Tetapi tidak kurang juga yang mewajarkan atas kebebasan bersuara dan mengejar kuasa.
Enam tahun lalu majalah Readers Digest menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya Kuala Lumpur berada di tangga ketiga terakhir. Pada tahun lalu pula turun setakah menjadi bandar raya kedua paling biadab.
Kita boleh sahaja mempertikaikan kajian itu di atas beberapa sebab, antaranya dicurigai kaedah yang digunakan untuk menilai takah kesantunan dan kebiadaban.
Tetapi mempertikai sahaja tidak mampu membersihkan kita daripada kedudukan kedua paling biadab. Kurang kesantunan menyumbang kepada rendahnya kesedaran sivik dan ini boleh disaksikan sendiri di Kuala Lumpur ini. Adakah kita mahu menafikan?
Sebenarnya tanpa kajian oleh Readers Digest pun secara jujur diakui peradaban masyarakat telah jauh menurun. Kesantunan yang tinggi menyumbang kepada peradaban yang juga tinggi.
Dalam masyarakat Melayu di kampung, keutuhan ditunjangi oleh sikap kekitaan, tetapi nilai di bandar menonjolkan keakuan, keasingan yang akhir sekali hilang seni berkomunikasi yang beradab.
Pemikir dan wartawan, Allahyarham Pak Sako pada tahun 1984 pernah menulis dalam kolumnya Di Simpang-Simpang Jalan dalam Utusan Malaysia mengenai pengalaman diherdik oleh kerani di kaunter sebuah pejabat pos. Pak Sako menulis, di kaunter berkenaan ada dua pelanggan dan Pak Sako pelanggan kedua. Kerani yang sebaya cucu Pak Sako dengan kasar menyuruh Pak Sako beratur.
Ini satu contoh hilangnya seni berkomunikasi yang beradab. Padahal dalam budaya Melayu semua ini telah ditekankan termasuk menghormati orang yang lebih tua.
Di sebalik kempen berbudi bahasa, orang kita mudah leka dengan pujian. Dalam akhbar kerap dilaporkan pelancong asing memuji orang Malaysia ramah dan berbudi bahasa". Sebahagian besar daripada kita pun berbangga dengan pengiktirafan" yang diberikan oleh pelancong berkenaan. Tidak terfikirkah kita bahawa kenyataan itu mungkin untuk menyedapkan hati tuan rumah? Tetapi ada dalam kalangan kita tidak bijak memahami antara pujian dan diplomasi.
Warga Malaysia mesti menghentikan serta merta kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Mesti. Mereka mesti menganggap bahawa kempen ini sangat memalukan. Pemimpin politik mesti menyumbang kepada pembinaan kesantunan yang tinggi. Seperti kata Usman Awang, Kurang ajarnya tetap santun." Caranya ialah kembali kepada budaya hidup yang berpaksikan adab dan kesantunan.
0 comments:
Post a Comment