Belia diingatkan supaya menulis dengan penuh tanggungjawab selain tidak buat fitnah di laman sosial kerana ia boleh mencetuskan suasana huru-hara dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perubahan teknologi yang wujud pada masa kini menuntut belia supaya lebih berhati-hati mengeluarkan pendapat dan meluahkan perasaan.
Menurutnya, ia penting bagi mengelak timbul perkara tidak diingini seperti fitnah dan provokasi.
“Teknologi yang ada perlu digunakan secara bijak dan bukannya menjadi tempat untuk mencemuh dan menghina sesuatu pihak.
“Justeru, belia harus menggunakan kecanggihan teknologi masa kini bagi tujuan positif,” katanya pada Majlis Pelancaran Jalur Lebar Mampu Milik 1Malaysia, Portal PahangkuTV & Phgkutwtup Siri 1, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Shahaniza Shamsuddin.
Adnan berkata, pelancaran program itu membuktikan Pahang menyahut seruan Perdana Menteri iaitu mendekati belia melalui program bersesuaian.
Beliau berkata, perkembangan teknologi yang pantas memerlukan penglibatan maksimum belia.
“Jadi tidak hairanlah banyak bajet untuk belia disediakan melalui bajet 2013 baru-baru ini.
“Saya harap belia rebut peluang yang ada untuk sertai program usahawan dan latihan yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, twitter Phgkutwtup sudah mempunyai kira-kira 10,000 pengikut sejak semalam.
Katanya, pihaknya akan mengadakan jelajah ke seluruh negeri bagi memperkenalkan dan mempromosikan Phgkutwtup kepada seluruh masyarakat.
0 comments:
Post a Comment