Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, August 3, 2012

Jaga Kebersihan - Liow Tiong Lai


BENTONG - Para peniaga di bazar Ramadan diingatkan supaya menjaga kualiti dan kebersihan makanan sebelum dijual kepada orang ramai bagi mengelak kejadian kes keracunan makanan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mereka perlu mengutamakan dua aspek berkenaan semasa menyediakan juadah tersebut dan tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata.

"Peniaga jangan hanya mementingkan keuntungan semata-mata tetapi pada masa sama orang lain yang terpaksa menanggung penderitaan akibat tindakan kita yang mengabaikan kebersihan dengan menyediakan makanan sambil lewa.

"Seelok-eloknya peniaga dinasihatkan tidak menyediakan makanan terlalu awal kerana ia mudah terdedah kepada keracunan makanan dan peniaga juga diingatkan supaya tidak mengitar semula makanan yang tidak habis dijual," kata beliau.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan Negeri, Datuk Hoh Khai Mun dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Datuk Johari Harun.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau kebersihan dan kualiti makanan di bazar Ramadan supaya orang ramai tidak mengalami keracunan makanan.

"Saya amat memandang serius masalah keracunan makanan yang kerap kali dilaporkan berlaku di bulan Ramadan.

"Justeru, saya menggesa kerjasama orang ramai bagi melaporkan perkara ini dengan segera sekiranya mereka berdepan masalah keracunan makanan selepas membeli juadah di bazar Ramadan," jelasnya.

Tambahnya, mangsa keracunan boleh membawa dan menyerahkan makanan yang dipercayai punca keracunan kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk siasatan lanjut.

"Mereka yang berdepan masalah keracunan makanan juga diminta mendapatkan rawatan segera di klinik dan hospital berhampiran.

"Melalui pemantauan penguatkuasaan yang dilaksanakan dengan lebih kerap diharap dapat mendidik peniaga supaya tidak mengambil sikap sambil lewa dalam soal penjagaan kebersihan dan penyediaan makanan yang dijual di bazar Ramadan," ujarnya.

Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong memberitahu, bagi mengelakkan kejadian sama berterusan, semua pihak terutama peniaga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan makanan atau minuman yang dijual bersih dan segar.

0 comments:

share2