KUANTAN - A. Kavee Alagan dari Negeri Sembilan berjaya mencipta rekod baharu Sukan Malaysia (Sukma) sekali gus meraih pingat emas acara lompat tinggi lelaki pada hari kedua acara olahraga yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di Kuantan, semalam.
Kavee Alagan, 20, berjaya melakukan lompatan setinggi 2.21m, mengatasi rekod lima tahun 2.19m jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang dicipta semasa Sukma Terengganu 2008.
Pingat perak milik atlet Perak, S. Navinraj Singh yang melakukan lompatan setinggi 2.19m diikuti atlet Selangor, Mohd Azly Ghazali yang meraih gangsa setelah membuat lompatan 2.15m.
Kavee Alagan berkata, kejayaan itu menambahkan lagi keyakinannya untuk mengatasi Hup Wei suatu hari nanti.
"Saya ingin atasi rekod tertinggi yang pernah dilakukan oleh Hup Wei (2.27m - rekod kebangsaan) namun pada masa sama saya menghormati beliau," kata Kavee Alagan.
Anak kelahiran Bahau itu berkata beliau tidak menjangka dapat memecah rekod kejohanan kerana sasarannya hanya untuk memenangi pingat emas.
"Kejayaan ini sebagai tanda terima kasih saya terhadap pengorbanan dan dorongan yang tidak putus-putus daripada jurulatih, ibu bapa dan tidak ketinggalan rakan-rakan yang sentiasa bersama saya," katanya.
Kavee Alagan yang mula berjinak dalam sukan olahraga sejak berumur 12 tahun, berharap dapat mengharumkan nama negara di kejohanan peringkat dunia satu hari nanti dan bersedia mengalas cabaran tersebut pada bila-bila masa.
Selain acara lompat tinggi, Kavee Alagan turut mengambil bahagian dalam acara 4x400m esok.
0 comments:
Post a Comment