DR. GHAZI Ahmad Hamad atau lebih dikenali masyarakat antarabangsa sebagai Dr. Ghazi Hamad serius apabila memperkatakan tentang penindasan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.
Baik di Gaza mahu pun di Tebing Barat, bagi Timbalan Menteri Luar Hamas itu, darah rakyat Palestin tidak pernah dihalalkan untuk dihirup oleh tentera rejim Zionis itu.
Dalam pertemuan ringkas di Putrajaya petang kelmarin, Ghazi berulang kali bercakap tentang nasib rakyat Palestin. Umpama tiada maruah, jauh sekali memiliki harga diri - penduduk Palestin diletak di bawah kaki Israel. Tentera Zionis beraja di hati, bersultan di mata meranapkan pembentukan negara bangsa sejak lebih 64 tahun lalu.
Kekejaman Israel meliputi segala aspek. Tidak cukup dengan membunuh, mengebom, merogol, meranapkan sekolah serta hospital, rejim Zionis menyeksa mental penduduk Palestin dengan melaksanakan sekatan demi sekatan.
Tembok-tembok dibina, sekatan ekonomi dilaksanakan tanpa belas ihsan manakala negara-negara luar diugut supaya tidak menjalin hubungan dengan Palestin.
Israel mahu Palestin terkepung dari dunia luar. Di sebalik keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf Palestin, rejim Zionis tidak pernah peduli.
Lebih memburukkan keadaan apabila pemimpin Palestin sendiri berbalah manakala negara-negara Islam yang kaya tunduk kepada kuasa besar menyebabkan Israel semakin bermaharajalela.
Dr. Ghazi mengakui keadaan itu. Katanya, kegagalan Hamas dan Fatah bersatu membuka laluan mudah kepada Israel untuk terus menindas dan menyeksa penduduk Palestin.
Hal yang demikian mendorong kedua-dua pihak memulakan proses penyatuan demi menegakkan hak rakyat Palestin yang sudah terlalu lama menderita sehingga mungkin mereka sendiri terlupa istilah bahagia.
''Pemimpin Hamas dan Fatah kini sering duduk bersama, berbincang tentang penyatuan demi negara Palestin dan membebaskan penduduk daripada cengkaman Israel,'' katanya.
Di sebalik kesengsaraan rakyat Palestin, Dr. Ghazi bersyukur lantaran masyarakat antarabangsa amat peka terhadap keperluan mereka. Bantuan kemanusiaan semakin mendapat tempat sekali gus memberi harapan baru kepada rakyat yang telah sebati jiwa mereka dengan penderitaan.
Malaysia, kata beliau, misalnya banyak menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk membina semula Gaza yang ranap dek serangan demi serangan. Kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza bulan lalu dilihat sebagai amat penting oleh Dr. Ghazi dan rakyat Palestin.
''Memang ada pemimpin lain dari negara-negara Arab seperti Qatar datang ke Gaza, namun kunjungan satu-satunya pemimpin dari negara bukan Arab tentunya satu komitmen yang amat besar untuk terus membantu membangunkan semula Palestin,'' katanya.
Penderitaan rakyat Palestin angkara kerakusan Yahudi mahu memusnahkan negara Islam sepatutnya menjadi iktibar di kalangan pemimpin Islam. Tentunya negara dan pemimpin yang lemah serta kucar-kacir membuka ruang kepada campur tangan asing yang pasti datang bersama niat mahu menjadikan negara lemah milik mereka selamanya.
Sebab itu apabila dilontarkan perihal perkembangan Arab Spring, Dr. Ghazi melihatnya dari dua sudut berbeza. Bagi beliau, gelombang kebangkitan rakyat di negara-negara seperti Libya dan Mesir disebabkan kemarahan rakyat di situ tidak dapat dibendung lagi.
Dalam keadaan negara merdeka dan kaya dengan sumber hasil terutamanya minyak seperti di Libya, kehidupan rakyat masih daif. Kekayaan melimpah kepada satu golongan, manakala satu golongan lagi dihimpit kemiskinan menjadikan jurang antara mereka semakin melebar.
Pembahagian kek ekonomi yang tidak rata membawa kepada kebangkitan rakyat. Mereka tidak lagi mampu mengikat perut dan melihat sumber kekayaan negara hanya dinikmati golongan tertentu.
Rakyat juga langsung tidak mempunyai hak serta kebebasan, umpama dicengkam kuku besi ruang untuk mereka bersuara ditutup rapat. Keadaan itu bagi Dr. Ghazi mewajarkan cetusan Arab Spring yang menjadi platform untuk rakyat memperjuangkan perubahan.
''Namun tidak semua negara Arab terlibat dengan Arab Spring, ada yang melakukan perubahan secara perlahan-lahan,'' katanya yang merumuskan bahawa Arab Spring bukanlah kebangkitan yang boleh dicetuskan di mana-mana sahaja.
Ditanya kaitan Arab Spring dengan Malaysia, Dr. Ghazi pantas menjawab. Katanya, Malaysia diketahui sebagai negara yang aman dan rakyat menikmati pelbagai kebebasan. Rakyat negara ini juga, katanya, hidup dalam keadaan makmur dan saling hormat menghormati.
Katanya, pilihan raya diadakan dari semasa ke semasa di Malaysia di mana rakyat diberi peluang untuk menentukan barisan kepimpinan yang mereka mahu.
Hal yang demikian menyebabkan Dr. Ghazi tidak nampak di mana relevannya Arab Spring mahu dicetuskan di Malaysia kerana amalan demokrasi di Malaysia menyatakan secara jelas perihal hak serta kebebasan rakyat.
Malah beliau menyimpulkan Malaysia berada di landasan yang betul dalam mengisi keperluan rakyat justeru tuntutan kononnya kerajaan sedia ada perlu dijatuhkan demi sebuah perubahan adalah tidak sesuai sama sekali.
Pandangan pemimpin di negara yang sedang bergolak dan rakyatnya dibunuh sesuka hati itu ada benarnya. Beliau melihat Malaysia aman makmur berbanding negara-negara yang dilanda fenomena Arab Spring. Jika dibandingkan dengan rakyat di Palestin tentunya nasib rakyat Malaysia beratus kali lebih baik.
Jika pemimpin luar percaya pada kestabilan serta kemakmuran Malaysia, mengapa pula ada dalam kalangan rakyat negara ini beria-ia mahu melakukan perubahan dengan berkempen supaya kerajaan sedia ada diguling.
Lebih membimbangkan, proses 'membakar' hati rakyat telah dimulakan sejak beberapa tahun lalu. Kumpulan yang memakai topeng hak asasi itu memperkenalkan budaya berdemonstrasi untuk menuntut hak yang sememangnya telah wujud.
Mereka mahukan kebebasan, hakikatnya kebebasan itu sememangnya sedang dinikmati. Kata golongan tersebut, suara mereka disekat tetapi mereka bebas menghasut rakyat menggunakan suara yang disekat itu.
Mereka juga mendakwa kerajaan zalim, menindas rakyat sedangkan kumpulan yang bercakap itu berkereta mewah, tinggal di rumah mewah dan jenama mewah membaluti tubuh.
Mereka juga bebas ke luar negara melebarkan pengaruh malah membawa masuk orang luar untuk menguatkan lagi proses 'membakar' hati rakyat. Itukah relevannya mereka menjaja kebangkitan Arab Spring di Malaysia?
0 comments:
Post a Comment