Begitu pentingnya pilihan raya bagi sesebuah negara kerana ia mampu merobah bukan sahaja senario politik, tetapi juga ekonomi, budaya dan keselamatan akibat pertukaran pucuk pimpinan yang menjerumus kepada perubahan dasar pemerintahan.
Tahun 2012 telah menyaksikan beberapa pilihan raya penting berlaku yang sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada Malaysia. Myanmar setelah sekian lama di bawah pemerintahan junta tentera berjaya melangsungkan pilihan raya bebas pada 1 April tahun lepas yang menjadi pemangkin kepada penerimaan masyarakat antarabangsa terhadap negara itu.
Begitu juga dengan keputusan pilihan raya yang dilaksanakan oleh rakyat Korea Selatan dan Jepun beberapa minggu lepas memberi bayangan tentang senario geopolitik Asia Timur yang sudah pasti tempiasnya terkena kepada rantau Asia Tenggara.
Mandat yang diberikan kepada Park Geun-hye sebagai Presiden Korea Selatan dan kembalinya sekali lagi Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri Jepun begitu bermakna kerana kedua-duanya begitu nasionalis sifat kepimpinannya.
Tetapi tidak dapat dinafikan bahawa pertukaran pemimpin kuasa besar China walaupun tidak melalui proses pilihan raya demokrasi yang lazim - bakal memberi kesan paling ketara kepada Malaysia untuk sepanjang tahun 2013.
Dunia agak bernasib baik kerana pertukaran pemimpin China berlaku secara teratur walaupun corak kepimpinan tertinggi adalah bersifat autokratik. Bagi sebuah negara yang begitu luas dan mempunyai rakyat yang mengamalkan pelbagai budaya, agama dan bahasa, perubahan kepimpinan secara teratur begitu sukar diamalkan.
Perhatikan sahaja nasib yang menimpa beberapa negara Arab yang mengalami perubahan kepimpinan secara mendadak seperti Mesir, Iraq dan Libya sehingga hari ini masih gagal mengecapi keamanan yang diharapkan.
Tahun 2013 juga bakal menyaksikan beberapa pilihan raya penting dilaksanakan yang mempunyai kekuatan yang tersendiri. Tidak memeranjatkan jika Benjamin Netanyahu kekal sebagai Perdana Menteri Israel apabila rakyat negara itu membuat pilihan pada 22 Januari akan datang kerana Parti Likud pimpinan Netanyahu telah menjaja masalah keselamatan Israel sebagai isu pilihan raya.
Tiada harapan untuk menyaksikan sebuah negara Palestin merdeka pada tahun ini kerana kemungkinan besar Parti Likud yang telah bergabung dengan parti haluan ekstrem Yisrael Beiteinu akan membentuk kerajaan bersama dengan Parti Jewish Home yang mempunyai pegangan menentang kewujudan negara Palestin.
Begitu juga rakyat Iran akan membuat pilihan Presiden pada bulan Jun akan datang kerana Presiden Mahmud Ahmadinejad yang sudah dua penggal memerintah tidak layak lagi untuk bertanding buat penggal ketiga.
Rakyat Malaysia juga bakal melalui proses pilihan raya pada bila-bila masa sehingga paling lewat 27 Jun 2013 jika Parlimen dibubarkan pada tarikh akhir 28 April. Bukan menjadi satu perkara luar biasa mandat lima tahun digunakan sepenuhnya kerana kestabilan politik Malaysia mengizinkan senario tersebut berlaku tanpa perlu melalui peristiwa getir.
Pakistan umpamanya begitu sukar untuk mengekalkan kerajaan selama lima tahun kerana keadaan politik yang tidak stabil dan sering melalui proses rampasan kuasa tentera. Tetapi kerajaan di bawah Parti Rakyat Pakistan (PPP) nampak gayanya berjaya menggunakan mandat lima tahun sepenuhnya walaupun telah melalui beberapa krisis politik meruncing.
Seperti mana Malaysia, Pakistan juga bakal menyaksikan pilihan raya bila-bila masa dari sekarang sehingga bulan Jun akan datang.
Rakyat Malaysia yang mempunyai kuasa mengundi perlu melaksanakan tanggungjawab secara penuh berhemah dengan mengambil kira kepentingan negara sebagai agenda utama.
Rakyat Jepun umpamanya telah melalui era pemerintahan Parti Demokratik Jepun (DPJ) yang agak perit selama tiga tahun bermula 2009 kerana kepimpinan DPJ tidak mempunyai pengalaman menerajui sebuah negara.
Sebab itu pada pilihan raya Disember lepas, pengundi Jepun memilih Parti Demokratik Liberal (LDP) yang mempunyai pengalaman memerintah selama lima dekad kembali menerajui kerajaan Jepun.
Rakyat beberapa negara Arab juga telah merasai bahawa pertukaran kepimpinan secara mendadak lebih banyak membawa kemudaratan seperti yang dialami oleh Mesir sehingga hari ini masih belum stabil keadaannya.
Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh organisasi Freedom House mengenai proses pilihan raya sesebuah negara, hanya 65 peratus rakyat dunia yang mempunyai pilihan untuk mengundi. Tetapi perlu diberi perhatian bahawa hak yang dinikmati oleh 65 peratus masyarakat global ini berbagai-bagai hadnya yang lazimnya mengikut kehendak senario politik sesebuah negara.
Rakyat Malaysia juga perlu mengambil iktibar dan berfikir sejenak kerana masih terdapat 35 peratus masyarakat global yang merangkumi hampir 2.5 bilion orang yang langsung tidak mempunyai hak untuk mengundi.
Rakyat Malaysia seramai 13 juta yang mempunyai hak mengundi perlu melaksanakan tanggungjawab dengan memberi mandat besar kepada pilihan mereka supaya isyarat jelas tersebut dapat diterjermahkan kepada pemerintahan yang menjerumus kepada kemakmuran dan pembangunan negara.
Perutusan Tahun Baharu 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang antara lain menegaskan kerajaan hari ini tidak akan mampu memberi khidmatkepada rakyat Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh rakyat. Penegasan itu begitu jelas mentafsirkan betapa pentingnya mandat rakyat dalam pilihan raya akan datang.
"Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan hala tuju yang jelas," tambah beliau.
Kenyataan tersebut bukannya rayuan untuk meraih undi semata-mata tetapi satu peringatan berlandaskan pengalaman pemimpin yang telah melalui pelbagai cabaran mentadbir sebuah negara.
0 comments:
Post a Comment