Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat supaya
menghakimi hasil kerja dan rekod kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN)
selama ini yang terbukti bukan retorik.
Meski akur bahawa kerajaan BN tidak bebas daripada kesilapan, namun
Perdana Menteri berkata, apa yang membezakan kerajaan BN dan pembangkang
ialah sikap tawaduk untuk mengakui kesilapan.
Tegas beliau, sebaliknya pembangkang sentiasa mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.
''Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu
dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali
rakyat. Malah ada kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan
tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari
ini di beberapa negeri, mereka juga mengepalai kerajaan.
''Kalau hari ini mereka menjanji itu ini, rakyat harus bertanya,
apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak
melaksanakan apa yang dikokokkan? Hakikatnya jika ketika berpeluang,
tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan
melunaskannya apabila diberi kuasa sekarang?'' soal beliau.
Najib berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat semalam.
Menyentuh hal sama, Najib turut melontarkan persoalan berikut :
''Bukankah apabila berdepan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara
ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka
(pembangkang), apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun
masih tinggal janji. Mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah
dan kuasa?''
Hal itu, ujarnya, berbeza dengan kerajaan BN yang apabila berjanji ia akan ditepati.
Bahkan katanya, sebelum melaungkan janji, kerajaan BN bersikap
bertanggungjawab dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan
atau sebaliknya.
''Bukannya mengambil sikap asal menang, segala-galanya sanggup
dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah kemana. Kata
Plato :
'The measure of a man is what he does with power'.
Justeru, hari ini kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak
sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai
segalanya serta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa.
''Kerajaan BN, dibimbing prinsip 'fastabiqul khairat' iaitu
berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana
(pembangkang) tampaknya 'fastabiqul fasad' iaitu berlumba-lumba membuat
onar kerosakan,'' katanya.
Beliau berkata, hakikatnya kerajaan BN adalah perintis kepada
perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional berbanding pihak
lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik serta
kebencian.
Ujar Najib, kerajaan sedar wujudnya pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan.
Secara berlapang dada katanya, dalam sebuah negara yang demokratik,
pihak tersebut juga mempunyai hak untuk menawar diri tetapi pada
akhirnya rakyat akan menentukan siapa bakal mendapat mandat melalui peti
undi.
''Kini masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan bagi
menentukan masa depan mereka. Persoalan yang perlu ditanya semasa
membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik
berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat
dengan peluang serta potensi?
''Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada
kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambah baik apa yang ada,''
katanya.
Beliau kemudiannya mengajak rakyat untuk bersama kerajaan dalam
mengembangkan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang
boleh dibanggakan.
''Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi,
yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua
dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.
''Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada
antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi
cahaya dan oasis di tengah-tengah kegawatan global,'' jelasnya.
0 comments:
Post a Comment