BELANJAWAN pakatan pembangkang yang digelar Bajet
Alternatif sudah diumumkan lebih awal daripada Bajet 2013 yang
dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Skrip serupa digunakan tahun lalu dan dijangka disambung dengan
dialog menuduh bajet kerajaan meniru bajet pembangkang yang lebih banyak
menjanjikan 'gula-gula' daripada mengumpul 'gula' itu sendiri.
Mengimbas kembali, apa yang dijanjikan untuk 2013 seperti bantuan
RM1,000 setahun kepada warga emas, bantuan kebajikan RM550 sebulan, gaji
minimum RM1,100, elaun pendidik sebanyak RM500 dan banyak lagi
sebenarnya salinan fotostat daripada bajet bayangan 2012 juga.
Mungkin dapat dilupakan seketika apa yang dibentangkan itu dengan poket kosong, umpama orang yang cuma
window shopping,
mereka tetap menabur janji-janji baru melalui bajet bayangan 2013 tanpa
segan silu, sedangkan janji dan manifesto sebelum pilihan raya umum
(PRU) 2008 masih banyak belum ditunaikan.
Lebih menarik, individu yang mengumumkan bajet bayangan untuk lebih
28 juta rakyat itu juga adalah Penasihat Ekonomi Selangor tetapi bajet
yang setanding tidak pula dibentang dan dilaksanakan terlebih dahulu
untuk lima juta rakyat negeri tersebut selepas lebih empat tahun
memerintah.
Dengan bajet poket kosong 2013, mereka janji dan terus berjanji untuk
membina jalan raya di Sabah sedangkan di negeri sendiri masih menunggu,
mahu turunkan cukai kenderaan 20 peratus tetapi cukai pintu masih
tergantung, serta pendidikan percuma dan hapuskan pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sesuatu yang masih
dinanti-nantikan pelajar negeri yang diperintah pakatan pembangkang.
Bagaimana pula janji-janji mereka di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang
mahupun Perak ketika mereka memegang kuasa dahulu? Mungkin kerana itu
tema Hari Merdeka tahun ini begitu sensitif kepada sesetengah pihak.
Bantuan bagi pendidikan prasekolah, anak yang dihantar ke nurseri,
menurunkan cukai pintu dan cukai premis perniagaan serta elaun ibu
tunggal juga masih dinanti-nantikan.
Tidak cukup dengan itu, janji-janji 'berat' juga semakin bertambah
seperti penurunan harga kereta, pemansuhan tol dan pemansuhan pinjaman
PTPTN sedia ada, kononnya semua itu mampu ditampung kerajaan
pembangkang, cukup dengan menghapuskan rasuah dan mengawal ketirisan
sahaja.
Ini belum mengambil kira rancangan 'kurang cerdik' seperti
mengurangkan bilangan kakitangan awam, terowong dasar laut Pulau Pinang,
menurunkan harga minyak dalam 24 jam selepas menang PRU, meroboh tembok
penjara jika pemimpin mereka dipenjarakan mahupun ada yang mengangkat
komunis sebagai hero, menukar
Jalur Gemilang dan sebagainya.
Yang nyata, setiap bajet bayangan yang menjanjikan bulan, bintang dan
roket itu gagal mendedahkan sumber kewangan yang jelas mahupun kaedah
menjana pendapatan serta menarik pelaburan bagi menjamin semua yang
dikatakan mampu dipenuhi.
Bagi rakyat biasa tentu sekali apa yang digula-gulakan itu sangat
menarik, untuk lima saat, tetapi akal yang waras dan rasional tentu
melihat banyak lompang dalam perancangan yang tidak berdiri atas realiti
dan kemampuan sebenar pembangkang menunaikan janji mahupun kemampuan
negara ini menampung bajet boros mereka itu kelak.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh, apa yang cuba
dilakukan pembangkang sukar difahami kerana ia umpama bajet bunuh diri.
"Tidak masuk akal, itu yang mampu saya katakan. Selama ini saya bayangkan pembangkang di negara kita lebih bijak.
"Mereka seperti tidak berfikir, tiada rancangan sokongan dan tidak
gantikan hasil yang hilang. Asas akaun pun tidak lulus kalau tidak boleh
imbang antara tolak dan tambah," tegasnya.
Menurut beliau, bajet pembangkang itu juga tidak menceritakan
bagaimana untuk menggantikan hasil hilang yang digunakan untuk menampung
semua rancangan mereka menghapuskan kos perbelanjaan tertentu.
Walaupun bajet bayangan pembangkang itu dikatakan ada pelan mencari
hasil, beliau tetap merasakan ia tidak mampu menampung apa yang cuba
dilakukan mengikut moto Negara Berkebajikan mereka.
"Mereka nampaknya mengambil contoh elemen tertentu dari beberapa
negara maju lain yang mempunyai sistem kebajikan sosial tetapi negara
terbabit juga hanya mengamalkan sesetengah aspek yang disebutkan bajet
pembangkang itu.
"Tiada satu kerajaan pun mampu melaksanakan kesemua elemen yang
pembangkang sebut dalam bajet itu secara serentak seperti menghapuskan
tol, pendidikan percuma dan sebagainya, jika tidak negara itu boleh
lumpuh," jelasnya.
Katanya lagi, bajet bayangan sepatutnya sesuatu yang realistik dan
boleh dilaksanakan secara serentak dalam tempoh satu ke dua tahun dan
bukannya yang tidak masuk akal mahupun diganti dengan alasan tunaikan
satu demi satu dahulu selepas mendapati janji itu sukar ditunaikan.
Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti
Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Amir Baharuddin pula berpendapat,
bajet yang dibentang pembangkang itu umpama ditambah secara main-main
sedangkan bajet bayangan terdahulu sudah banyak kepincangannya.
"Bajet eutopia ini macam main-main ditambah. Asas pun tak ada, hendak
dapatkan pertumbuhan yang tinggi pula. Janji yang bukan-bukan, budak
tingkatan enam pun boleh hasilkan bajet sebegini!
"Kalau nak lebih mudah, ambil bajet tahun lepas dan tukar
nombor-nombor sahaja. Ini bukan caranya. Untuk hasilkan bajet perlu
sekurang-kurangnya sembilan bulan kerja, berbincang dengan ramai pihak
sebelum kumpul semuanya dalam satu belanjawan," tegasnya.
Beliau turut menempelak janji kononnya dengan menghapus atau
mengurangkan cukai mereka masih boleh menguruskan sebuah kerajaan kerana
ia jelas menipu rakyat dan itu belum melibatkan pembayaran hutang
negara.
Tambahnya, untuk susutkan hutang negara juga mengambil masa
bertahun-tahun dan bukannya dalam satu belanjawan sahaja, jika tidak
bajet kerajaan untuk tahun itu hanya untuk membayar pinjaman
semata-mata.
Beliau memaklumkan pertumbuhan 4.5 peratus juga kini sukar dicapai
melihatkan situasi global tetapi sasaran bajet pembangkang umpama satu
usaha simplistik untuk mengelirukan rakyat.
"Dia (pembangkang) boleh janji apa saja tapi pelaksanaannya tentu
'sakit'. Perubahan kekal di bawah kuasa Perlembagaan dan Parlimen,
mereka tidak boleh buat apa pun yang dibentangkan selagi tidak memegang
kuasa.
"Mereka perlu ubah Perlembagaan untuk buat semua yang dijanjikan itu
dan ini akan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga. Jika tidak,
mereka terpaksa akur juga kepada sistem sedia ada," jelasnya.
Beliau juga kesal dengan taktik pembangkang sekali lagi membentang
satu bajet dengan poket kosong seperti tahun lepas, lebih-lebih lagi
diumumkan lebih awal daripada bajet kerajaan.
Tambahnya, tindakan itu umpama satu bentuk hasutan yang mengganggu
perjalanan proses kerajaan dipilih majoriti rakyat dan menyusahkan kerja
Perdana Menteri.
Amir menegaskan, pembangkang sepatutnya menyokong apa yang ada kini
dan ubah apa yang mereka mahu jika sudah berkuasa, agar apa yang mereka
lakukan itu tidak dibalas setimpal kelak.
"Kalau dia perintah dan orang buat begitu, dia suka? Ini cara
kebudak-budakan berjanji itu dan ini. Rakyat bukan sahaja kena fikirkan
kenapa mereka bentang bajet bayangan malahan kenapa melangkaui
pembentangan Perdana Menteri.
"Kalau agendanya baik dan betul, mereka tak bentang sekarang, patut
tak bentang langsung sebaliknya akan bantu stabilkan negara," ujarnya.
Menurut beliau, secara individu memang pembangkang banyak duit tapi
untuk perbelanjaan negara tentu mereka akan menggunakan hasil daripada
cukai dan memerah keringat rakyat.
Tambahnya, jika pembangkang pamkan duit sendiri ke dalam tabung
negara mahupun meminjam dengan orang kaya seperti George Soros sekalipun
belum tentu ia akan mencukupi.
"Orang kaya seperti Soros pun tiada cita-cita nak biayai negara lain.
Mungkin derma main-main beberapa juta sana sini tetapi payah untuk
orang sepertinya beri pinjaman berbilion ringgit kepada negara seperti
Malaysia.
"Oleh itu, rakyat perlulah berwaspada dengan perkembangan ini kerana
orang yang cetak wang palsu pun sudah ramai, yang janji palsu lagi
banyak," tegasnya.
pembangkang sekarang tak faham makna demokrasi. klau dah klah ikut sajalah apa yg si pemenang nak buat. dia dok diam2. ikut majoriti. ini tidak, dia pulak nak tunjuk budget dia. macam budak2. maklumlah anwar ibrahim pun bukan ada kelulusan ekonomi pun. dia hanya ada kelulusan putar belit