Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, September 26, 2012

Tambah Baik Sektor Pengangkutan





JIKA kerosakan lif dan sampah tidak dikutip adalah lumrah bagi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu kota, satu lagi masalah yang tiada penyelesaiannya sehingga kini membabitkan kekurangan tempat meletak kereta.


Antara penempatan dengan masalah tersebut adalah Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur yang penduduk kawasan tersebut terpaksa berkongsi tempat meletak kereta berikutan bilangan petak yang disediakan terlalu sedikit.

Ekoran itu, kenderaan terpaksa diletakkan dengan jarak yang sangat dekat antara satu sama lain dan tidak kurang juga yang meletakkan kereta mereka di depan kenderaan yang mendapat petak letak kereta.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Penara, Mohd. Sakri Masdi, kekurangan petak parkir yang dialami penduduk sudah berada pada tahap kronik yang memerlukan penyelesaian segera daripada kerajaan.

"Oleh itu, pada pembentangan Bajet 2013 ini, saya berharap Kerajaan Pusat dapat mencari penyelesaiannya termasuk menyalurkan peruntukan khusus kepada DBKL untuk membina lebih banyak tempat meletak kenderaan di kawasan pangsapuri," katanya.

Tinjauan itu mendapati masalah sama turut dialami oleh kebanyakan PPR dan PA DBKL yang berpunca kerana petak meletak kenderaan yang disediakan hanya satu pertiga daripada keseluruhan nisbah unit rumah.
Perancangan kawasan perumahan berkenaan dengan andaian bahawa tidak semua penduduk mampu memiliki kereta sendiri sudah lapuk kerana kenderaan itu kini adalah satu keperluan.

Keadaan bertambah buruk apabila kebanyakan penduduk di kawasan itu mempunyai lebih daripada sebuah kereta bagi menampung keperluan keluarga yang ramai.

Jaringan pengangkutan awam yang belum efektif sepenuhnya berikutan banyak projek yang dicadangkan masih belum disiapkan telah menyebabkan rakyat tiada pilihan lain kecuali menggunakan kenderaan persendirian.

Mengulas perkara itu, penganalisis ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, langkah meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam itu adalah penting bagi merapatkan jurang pendapatan golongan kaya dengan miskin.

Beliau yang juga Pengerusi Pusat Pengajian Polisi Awam Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) berkata, langkah itu dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi penduduk miskin ekoran peningkatan inflasi yang masih berlaku di negara ini.

"Malaysia perlu belajar daripada kesilapan negara Eropah seperti Greece yang mengalami masalah ekonomi serius secara perlahan dan hampir tidak disedari. Kita mesti mengambil tindakan pembetulan yang tepat melalui Bajet 2013 bagi memastikan keseimbangan ekonomi kita," katanya.

Menurut beliau, bagi memastikan kerajaan mempunyai wang mencukupi untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan lain-lain maka projek besar yang bukannya satu keutamaan harus dikurangkan.

"Wang yang dapat disimpan daripada projek berkenaan boleh digunakan untuk projek-projek kecil bagi memenuhi kehendak mendesak golongan berpendapatan rendah," katanya.

Seperti yang disarankan oleh Navaratnam, maka dalam Bajet 2013 kerajaan perlu memikirkan kaedah bagi mengurangkan beban yang dialami oleh golongan miskin yang kini semakin terhimpit apabila terpaksa membelanjakan wang banyak untuk kos kenderaan.

Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menurunkan harga petrol atau memberikan rebat bahan api itu dalam Bajet 2013.

Dalam mengimbangi peningkatan perbelanjaan kerajaan bagi membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana, cukai terhadap barangan mewah dan warga asing yang membeli hartanah di negara ini perlu ditingkatkan.

Kerajaan juga perlu memikirkan langkah drastik bagi membaiki sistem jalan raya bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas yang sering memeningkan warga kota dan meningkatkan penggunaan minyak kenderaan.

Selain itu, kerajaan juga perlu melakukan sesuatu bagi membantu golongan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan yang kini perlu membelanjakan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk membayar ansuran kereta.

Bagi mengurangkan beban, kerajaan juga perlu menurunkan cukai jalan kereta persendirian melibatkan jenis yang banyak digunakan oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan mencukupi bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam negara.

Katanya, mengikut kajian pihaknya dari 2008 hingga kini yang melibatkan lebih 30,000 orang, rakyat mahukan sistem pengangkutan awam yang mampan.

"Pada masa ini, kerajaan lebih menumpukan pengangkutan awam di kawasan Lembah Klang berbanding kawasan luar bandar.

"Apabila saya pergi ke Slim River, Bidor atau Taiping di Perak, saya jarang dapat melihat bas-bas awam berulang-alik untuk kemudahan penduduk. Ini semua berpunca kerana kita memberikan terlalu banyak tumpuan di Lembah Klang," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menyediakan pelan pembangunan pengangkutan awam menyeluruh bagi membantu penduduk seluruh negara yang kini terpaksa membelanjakan wang banyak untuk membeli kenderaan yang harganya kini bukanlah murah.

Dalam perkembangan sama, kerajaan juga harus menimbangkan untuk menurunkan harga kereta terutama kereta buatan tempatan bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki kenderaan yang kini menjadi satu keperluan.

Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahkan lagi proses pinjaman buat rakyat yang ingin memiliki kenderaan dan dalam masa sama memastikan bank tidak mengenakan kadar faedah tinggi.

Bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam di luar Lembah Klang, kerajaan perlu menyediakan satu skim subsidi bagi syarikat-syarikat pengangkutan awam, berdasarkan skim yang diterima pakai oleh negara-negara lain.

Satu lagi langkah popular yang sudah pasti mendapat sokongan sebahagian besar rakyat adalah untuk menurunkan kadar tol kecuali bagi kenderaan mewah.

Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati kembali kata-kata bapa pengangkutan China moden, Ye Gongchuo yang terkenal dengan slogan "Menyelamatkan China Dengan Pengangkutan."

Beliau yang hidup ketika zaman pemerintahan Dinasti Qing menegaskan sesebuah kerajaan perlu meningkatkan kemudahan pengangkutan kerana ia adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara berkenaan daripada kemunduran.

0 comments:

share2