KUALA LIPIS - Keasyikan pengunjung yang sedang menikmati sarapan pagi
di bangunan Centrepoint terganggu seketika apabila dikejutkan dengan
kemunculan asap tebal dari tingkat tiga bangunan terbabit kira-kira jam
10 pagi, semalam.
Seorang pengunjung, Mohd Zaidi Abdul Nasir, 25, berkata, ketika
kejadian dia bersama dua lagi rakan sedang menikmati sarapan pagi di
tingkat bawah bangunan berkenaan sebelum mereka terlihat kepulan asap.
Menurutnya, panik melihat keadaan tersebut, pengusaha premis yang
berada di sekitar bangunan terbabit bertindak keluar dari premis
masing-masing untuk menyelamatkan diri.
“Orang ramai yang berada di sekitar kawasan bangunan itu juga terkejut dan masing-masing bertindak menjauhi kawasan kebakaran.
“Beberapa minit kemudian anggota bomba dan penyelamat datang untuk
memadamkan kebakaran. Kami semua lega kerana tiada kemalangan jiwa
berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan
Penyelamat Lipis, Abdul Hamid Daud berkata, pihaknya menerima panggilan
telefon daripada orang awam kira-kira jam 10.10 pagi.
Menurutnya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk
memadamkan kebakaran dari sebuah kedai kosong di tingkat tiga bangunan
itu.
“Setakat ini pihak kami masih menjalankan siasatan punca sebenar kebakaran,” katanya.
Abdul Hamid turut menasihatkan orang ramai terutama pengusaha premis
tidak membuang sampah di dalam premis bagi mengelakkan kejadian
kebakaran berlaku.
“Dalam kejadian ini, banyak sampah dibiarkan di dalam premis kosong berkenaan dan ini memudahkan api marak dengan cepat.
“Kejadian sama pernah berlaku kira-kira dua tahun lalu di bangunan yang
sama. Justeru, tanggungjawab pengusaha premis sangat diperlukan bagi
mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment