Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 4, 2012

RapidKuantan Mengatasi Masalah Pengangkutan Awam


KUANTAN - Tiga puluh dua bas RapidKuantan dengan 66 pemandu memulakan operasi di tiga laluan sekitar bandar ini mulai 1 Dis lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata kewujudan perkhidmatan Raid Kuantan dengan kerjasama Syarikat Prasaran Negara Berhad (Prasarana) itu dapat mengatasi masalah pengangkutan awam yang dihadapi penduduk Kuantan sejak sekian lama.

Adnan berkata untuk fasa pertama, tiga laluan yang bakal dilalui bas RapidKuantan ialah laluan satu iaitu dari Gambang ke Terminal Makmur, laluan dua (Bandar Indera Mahkota ke Teluk Cempedak) dan laluan tiga (Kompleks Mahkamah ke Politeknik Sultan Ahmad Shah di Semambu).

"Idea mewujudkan perkhidmatan RapidKuantan ini diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan satu perkhidmatan bas awam yang cekap dan selesa di bandar Kuantan ini. RapidKuantan juga mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan dengan kadar kekerapan 15 minit pada waktu puncak untuk ketiga-tiga laluan bas berkenaan,"

Adnan berkata urusan berkaitan tambang bas akan ditetapkan oleh kerajaan negeri melalui Suruhanjaya Pengakutan Awam Darat (SPAD).

Sementara itu Pengarah Urusan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata perkhidmatan RapidKuantan akan diperluas pada masa akan datang iaitu dari Beserah ke Terminal Makmur dan Tanjung Lumpur ke Terminal Makmur.

"Sebagai permulaan RapidKuantan akan beroperasi dari depoh sementara di Semambu untuk tempoh antara satu tahun setengah hingga dua tahun sementara menunggu depoh tetap di kawasan yang terletak antara Wisma Belia dan Kuantan  Sentral.

"Untuk fasa pertama ini bas akan berhenti di 30 perhentian bas baharu dan 145 perhentian bas yang dibaik pulih atau hentian tiang bas," katanya sambil memberitahu bahawa jadual kekerapan bas akan ditampal di setiap stesen bas pada fasa kedua.

0 comments:

share2