Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 3, 2012

Kemeriahan Bazar Ramadhan Jerantut


JERANTUT - Apabila tiba Ramadan, pelbagai juadah atau masakan yang tidak pernah ditemui pada hari biasa akan dijual terutama di bazar-bazar Ramadan.

Bagi umat Islam yang tinggal di pedalaman seperti di Taman Negara Kuala Tahan, Hulu Tembeling (Jerantut) dan Hulu Jelai (Lipis), masakan berasaskan ikan air tawar dan ulam-ulaman menjadi pilihan.

Salah satu juadah yang popular di Hulu Tembeling pada Ramadan adalah ikan salai dan pais ikan air tawar yang banyak dijual di bazar Ramadan dan pasar tani di sini.

Bazar Ramadan Bandar Baru Jerantut dan Bandar Baru Inderapura di sini turut menawarkan pelbagai aneka makanan tradisional Melayu Pahang untuk juadah berbuka.

Sebagai Bandar Taman Negara yang kaya dengan khazanah sejarah dan keindahan alam semulajadi selain cara hidup masyarakat Melayu di pesisiran Sungai Tembeling, berbuka puasa tidak akan lengkap jika tidak dihidangkan dengan ikan air tawar dan ulam-ulaman.

Ia terbukti apabila usaha Majlis Daerah Jerantut (MDJ) membuka bazar itu untuk memberi peluang kepada pengusaha mempromosikan makanan tempatan termasuk ikan sungai mendapat sambutan.

Antara makanan tradisional yang boleh diperoleh di bazar Ramadan itu termasuk asam tempoyak, asam rom (isi biji getah yang ditumbuk), rom perah (buah perah dari hutan Taman Negara), umbut bayas (pokok palma hutan) dan ulam-ulaman yang cukup membuka selera.

Begitu juga kuih tradisional masih betah mendominasi pasaran sebagai juadah berbuka puasa seperti campuran gula kabung, daun pandan dan kelapa yang masih mempamerkan ciri-ciri tradisional makanan Melayu Pahang.

Bagi penduduk bandar ini dan kawasan berdekatan, bagaikan tidak lengkap berbuka jika tidak berkunjung ke Bazar Ramadan Bandar Baru Jerantut dan Bandar Baru Inderapura.

Dalam kalangan peniaga pula, bazar Ramadan itu umpama lubuk rezeki menambahkan pendapatan. Boleh dikatakan apa sahaja juadah yang dijual asalkan berkualiti, bersih dan lazat akan dibeli pelanggan, malah ada peniaga yang terkenal dengan juadah istimewa masing-masing.

Bazar Ramadan Bandar Jerantut juga menjadi tempat pertembungan antara budaya Melayu Pahang dengan negeri lain apabila peniaga mempamerkan jualan yang mempunyai cita rasa berbeza seperti masin, pedas, masam dan manis yang dikaitkan dengan negeri tertentu.

Begitu juga peniaga dari utara yang menetap di tanah rancangan Felda berdekatan, juadahnya agak pedas dan sinonim dengan makanan bercirikan gulai atau kari, asam pedas, acar limau dan pajeri. Maka tidak hairanlah budaya makanan ala mamak menjadi tarikan pengunjung ini apabila pelbagai jenis martabak dengan variasi rasa didominasi oleh peniaga Melayu.

Pertembungan budaya dan kepelbagaian juadah makanan merupakan aset bagi bandar ini dalam sektor pelancongan. Dalam semua jenis makanan, peniaga tempatan negeri ini tetap mempamerkan juadah berasaskan ikan Sungai Tembeling yang kaya dengan kelazatan dan keasliannya.

Walaupun mahal, pelanggan sanggup berbelanja antara RM30 hingga RM50 untuk mendapatkan ikan bakar, asam tempoyak, pais tempoyak dan masak lemak ikan salai. Salah satu sajian ikan sungai yang cukup menyelerakan iaitu masakan ikan lawang salai pedas.

Pastinya terliur apabila melihat juadah yang disajikan di bazar itu seperti masak asam tempoyak, asam rom, umbut bayas, masak lemak dan asam pedas yang dicampur ikan Sungai Tembeling. Bagaimanapun, pelanggan yang baru tiba di bandar ini perlu berhati-hati dan bertanya terlebih dahulu harga seketul ikan patin dan kelah kerana harganya boleh mencecah antara RM40 hingga RM80.

Pendek kata, sajian tradisional Melayu Pahang yang dijual di bazar Ramadan dan restoran bandar Jerantut benar-benar menguji kesabaran dan keimanan pengunjung. Seorang penduduk Kuala Tahan, Adenan Nipah, 56, berkata, dia mengusahakan ikan lawang salai secara komersial untuk menambah pendapatan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

"Sejak bulan puasa ini, ikan salai mendapat permintaan di kalangan mereka yang gemar masakan kampung untuk hidangan berbuka," katanya di Kuala Tahan dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, ikan salai Sungai Tembeling sesuai dimasak lemak pedas, dicampur dengan asam tempoyak, dibakar dan digoreng.

"Syukurlah, setiap hari, 20 hingga 30 ekor ikan salai habis dijual selain ditempah oleh pengusaha resort di Taman Negara untuk dihidang kepada pelawat berbuka puasa," katanya.

Bagi mendapatkan ikan air tawar, Adenan yang mempunyai permit menangkap ikan Jabatan Perikanan berkata, selepas bersahur, dia ke Sungai Tembeling untuk menangkap ikan seperti patin, jelawat, temoleh, lawang, lampan dan kerai.

Sepanjang Ramadan ini, Adenan memperoleh sebanyak RM450 sehari menerusi jualan ikan salai di Kuala Tahan dan tempahan daripada peniaga pasar tani Jerantut.

Seorang penduduk Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Wan Chik Ibrahim, 45, pula mengusahakan masakan pais ikan secara komersial di kedainya untuk menambah pendapatan, lebih-lebih lagi permintaan yang meningkat di bulan puasa ini.

"Saya membuat pais ikan air tawar untuk juadah berbuka puasa dan dijual kepada orang ramai yang gemar masakan ini," kata beliau.

Menurutnya, memasak pais ikan berkenaan memang mudah dengan hanya menyediakan ikan, asam tempoyak, bahan perencah lain dan dibalut daun pisang untuk menyedapkan masakan itu. Wan Chik berkata, Ramadan membuka lebih banyak peluang berniaga pais ikan air tawar di kampung tersebut dan Taman Negara Kuala Tahan.

Katanya, ikan tilapia, lampan, patin dan kelah antara ikan yang sesuai dibuat pais perencah tempoyak durian yang segar sebagai juadah berbuka puasa.

"Saya mula memasak pais ikan mulai pukul 3 petang dan memastikan makanan itu siap untuk dijual sebelum berbuka," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDJ, Datuk Syed Ab. Mutalib Syed Hassan berkata, bazar Ramadan di bandar ini antara medan peniaga mempromosi pelbagai jenis makanan tradisional Melayu Pahang berasaskan ikan air tawar dan tumbuh-tumbuhan segar.

"Saya lihat satu keunikan di bazar ini kerana terdapat jualan lauk-pauk dan kuih muih yang jarang ditemui di tempat lain seperti dodol kukus, buah Melaka kukus dan satar," katanya.

Justeru itu katanya, makanan tradisional iaitu gulai tempoyak dan asam rom menjadi juadah bukan sahaja kepada orang tempatan malah pelawat domestik dan pelancong Barat yang singgah di sini sebelum ke Taman Negara Kuala Tahan.

Penduduk bandar Jerantut, Nordin Wahid, 60, berkata, makanan dan kuih-muih di bazar itu mempunyai kelainan, malah ada orang muda tidak pernah melihat dan merasa makanan tradisional Pahang.

"Usaha MDJ membuka bazar Ramadan ini juga mewujudkan peluang keusahawanan untuk peniaga Melayu memasarkan makanan tradisional negeri ini," katanya.

Tambah beliau, harga yang berpatutan di samping juadah yang menyelerakan sudah tentu menambat hati para pengunjung untuk kerap berkunjung ke bandar Jerantut yang terkenal dengan sajian asam tempoyak ikan kelah itu.

0 comments:

share2