TEMERLOH - Polis melumpuhkan kegiatan haram lapan premis judi yang beroperasi tanpa
lesen sejak seminggu lalu dalam serbuan berasingan di sekitar Mentakab
bermula 17 September lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood
berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 98 unit komputer yang
dipercayai digunakan sebagai mesin judi bernilai RM30,000.
Menurutnya, polis turut menahan 21 individu berusia antara 18 hingga 66
tahun termasuk lapan penjaga premis bagi membantu siasatan.
"Polis bagaimanapun tidak menemui wang tunai kerana kesemua premis terbabit baru seminggu beroperasi.
“Kita menganggap ini fenomena baru kerana sepanjang tiga tahun lalu
belum ada kegiatan judi yang beroperasi secara haram berleluasa seperti
ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Temerloh, semalam.
Zundin berkata, modus operandi mereka ialah dengan beroperasi di
sebalik perniagaan kafe siber, selain dilengkapi kamera litar tertutup
(CCTV) dan pintu penggera khas di pintu masuk.
“Kita telah membuka kertas siasatan terhadap kesemua 21 yang ditahan
dan mereka akan didakwa di bawah Seksyen 4 (B) Akta Rumah Judi Terbuka
dan Seksyen 4(1) (b) Enakmen Hiburan 1993. Barang-barang kes akan dihantar ke bahagian forensik dan pakar judi
mesin, selanjutnya kertas siasatan akan dirujuk ke timbalan pendakwa
raya. Kesemua yang ditahan kini dibebaskan atas jaminan polis,” katanya.
Zundin berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes
berkenaan yang secara tiba-tiba beroperasi secara serentak di kawasan
bandar Mentakab. Menurutnya, pihaknya akan mengenalpasti mereka yang terlibat bagi
menghapuskan kegiatan judi yang mampu meruntuhkan institusi keluarga.
0 comments:
Post a Comment