Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 26, 2012

Mini MAHA Buka Peluang Usahawan Pertanian


BANDAR BENTONG - Program Mini Maha yang diadakan selama tiga hari berakhir kelmarin, mendapat sambutan baik bukan sahaja dalam kalangan pengunjung, tetapi juga usahawan yang terlibat menjayakannya.

Bagi Zaid Mohd Taib, 41, peluang yang diberikan kepada mereka membuka gerai sepanjang program itu secara tidak langsung membantu mempromosikan produk yang dikeluarkan.

Menurutnya, program itu perlu diadakan sebagai acara tahunan bukan sahaja di daerah ini,  tetapi juga di daerah lain memandangkan ia mampu membantu usahawan dari pelbagai bidang menonjolkan produk masing-masing.

“Ia mampu menjadi satu medium mewujudkan jalinan interaksi antara usahawan yang terlibat dan seterusnya berupaya berkongsi idea serta pengalaman. Saya berpuas hati dengan hasil yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung dan berharap pada masa akan datang gerai melibatkan usahawan penternakan dapat ditambah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pengusaha nurseri, Rozahari Nordin, 47, berkata, penganjuran program  itu sememangnya memberi impak positif kepada usahawan dari pelbagai bidang.


Menurutnya, walaupun program berjalan dengan baik dan lancar, namun pada masa akan datang aspek promosi perlu ditingkatkan.

“Dalam masa sama, ruang pameran atau gerai perlu lebih luas bergantung kepada keperluan usahawan supaya lebih banyak produk atau barangan dapat dijual,” katanya.

Kamal Hisham Saad, 35, berkata, kepelbagaian produk yang diketengahkan terutama yang dihasilkan usahawan dari daerah ini mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Menurutnya, sebagai usahawan pertanian, dia menghargai peluang yang diberikan oleh penganjur untuk turut serta dalam program itu.

“Walaupun julung kali diadakan, namun sambutan diterima daripada pengunjung sangat baik, malah kami sebagai peniaga (usahawan) berpuas hati dengan pelaksanaan program ini,” katanya.

0 comments:

share2