MEMBELI-BELAH adalah salah satu aktiviti kegemaran rakyat Malaysia. Ketika hujung minggu, suasana yang biasa dilihat ialah orang ramai memenuhi pusat beli-belah, keluar masuk kedai dan butik yang menawarkan jualan murah, di samping meluangkan masa bersama kawan-kawan dan keluarga.
Oleh itu, tidaklah mengejutkan apabila Kuala Lumpur berada pada kedudukan keempat dalam rancangan Top 10 Best Shopping Cities in the World (10 Bandar Terbaik untuk Membeli-Belah di Dunia) CNN, mengatasi ibu kota fesyen, Paris dan kota Hong Kong yang sibuk. Tambah menarik lagi, Kuala Lumpur juga dinamakan sebagai salah satu daripada 10 bandar raya yang wajib dikunjungi di dunia, berdasarkan1 MasterCard's Global Destination Cities Index 2012 (Indeks Bandar Raya Destinasi Global MasterCard 2012), yang menggambarkan bilangan pelancong yang ramai ke sini.
Suasana membeli-belah di Kuala Lumpur seolah-olah mengiyakan pernyataan bahawa kadang kala lebih besar adalah lebih baik. Di ibu kota negara ini, tiga daripada 10 pusat beli-belah terbesar di dunia terletak di sini. One Utama, Midvalley Megamall dan Sunway Pyramid, masing-masing berada pada kedudukan keempat, keenam dan kesembilan. Semuanya menawarkan persekitaran beli-belah yang meriah dan destinasi sehenti yang santai.
Sebagai contoh, One Utama mempunyai kemudahan panjat tebing batu yang terbesar di Asia, taman atas atap yang menakjubkan dengan 500 spesis tumbuhan eksotik, hutan hujan dalaman yang dilengkapi kolam ikan koi dan akuarium air tawar, serta lebih daripada 650 kedai termasuklah pelbagai peruncit dan restoran yang semuanya terletak di bawah satu bumbung.
Selain saiz pusat beli-belah ini, membeli-belah di Kuala Lumpur menjanjikan kepelbagaian, nilai dan kemudahan. Pusat beli-belah memenuhi setiap cita rasa dan bajet untuk semua golongan tua dan muda, peminat fesyen dan sukan, dan termasuk juga penggemar permainan. Semua orang akan dapat menemui benda yang mereka inginkan dan mungkin juga benda yang tidak terjangka.
Penggemar teknologi yang ingin memiliki gajet terbaharu pasti tahu yang mereka perlu menerjah Plaza Low Yat, yang dinobatkan sebagai 'Malaysia's Largest IT Lifestyle Mall' oleh Malaysia Book of Records manakala mereka yang mencari fabrik berkualiti dengan harga yang munasabah biasanya akan menuju ke Lorong Tunku Abdul Rahman, sebuah destinasi popular untuk mereka yang ingin membeli sutera dan bahan berkualiti yang lain.
Terdapat banyak juga butik fesyen Melayu di situ. Selain itu, pembeli yang mencari pakaian gaya Asia terbaru dan mampu milik, tentunya mesti mengunjungi Berjaya Times Square dan Plaza Sungei Wang.
Membeli-belah di Kuala Lumpur bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pelbagai minat dan gaya, tetapi juga ia menawarkan pengalaman beli-belah yang pelbagai kepada pengunjung. Peruncit yang terdiri daripada butik jenama haute couture, pereka fesyen tempatan yang terkenal dan barangan prêt-a-porter yang mampu milik, dapat ditemui di Kuala Lumpur dalam pelbagai tempat.
Daripada pusat beli-belah berhawa dingin yang moden dan gedung serba-serbi seperti yang ditemui di Suria KLCC dan Pavilion, sehinggalah ke butik khusus dan pusat kraf tangan seperti yang terdapat di Pasar Seni, bazar dan pasar malam, membeli-belah di Kuala Lumpur memberikan pengalaman menyeronokkan.
Pasar malam yang sememangnya popular adalah pasar terbuka yang menampilkan gerai penjaja yang menjual pelbagai produk tempatan termasuklah makanan dan pakaian. Pengunjung sudah tentu akan memperoleh pengalaman unik terutamanya bagi mereka yang tidak biasa dengan proses tawar-menawar ketika membeli. Pasar malam biasanya mula beroperasi pada lewat petang dan menampilkan artis jalanan yang akan menghiburkan pengunjung sementara mereka membelek-belek barangan. Sesiapa yang mengunjungi Kuala Lumpur wajib mengunjungi pasar malam yang paling terkenal di sini di Jalan Petaling, Chinatown.
Sebagai salah satu boulevard beli-belah yang paling terkenal di Kuala Lumpur, ia menawarkan pelbagai barangan mampu milik merangkumi jam tangan hinggalah pakaian, kasut dan beg tangan gaya terkini. Kawasan ini juga mempunyai banyak restoran dan gerai makanan yang menawarkan kemudahan kepada pengunjung untuk berehat seketika dan menjamu selera dengan hidangan tempatan seperti mi Hokkien, ikan bakar, asam laksa dan mi kari.
Kunjungan untuk membeli-belah di Kuala Lumpur tentunya tidak lengkap tanpa kunjungan ke Pasar Seni, sebuah destinasi beli-belah dan pelancongan terkenal serta tanda tempat untuk budaya dan tradisi Malaysia. Selain menonjolkan warisan unik Malaysia , ia juga berfungsi sebagai destinasi wajib dikunjungi untuk mendapatkan barangan kraf buatan tangan, barangan antik dan hasil seni yang eksklusif. Untuk mengiktiraf kekayaan sejarahnya sejak 1888 apabila pada asalnya ia digunakan sebagai pasar basah, Pasar Seni telah dianugerahkan FIABCI Malaysia Property Award dalam kategori "Warisan" pada tahun ini.
Tarikan Kuala Lumpur merangkumi kombinasi barangan yang berkualiti tinggi, harga mampu milik dan tempoh jualan murah yang ditunggu-tunggu sebanyak tiga kali setahun iaitu pada Mac, Mei dan Disember yang masing-masing berlanjutan selama beberapa bulan. Sebagai contoh, Jualan Murah Akhir Tahun (YES) pada tahun ini bermula pada 10 November dan berlanjutan sehingga 1 Januari tahun depan.
Bandar metropolis Kuala Lumpur juga menawarkan kemudahan yang tiada tandingan. Dengan lokasi pusat beli-belah di tengah-tengah bandar raya, pengunjung pastinya rambang mata kerana kebanyakan kawasan pusat beli-belah terletak berdekatan. Tambahan lagi, bandar raya Kuala Lumpur bukan sahaja menawarkan syurga beli-belah tetapi nilai sejarah yang tinggi dan ciri unik dengan adanya pusat warisan dan budaya yang menanti untuk diterokai.
Pengunjung yang datang ke Kuala Lumpur tentunya akan dialu-alukan dan diterima dengan mesra oleh rakyat Malaysia yang mudah menghulurkan bantuan. Perbezaan bahasa bukanlah suatu masalah kerana kebanyakan rakyat tempatan boleh berbahasa Inggeris dan ini menjadikan perjalanan anda ke pelosok bandar raya agak mudah dan ringkas.
Kuala Lumpur menawarkan destinasi unik untuk kaki beli-belah daripada pelbagai golongan. Ia bagaikan syurga untuk penduduk tempatan dan pelancong asing yang memberikan maklum balas dan sokongan sehingga Kuala Lumpur dan Malaysia terkenal di mata dunia. Kerajaan telah dan masih berusaha untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi meningkatkan usaha dalam menambah baik infrastruktur Kuala Lumpur agar lebih memudahkan pelancong asing dan penduduk tempatan untuk bergerak ke merata tempat sekali gus menyeronokkan lagi pengalaman sedia ada yang menyenangkan.
Jadi, bagi rakyat Malaysia yang ingin menghabiskan cuti hujung minggu dengan membeli-belah dan berkira-kira untuk membeli tiket penerbangan ke Hong Kong atau Bangkok, fikirkan sejenak tawaran yang berada di depan mata anda. Anda tidak perlu pergi begitu jauh bagi memuaskan keinginan untuk membeli-belah.
0 comments:
Post a Comment