Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 30, 2012

Banduan Terlepas Ditangkap Semula

KARAK – Polis berjaya menahan semula lelaki berusia 21 tahun yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Bentong pada 10 Julai lalu, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, selepas menjalankan usaha menjejaki lelaki itu selama lebih kurang 18 hari, dia akhirnya berjaya ditangkap semula di Kampung Orang Asli Sungai Dua Hulu, dekat sini.

Menurutnya, operasi menahan lelaki itu diketuai Ketua Balai Polis Karak, Sub Inspektor, Nik Hamdan Mamat dan beberapa anggota lain.

“Usaha menjejaki lelaki itu diteruskan sejak dia dilaporkan melarikan diri sehingga ditahan semula kelmarin (Sabtu).

“Kertas siasatan kes ini dibuka mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada penjagaan yang sah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi 10 Julai lalu, lelaki itu bertindak merempuh polis pengiring ketika garinya dibuka sebelum dimasukkan ke dalam lokap mahkamah selepas majistret menetapkan reman disambung sehingga 17 Julai.

Lelaki itu kemudiannya bertindak memanjat sebatang pokok dan melompat tembok setinggi hampir 2.7 meter sebelum menghilangkan diri ke kawasan hutan di belakang Masjid Bandar Bentong.

0 comments:

share2