Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 10, 2013

Arab Spring Fasa Kedua


KEBANGKITAN menentang Presiden Mohamed Mursi semakin merebak ke bandar-bandar selain Kaherah. Mereka tidak berpuas hati dengan cara pemerintahan Mursi yang dianggap tidak menepati aspirasi asal Arab Spring.

Apa yang dimaksudkan mereka ialah Ikhwanul Muslimin telah merampas atau hijack Arab Spring, daripada demokrasi kepada agenda Islami.

Yang menentang Mursi dan Ikhwanul Muslimin ini terdiri daripada golongan sekular yang di dalamnya bukan saja pendokong demokrasi tetapi juga sosialis, nasionalis dan Kristian.

Mungkinkah ini fasa kedua Arab Spring? Fasa kedua inilah apa yang disebut sebagai kebangkitan sebenar demokrasi. Sementara fasa pertama ialah menjatuhkan rejim autokrasi sebelumnya.

Jadi cita-cita Arab Spring belum tercapai dalam fasa pertama itu. Maka oleh itu mereka memerlukan fasa kedua.

Maka kebangkitan menentang Mursi adalah fasa kedua untuk menyingkirkan rejim Islam bagi menggantikan dengan demokrasi walaupun Mursi dan Ikhwanul Muslimin berkuasa melalui pilihan raya dan demokrasi.

Satu sudut pandangan lain ialah di belakang semua kejadian politik ada tangan-tangan dan dalang-dalang asing, atau lebih tepat lagi Barat.

Mereka ini mendokong demokrasi dan mahukan semua negara-negara Arab menjadi demokratik. Tetapi walaupun demokrasi adalah fahaman murni universal dan ideologi Barat tetapi ia bukannya matlamat. Demokrasi hanya alat. Matlamatnya ialah penguasaan terus Barat ke atas dunia.

Maka dalam hal Mesir, selama ini mereka mendokong Presiden Hosni Mubarak kerana kepentingan Barat terpelihara walaupun dia tidak mengamalkan demokrasi.

Sememangnya pihak Barat mahukan juga demokrasi diamalkan di Mesir tetapi mereka tidaklah mahu golongan politik Islam menang pilihan raya. Ini kerana golongan Islam ini akan mengesampingkan kepentingan Barat.

Tetapi rakyat Mesir yang tidak tahan dengan kebobrokan Mubarak akan lambat-laun bangkit. Apabila keadaan ini berlaku, Barat pasti menyokong perjuangan yang membuka ruang demokrasi.

Tetapi sokongannya adalah terhad kerana mereka tidak mahu Ikhwanul Muslimin berkuasa. Namun oleh kerana rakyat menghendakinya juga, maka mereka terpaksa menerimanya.

Dalam keadaan begitu, mereka cuba mengawal golongan politik Islam supaya tidak menjadi ekstrem dan lebih penting lagi memelihara kepentingan Barat.

Barat tentu mahukan Ikhwanul Muslimin mengikut jejak Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) Turki yang menjadi sekular dan tidak ekstrem.

Tetapi jika Ikhwanul Muslimin tidak dapat menjadi begitu, maka Barat akan menyokong penentang-penentangnya. Itulah tuntutan penentang-penentang Mursi sekarang ini. Mereka mahu Mursi mengikut nilai-nilai demokrasi yang dikehendaki Barat. Jika tidak, mereka tidak mahu memberi sokongan dan mahu kerajaan lain.

Lebih jelas lagi ialah mereka tidak mahu Mesir jadi seperti Iran. Ketika Revolusi Iran menjatuhkan Shah Reza Pahlavi, semua golongan sama ada demokrat, nasionalis, sekular dan sosialis menyokong Ayatullah Khomeini untuk mengubah rejim negara itu. Tetapi selepas Shah Iran dijatuhkan, golongan Islam mengambil kuasa dan menyingkirkan semua kumpulan lain. Revolusi Iran menjadi revolusi Islam dan Iran tidak menjadi demokratik tetapi muncul dalam bentuk negara Islam.

Dalam hal Arab Spring ini, ternyata pihak Barat tidak menyangkakan ia boleh berlaku sebegini. Tetapi apa yang diharapkan pada awalnya ialah Iraq yang ditakluk Amerika Syarikat akan menjadi demokratik. Setelah Iraq jadi demokratik, maka diharapkan ia akan merebak ke negara-negara Arab lain seperti Syria dan Iran. Begitu juga dengan Afghanistan. Amerika berharap negara itu menjadi demokratik.

Harapan itu tidak berlaku. Sebaliknya Arab Spring meletus di Tunisia kerana rakyatnya tidak tahan dengan kerajaan mereka yang gagal dan zalim.

Apa yang berlaku di Tunisia itu mengejutkan Barat sendiri. Lebih mengejutkan lagi ialah apabila ia merebak ke Mesir, Libya, Yemen, Bahrain dan Syria.

Ekstrem

Tentunya proses demokrasi dialu-alukan oleh Barat tetapi mereka bimbang dengan golongan politik Islam yang akan menang pilihan raya.

Tetapi golongan politik Islam, Parti Ennahdha faham keadaan ini. Mereka cuba mengikut jejak Turki dan mengelak daripada ekstrem. Sebaliknya golongan politik Islam yang ekstrem mewujudkan kumpulan sendiri, antaranya ialah Salafi.

Untuk mentadbir negara bukan mudah. Harapan rakyat untuk hidup senang bukan boleh dipenuhi dalam satu dua tahun. Terlalu kompleks. Maka kerajaan Tunisia juga menghadapi kritikan teruk dari golongan sekular yang terdiri daripada nasionalis dan sosialis.


Akhirnya berlaku pembunuhan ke atas pemimpin-pemimpin pembangkang dari kalangan sosialis iaitu Chokri Belaid. Tidak diketahui siapa yang membunuh beliau tetapi sebahagian rakyat menyalahkan golongan politik Islam.

Maka berlakulah kebangkitan menentang Ennahda. Kemarahan ini sama seperti yang berlaku ke atas Ikhwanul Muslimin Mesir.

Mungkinkah Tunisia juga sedang mengalami fasa kedua Arab Spring? Sebahagian rakyat mahu menjatuhkan kerajaan golongan politik Islam dan akhirnya akan merintis kepada pemerintahan demokratik pimpinan sekular.

Memanglah Barat mahukan dunia Arab menjadi demokratik dan sekular. Oleh kerana mereka percayakan cara hidup Barat adalah unggul dan wajar diamalkan oleh semua manusia, maka itulah perjuangannya.

Jika semua negara-negara di dunia menjadi seperti Amerika Utara dan Eropah, maka mereka akan selamat daripada sebarang persaingan.

Tetapi di atas fahaman demokrasi ini pula, mereka juga mahu kekuasaan mereka terus kekal dan terjamin.

Untuk memahami perkara ini, lihatlah persaingan antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Soviet pada masa Perang Dingin dahulu.

Kedua-dua Amerika dan Soviet adalah sekular. Penentangan Amerika terhadap Soviet pada asasnya adalah soal demokrasi. Sistem komunisme Soviet menjadikan manusia derita dan ini patut dihapuskan.

Setelah Soviet berjaya ditumbangkan, maka lahirlah Rusia sebagai sebuah negara demokratik dan mengamalkan sistem kapitalis sama seperti Amerika.

Tetapi Amerika hanya berpuas hati jika Rusia terus lemah dan tidak menjadi persaingan kepada dirinya.

Kini yang menjadi ancaman kepada Amerika antara lain ialah apa yang disebut sebagai golongan politik Islam.

Paling ketara ialah Iran dan juga Al-Qaeda. Yang jelas bagi Amerika ialah kedua-duanya merupakan ancaman kepada keselamatan dan kepentingan Barat di Timur Tengah; bermaksud Israel dan minyak.

Tetapi dari segi fahaman, Islam juga dianggap sebagai ancaman. Sememangnya Islam boleh ditafsirkan dengan pelbagai wajah. Ada wajah Islam yang tidak mengancam cara hidup Barat. Ada juga yang jelas mengancam budaya Barat. Inilah yang tidak dikehendaki oleh mereka.

Seperti ideologi dan agama lain, Islam juga adalah jati diri, keyakinan dan kebudayaan sekumpulan manusia di dunia, walaupun bentuknya pelbagai.

Apabila majoriti rakyat Tunisia dan Mesir mahukan cara hidup Islam, walau apapun tafsirannya, pihak Barat tidak dapat menghalangnya, hanya sekadar berusaha mengurangkan kesannya.

Parti-parti golongan politik Islam juga mempunyai pelbagai aliran yang banyak kali bertentangan antara satu sama lain.

Parti Ennahdha dan Ikhwanul Muslimin boleh kalah pilihan raya. Pihak Barat mungkin mengharapkan golongan sekular menang pilihan raya.

Di kalangan golongan sekular juga pelbagai. Ada nasionalis dan sosialis. Mereka tidak juga semestinya demokratik. Tetapi golongan politik Islam yang lebih ekstrem pun juga ada seperti Salafi.

Akhirnya kesepakatan terhadap sistem demokrasi dengan peraturan undang-undang perlu dijunjung. Dalam berpolitik tidak akan ada rasa puas hati yang mutlak.

Tetapi demokrasi memberi ruang kebebasan bersuara dan berhimpun. Namun peraturan wajar dipatuhi. Siapa yang menang pilihan raya wajar dihormati.

Bagi pemenang pula, mereka mesti berusaha mendengar semua tuntutan tetapi akhirnya mereka bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikulnya. Bagi melaksanakan tanggungjawab, apa yang diperlukan oleh kerajaan dan rakyat adalah kestabilan.

Pembunuhan ketua pembangkang Tunisia itu adalah suatu tragedi yang malang bagi negara itu. Pemimpin dan rakyat negara itu berada dalam keadaan kritikal dan kawalan kemarahan mesti diutamakan.

Apa hal pun, Perang Saudara seperti yang di Syria hanya mendatangkan kesengsaraan dan penderitaan. Sementara kekejaman akan juga menimbulkan keganasan.

Itulah juga yang berlaku di Algeria. Penafian demokrasi pada tahun 1990-an dahulu membawa kepada lingkaran keganasan yang tidak berkesudahan.

Keselamatan rakyat perlu diutamakan.

0 comments:

share2