KELMARIN, telah berakhir Seminar Dakwah Nasional anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Seminar dua hari yang bertemakan 'Dakwah Islamiah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah' telah berjaya menyatukan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gerakan Islam, parti politik dan agensi-agensi kerajaan.
Antara inti pati topik yang dibincangkan adalah mengenai perlunya digerakkan dakwah berorientasikan manhaj (kaedah) Malaysia berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi menghadapi ancaman kumpulan berfahaman Pasca-Modenisme.
Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad dalam ucapan aluan pada hari pertama seminar telah menghurai dengan panjang lebar mengenai fahaman kumpulan berkenaan yang turut dikenali sebagai golongan liberalisme dan pluralisme agama.
Menurut beliau, golongan itu yang dipelopori oleh para intelektual dan pemimpin politik, berpegang kepada ajaran yang menyamakan semua agama di dunia ini sebagai sama benar belaka.
"Dari segi intelektual, golongan ini yang mendapat dana besar daripada pihak Zionis Kristian telah mengadakan wacana-wacana, program-program perkaderan dan penerbitan buku.
"Antara buku yang pernah diterbitkan oleh golongan ini di Malaysia ialah Pluralisme Agama, Kahwin Campur antara Muslim dan Non Muslim, Pergolakan Pemikiran Islam dan Hukum Barat Pun Islam.
"Semua buku-buku ini diterbitkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) yang dibiayai sepenuhnya oleh Konrad Adenuer Stiftung yang berpengkalan di Jerman," katanya.
Beliau berkata, selain menyamaratakan semua agama, golongan berkenaan turut berpendapat seseorang itu boleh menjadi muslim, cukup hanya sekadar percaya kepada wujudnya Allah SWT dan kemudian menyerah diri kepada-Nya.
"Mereka tidak mempedulikan soal-soal cara-cara beramal dan beribadat, tidak peduli kepada hukum-hakam dan halal haram serta peraturan hidup lain seperti yang diajar di dalam syariat Islam. Pegangan dan fahaman ini menyebabkan mereka sudah tidak dapat dikategorikan sebagai muslim lagi.
"Fahaman ini telah mengakibatkan tersebarnya pendapat yang mewajar dan menghalalkan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Mereka juga sedang menyiapkan 'tafsir baru' bersandarkan kisah kaum Nabi Luth dengan menyatakan Allah SWT membenarkan aktiviti homoseksual jika dilakukan secara sukarela," katanya.
Dari segi politik pula, katanya, golongan liberalisme dan pluralisme agama yang masih mengaku beragama Islam dan disokong golongan politik sekular-cauvinis anti-Islam, sudah terang-terangan menyatakan hasrat mereka secara jelas - walaupun belum berkuasa - mahu mengubah Perlembagaan Malaysia yang meletak dan menjamin hak istimewa Orang Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Mereka mahu menghapuskan kedua-dua perkara ini atas slogan Sebangsa-Senegara-Sejiwa. Ini selaras dengan konsep Malaysian Malaysia dan fahaman semua agama sama benar dan sama tara," katanya.
Dalam pada itu, Profesor Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba berkata, usaha melawan dakyah golongan liberalisme dan pluralisme agama hanya akan berjaya jika para pendakwah berpegang kepada kaedah dakwah yang berasaskan realiti setempat di negara ini atau manhaj Malaysia.
"Kaedah Malaysia amat perlu kerana orientasi masyarakat kita yang berbilang kaum, kebebasan yang ada, pengaruh Islam dalam sistem serta terdapat banyaknya lembaga dan institusi Islam di seluruh negara," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, usaha menggerakkan dakwah manhaj Malaysia telah terjejas kerana terdapat sesetengah aktivis gerakan Islam tempatan yang terpengaruh dengan kaedah di Mesir dan Indo-Pakistan yang tidak serupa dengan situasi sosial, politik dan budaya Malaysia.
"Mereka ini kurang daya tasamuh (tolak ansur) dari segi pendekatan hingga menyebabkan polemik yang tidak terkawal wujud dan akhirnya gerakan dakwah hilang proritinya," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dakwah Islamiah Dalam Mendepani Hegemoni Barat'.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang turut membentangkan kertas kerja, mendedahkan pada 1998, beliau telah diarahkan Presiden parti ketika itu, Datuk Fadzil Noor untuk menganjurkan satu perjumpaan antara 13 pemimpin gerakan Islam antarabangsa termasuk Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi dengan 13 pemimpin Pas bagi membincangkan isu tahaluf siasi (kerjasama politik).
"Dalam pertemuan di United Kingdom itu, saya telah menjadi setiausaha mesyuarat. Pada akhirnya kita membuat keputusan tahaluf siasi boleh dibuat tetapi tertakluk kepada syarat iaitu parti yang diadakan kerjasama itu mesti menghormati prinsip perjuangan Islam Pas," ujarnya.
Tegasnya, beliau sentiasa berpegang kepada keputusan yang telah diputuskan ketika pertemuan tersebut dan akan tetap bercakap benar walaupun pahit.
"Kita amat bimbang jika berlaku keadaan habis madu, sepah dibuang. Amat dukacitalah jika kita mengambil sikap terlalu kuat mengutamakan ikatan politik dan usaha untuk mendapat kekuasaan, berbanding untuk menjaga agama dan mempertahankan agama Islam kita sendiri," katanya.
Ujar beliau, sesebuah jemaah Islam (parti politik) itu harus memastikan ia tidak tergelincir daripada landasan dakwah yang suci kerana diasak dengan gelombang politik yang semakin mencabar.
"Apakah mungkin jemaah Islam sudah dipengaruhi anasir-anasir negatif dari luar, yang mengambil kaedah matlamat menghalalkan cara atau meletakkan di tepi prinsip perjuangan Islam atas nama maslahah dan strategi?" katanya dalam kertas kerja bertajuk 'Dakwah Islamiah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia'.
Sementara itu, dalam kesibukan kita mengadakan wacana secara intelektual bagi menghadapi golongan liberalisme dan pluralisme agama, kita tidak harus melupakan kaedah melawan golongan ini dari segi politik.
Antara tanggungjawab itu adalah memastikan golongan berkenaan tidak menumbangkan kerajaan yang mesra pendakwah sekarang pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Ismail Mina yang pernah menjadi rakan karib Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyentuh mengenai perkara itu dalam ucapannya menegaskan, rakyat harus berwaspada agar nasib malang yang menimpa masyarakat Islam India ketika diperintah Empayar Mughal pada abad ke-18 tidak berulang.
Katanya, sejarah telah membuktikan masyarakat Islam mengalami penderitaan teramat parah ketika diperintah Maharaja Akbar yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
"Semasa memerintah, dia melarang orang Islam menyembelih lembu, binatang suci agama Hindu, walaupun untuk tujuan ibadah korban. Bayangkan apa yang akan berlaku jika individu berfahaman pluralisme agama menjadi Perdana Menteri Malaysia," katanya.
0 comments:
Post a Comment