Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 11, 2013

Kesan Politik Agama Kepada Umat Islam

KITA jarang mahu bersusah sedikit untuk mencari ilmu-ilmu tambahan yang mampu menjelaskan lagi pemikiran agama, misalnya dari segi falsafah amalan atau aspek lain yang sangat luas dalam Islam. Sebaliknya, kita lebih suka mengikut kata orang, khususnya orang yang kita tauliahkan sebagai ulama, guru mahu pun ustaz.

Islam adalah addin. Itulah yang selalu dikatakan dan dipersetujui semua orang.

Kalaulah benar-benar kita yakin bahawa ia adalah satu jalan hidup (bukan setakat jalan hidup dunia tetapi juga jalan hidup akhirat) adakah kita akan mengambil remeh, mengikut-ikut dan tidak pernah mempersoalkan, ataupun mengkaji ulang perkara yang kita dakwa sebegini penting.

Sebaliknya, kita lebih selesa menyerahkan urusan memikirkan agama kepada beberapa orang yang kita anggap seakan-akan telah ditauliahkan Tuhan. Mereka ini memberitahu kita bermacam-macam perkara berkaitan dengan agama. Dalam pada itu, telah terbukti banyak pihak yang dimanipulasikan oleh individu yang menggunakan agama sama ada dalam bentuk bomoh, ustaz, mahaguru dan sebagainya akibat kepercayaan total yang diberi kepada kumpulan ini.

Kadang-kadang perbuatan atau ajaran mereka sampai kepada suatu keadaan yang sukar diterima akal sihat misalnya seorang 'ustaz' yang diminta berubat terlebih dahulu meminta habuan seks. Tapi, atas kecetekan agama, hal ini boleh terjadi.

Dalam hal yang lain, kita cenderung melihat orang agama adalah sebagai bukan manusia biasa berdarah berdaging. Mereka lebih suci berbanding orang lain.

Adakah kita harus menyerahkan seratus peratus urusan agama kepada kumpulan ini, yang kadang-kadang lebih suka menunjukkan keegoan agama berbanding kejujuran dalam beragama. Sukar dipercayai kalau seseorang yang mengaku ulama boleh menyatakan beliau lebih dekat dengan Tuhan berbanding orang lain, maka pandangan mereka lebih utama untuk didengar.

Dalam keadaan kecelaruan agama seperti yang terjadi sekarang, amat sukar untuk menemui seseorang yang bernafas dengan nafas agama. Kita boleh mendengar pandangan mereka kerana mereka sangat jujur, tanpa berselindung apa-apa kepentingan. Agak ironis apabila kita menemui wajah-wajah murni ini bukan pada seorang tok guru, ustaz atau ulama, tetapi mungkin sahaja kepada seseorang pentadbir ataupun seorang ahli perniagaan ataupun seorang pemimpin yang bukan tok guru.

Sebaliknya, apabila menemui orang agama, mereka akan memulakan bicara dengan menyebut politik "Islam", lalu seterusnya penuh dengan sindiran terhadap pihak lain yang kononnya penuh dengan kekotoran dan maksiat. Secara psikologi, pihak yang suka mengata kepada pihak lain biasanya merekalah yang berlebihan. Mengatakan hal yang buruk tentang orang lain pun sudah menunjukkan tidak jujurnya mereka kepada Allah SWT. Urusan seseorang dengan Tuhan adalah hal paling privacy antara individu itu dengan Tuhan dan tidak perlu mewakilkan kepada orang lain.

Di negara kita, ceramah agama lebih banyak digunakan sebagai medan berpolitik atas alasan 'politik tidak boleh dipisahkan daripada agama'. Seorang ulama politik, presiden sebuah parti Islam memberitahu khalayaknya suatu masa dulu, bahawa memisahkan keduanya boleh membawa kekufuran.

Ciri-ciri kiai pop kian popular di negara kita. Contohnya mereka begitu senang menggelarkan ulama yang tidak sehaluan sebagai ulama su'u atau 'syaitan bisu' serta mudah mengeluarkan fatwa pelik dan aneh sesuai dengan mood politik semasa. Mereka juga sanggup mengkafirkan orang Islam lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Mereka menganggap diri mereka ialah orang yang serba tahu dan mampu menyelesaikan semua masalah di dunia dan di akhirat.

Fatwa parti

Ratusan orang bercakap atas nama Islam di negara kita. Parti Pas menggunakan nama Islam, sehingga sukar dibezakan masyarakat mana satu pandangan parti dan mana satu pandangan Islam. Fatwa berkawan dengan syaitan, boleh berkongsi nama 'Allah' ataupun 'Tuhan samseng' adakah merupakan fatwa Islam ataupun fatwa parti?

Pas sepanjang sejarahnya amat ketat memegang ideologi dan tidak menerima pandangan-pandangan lain. Seakan-akan mereka sahaja pemilik agama Islam dan memonopoli Tuhan. Pandangan agama kumpulan lain, termasuklah mufti dan majlis-majlis agama dianggap bukan pandangan Islam yang sebenar dan diusahakan supaya masyarakat menolak pandangan selain pandangan mereka.

Orang Melayu sangat sensitif dengan apa sahaja yang berbunyi agama. Manakala agama pula dikaitkan dengan budaya Arab. Kepada mereka, apa sahaja hal-hal berkaitan dengan Arab perlu dihormati. Pakaian Arab, bahasa Arab, tulisan Arab dan macam-macam lagi.

Pas dengan bijak mengeksploitasi kelemahan Melayu ini dengan memancarkan budaya 'kearaban' dalam pakaian, majlis, sebutan dan gelaran dalam parti mereka supaya ia meningkatkan lagi "keislaman' mereka berbanding kumpulan yang bukan 'kearaban'.

Orang Melayu juga tebal dengan kepercayaan tahyul, walaupun kita telah diajar berulangkali bahawa kepercayaan sedemikian boleh membawa syirik. Mereka menganggap tahyul sebahagian daripada agama kerana agama juga menyeru kepada kepercayaan alam ghaib, jin dan malaikat.

Mereka telah menyesuaikan kepercayaan animisme lama, puja pantai, bunian dan pelesit kepada campuran agama. Misalnya, suatu ketika dulu kita mengambil begitu banyak masa untuk membuktikan betapa bohongnya seorang imam muda yang mendakwa menanam mayat yang bertukar menjadi babi. Hanya kerana dia seorang imam, masyarakat lebih mempercayainya daripada mengkaji unsur logik dalam ceritanya.

Beliau menggunakan masjid untuk menyebarkannya. Cerita bohong itu lalu dirakam dan dijual. Setelah imam tersebut dipecat, maka Pas mengambil peluang dengan mengadakan road show membawa pembohong itu ke seluruh negara.

Suatu ketika yang lain pula, seorang ulama mengesahkan wajah seorang 'alim' yang dilihat di bulan. Sedangkan hakikatnya, guru dan anak-anak murid di salah sebuah sekolah memang telah dipengaruhi satu ajaran yang mengajar supaya taksub terhadap guru mereka. Namun, masyarakat percaya cerita-cerita begini kerana ia keluar daripada mulut orang yang ada autoriti agama.

Sebagai seorang guru, saya sentiasa ditanyakan oleh pelajar-pelajar saya yang pelbagai bangsa tentang hantu. Dalam memberikan kefahaman kepada mereka, saya selalu memberikan mereka satu aktiviti, iaitu dengan meminta setiap kaum melukis imej hantu kaum masing-masing. Bagaimana rupa hantu dari kaca mata India, Cina, Melayu mahupun Iban?

Sudah pastilah apa yang dilukis berupa hantu Melayu yang berhidung pesek, ataupun hantu Cina bermata sepet ataupun hantu pemotong kepala Iban jika pelajar yang melukisnya berketurunan Iban. Tujuannya untuk memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar itu bahawa hantu adalah ciptaan budaya masing-masing sebab itulah hantu yang tercipta itu mengikut budaya tertentu. Orang Melayu baru kenal hantu Jepun setelah negara dijajah tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua. Mengapa hantu Jepun tidak muncul lebih awal dari tarikh itu?

Kesimpulannya, dalam memahamkan agama kepada masyarakat perlu ditanam secara penaakulan. Agama tidak boleh diajar secara indoktrinasi ataupun diajar menggunakan kaedah popular seperti ceramah agama dan sebagainya seperti yang sudah kita terima secara turun-temurun.

Kita telah pun melihat kesan daripada kaedah pengajaran agama tersebut, maka kita perlu memikirkan kaedah untuk mengubahnya agar agama yang difahami generasi akan datang merupakan agama yang terkandung anasir rasional dan falsafah yang mendalam dan tidak mementingkan aspek-aspek ritual dan fikah semata-mata seperti yang kita lihat hari ini.

Zainudin Omar ialah Ketua Biro Media Baru, Kelab Tenaga Penggerak Biro Tatanegara (KERIS)
Sumber - Utusan Malaysia

0 comments:

share2