CERITA muzakarah Pas dan UMNO adalah suatu cerita karut yang bertujuan untuk merosakkan imej UMNO di kalangan bukan Melayu.
UMNO dan orang Melayu di luar Pas jangan menyambut anjuran muzakarah ini dengan sentimen perpaduan Melayu kerana reaksi seumpama ini akan menunjukkan kepada bukan Melayu betapa perkaumannya UMNO yang telah sekian lama merekodkan sejarah muhibahnya dengan kaum lain terutama orang Cina di negara ini.
Jika muzakarah ini diadakan, yang untung ialah Pas kerana ia telah dapat meyakinkan golongan pelampau Cina bahawa Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan sanggup berbuat apa sahaja sebagaimana dikehendaki oleh DAP demi perpaduan dengan bukan Melayu.
Generasi baru Cina yang tidak mengenal sejarah tidak tahu bahawa parti inilah yang menyokong konfrantasi Indonesia dan pemimpin mereka mempunyai rekod perkauman Melayu dan jumud dalam fahaman agama.
Berlakunya hal ini bukanlah suatu perkara baru kerana golongan nasionalis Melayu berhaluan kiri pernah bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) malah ada ustaz dan ustazah yang berjuang bersama-sama pengganas komunis di dalam hutan.
Sekarang DAP dan Pas saling meyakini bahawa apabila mereka menguasai Putrajaya kelak, DAP akan dapat menundukkan Pas kepada dasar-dasarnya dengan pengaruh dan kuasa wang yang berada di tangan orang Cina dan Pas pula yakin dapat mengikat DAP dengan kuasa Melayu dan Islam yang disembunyikannya sekarang.
Pastinya kepercayaan kedua-dua pihak ini akan bertembung dan memporak-perandakan kestabilan politik kerana mereka tidak dapat membuat suatu penyelesaian muktamat sebelum memerintah seperti yang dilakukan oleh UMNO dan rakan-rakannya dalam Perikatan menerusi kontrak sosial sejak sebelum merdeka. Masalah yang dihadapi kemudiannya telah juga dapat diselesaikan kerana adanya kontrak ini.
Jika dilihat dari segi sejarah, keyakinan perpaduan Melayu menerusi Pas dan UMNO ini adalah suatu keyakinan yang palsu dan karut. Ini kerana dapat dilihat dengan jelas, perpisahan ideologi antara golongan kiri dalam parti-parti Melayu dengan kepimpinan UMNO yang berhaluan kanan yang berlaku sejak selepas orang Melayu berjaya menentang Malayan Union dan menggantikannya dengan Perlembagan Persekutuan tetapi pemimpin-pemimpin kiri Cina dan Melayu menolak Perlembagaan ini dan mahukan Perlembagaan Rakyat yang menolak kuasa raja.
Utusan Melayu yang didukung oleh wartawan-wartawannya yang berhaluan kiri turut memperjuangkan Perlembagan Rakyat dan penganjuran hartal (penutupan kedai perniagaan) oleh pihak komunis. Dasar kiri Utusan Melayu yang menyokong golongan nasionalis kiri Melayu termasuk Pas dipatahkan oleh UMNO pada 1961 dengan mengambil alih Utusan Melayu.
Orang UMNO tidak akan dapat menjiwai semangat nasionalis Pas atau mendukung parti chauvanis Cina seperti DAP. Nasionalis UMNO tidak mungkin dapat berada dalam semangat nasionalis Islam Pas yang berasaskan kepada revolusi Indonesia dan revolusi Iran. Sekalipun Pas telah melemparkan negara Islamnya tetapi apabila sampai saat dan masanya maka ia akan timbul semula.
Perbezaan ‘orang asing’ dengan orang yang berjati diri UMNO bila tersingkir atau terkeluar daripada parti ini dapat dilihat melalui tindakan Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim. Tengku Razaleih tidak dapat menjadi pembangkang sejati sebaliknya masih mahu memakai baju UMNO. Beliau menubuhkan parti yang menjiwai semangat UMNO bersama-sama rakannya daripada bekas UMNO.
Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pernah keluar daripada UMNO dan kemudian menyertai Parti Semangat 46 kerana melihat semangat UMNO dalam parti itu dan Semangat 46 itu sendiri adalah jelmaan semangat UMNO. Tun Dr. Mahathir Mohamad juga keluar daripada UMNO untuk membetulkan UMNO dari luar (kemudian kembali masuk UMNO) dan demikian juga Ibrahim Ali yang berjuang menerusi Perkasa memberikan sokongan kepada UMNO.
Keluar masuk mereka ini daripada UMNO tidak pernah dianggap oleh UMNO sebagai orang asing malah tetap dikenang sebagai pemimpin UMNO dari zaman ke zaman. Demikian juga pengasas UMNO Dato’ Onn Jaafar.
Ini berbanding jauh dengan Anwar yang hanya beberapa minit sahaja selepas dipecat daripada UMNO terus menelanjangi jati dirinya sebagai orang yang benar-benar benci kepada UMNO dan bukan darah daging UMNO, lantas berada di pihak pembangkang dan langsung tidak mempunyai masalah untuk memperlihatkan asal usul kejatian dirinya, malah sampai kepada peringkat untuk menghapuskan sejarah dan jasa UMNO kepada negara ini.
Anwar bukanlah darah daging UMNO tetapi menyertai UMNO dengan hasrat untuk menjalankan penyusupan dan menukarkan keperibadian UMNO. Dia juga ingin menukar dasar dan pemerintahan secara drastik menurut semangat revolusinya tetapi Tuhan tidak mengizinkannya.
Jika ini berlaku maka tidak dapat tidak pemimpin yang dianggap sebagai revolusioner tidak akan dapat menjayakan cita-citanya, sebaliknya akan mengikut telunjuk Barat kerana “File Anwar" termasuk aktiviti luar biasanya berada dalam tangan Barat.
Seorang lagi yang berada dalam tangan Barat dan berada dalam krisis moral sedang menjadi pemimpin besar pembangkang, termasuk ketua utama kepada Pas.
Maka hasrat orang UMNO dan orang Melayu untuk perpaduan Melayu menerusi jalinan hubungan dengan Pas adalah mimpi yang di luar pemikiran rasional dan logik terutama sekali kerana Pas sendiri bukan parti politik yang bebas.
Pas sekarang banyak bergantung kepada Anwar termasuk dari segi tabung kempen pilihan raya dan kecekapan bermain sandiwara jalanan dan melakukan pembohongan demi pembohongan yang mudah meyakinkan orang fanatik dan jumud.
Tidak sesiapa pun melihat keikhlasan dalam tawaran muzakarah daripada Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada UMNO, terutama sekali kerana ia dibuat dalam suasana kempen pilihan raya dan dalam keadaan Pas tertekan dan terdesak.
Ia merupakan suatu strategi pilihan raya Nik Aziz yang halus dan bijak untuk menunjukan kesegaran dan kekuatan Pas dalam keadaan menghadapi keruntuhan moral yang amat teruk berikutan tindakan Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim keluar daripada DAP. Beliau merupakan permata Melayu kepada DAP.
Sebenarnya kemasukan Tunku Abdul Aziz ke dalam DAP tidak lama dahulu tidak mengejutkan UMNO. Ini kerana beliau bukan pemimpin yang mempunyai pengaruh akar umbi di kalangan orang Melayu, namun DAP menganggapnya sebagai kemenangan besar untuk menunjukkan UMNO tidak bersih kerana seorang profesional Melayu yang bersih dan mempunyai nama besar dalam dunia korporat lebih bersedia menerima DAP daripada UMNO.
Tetapi suatu tamparan hebat telah berlaku terhadap DAP. Tindakan Tunku Abdul Aziz tidak boleh dianggap sebagai dipengaruhi oleh sesiapa kerana dari segi politik ia adalah kesilapannya sendiri kerana beliau lebih mementingkan prinsipnya daripada kepentingan politik.Tindakan itu membuktikan bahawa beliau bukan orang politik tetapi sebenarnya seorang profesional. Namun dari segi politik memang merugikan partinya dan ada kewajaran tindakan DAP itu.
DAP tidak boleh menuduh UMNO terlibat atau marah kepada UMNO dan BN kerana menggunakan isu Tunku Abdul Aziz untuk kepentingan politik mereka. Ini adalah keharusan dalam politik. Isu ini sangat mahal harganya dan amat besar pengaruhnya ke atas rakyat yang mencintai demokrasi yang akan mendatangkan malapetaka kerosakan kepada imej DAP.
Isu ini menimbulkan keraguan kepada masyarakat Melayu dan bukan Melayu terhadap sikap demokratik DAP yang memecatnya kerana terserlah kejujuran dan keikhlasannya untuk membawa DAP bekerjasama dengan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersungguh-sungguh melakukan transformasi sosio politik dan ekonomi di negara ini.
DAP barangkali pada pandangan Tunku Abdul Aziz lebih sesuai bersama dengan UMNO daripada PKR yang kotor dan daripada Pas yang tidak bertamadun, kolot dan jumud.
Di mata umum juga kewibawaan Najib jauh lebih hebat daripada Anwar yang terpalit dengan pelbagai krisis moral yang tidak pernah terdengar berlaku kepada mana-mana pemimpin Islam di negara ini sebelumnya.
Di kalangan umum pula timbul pertanyaan umum bagaimanakah Nik Aziz seorang tok guru masih sanggup bersekongkol dengan pemimpin parti yang tidak bermoral dan bekerjasama dengan DAP yang tidak lagi berpegang teguh kepada prinsip politik demokrasi, sebaliknya sanggup mengorbankan pemimpin-pemimpin yang mahu bercakap secara bebas untuk menegakkan kebenaran dan demokrasi.
DAP tidak dapat menyerupai PAP atau mencontohi kepimpinan Lee Kuan Yew yang bersih di Singapura terutama dalam soal rasuah. Ini disedari oleh Tengku Aziz, dan beliau tidak dapat bersabar lagi.
Cuma apa yang dapat dicontohi pemimpin besar DAP Lim Kit Siang daripada mentornya hanyalah dari segi menjadikan anaknya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang mana Kuan Yew berjaya menjadikan anaknya sebagai Perdana Menteri Singapura.
Berasaskan kepada semua latar belakang ini, Pas tidaklah seharusnya menjadi pilihan UMNO untuk perpaduan Melayu tetapi sebaliknya perpaduan Melayu hanya akan wujud dengan melumpuhkan Pas. Kesempatan haruslah diambil daripada keruntuhan moral dan kekalutan politik Pas sekarang untuk memusnahkan sama sekali Pas.
Sekarang bukan masanya untuk bermuzakarah.
0 comments:
Post a Comment