Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 21, 2012

MB Pahang Bidas Peneroka Anti FGVH


''Kalau saya antara lapan peneroka itu, saya malu nak ambil durian runtuh," kata Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dengan nada menyindir kepada lapan peneroka yang memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) sebelum ini.

Menurut Adnan, empat daripada peneroka terbabit yang telah mengambil bayaran durian runtuh fasa pertama kelmarin dan semalam, seharusnya berasa malu di atas tindakan mereka sebelum ini yang mahu menggagalkan penyenaraian tersebut.

Katanya, justeru peneroka terbabit sepatutnya bersyukur dengan segala nikmat yang mereka kecapi melalui Felda serta menghentikan segala fitnah dan tohmahan dengan kembali memberikan sokongan kepada kerajaan dan Felda.

"Kalau saya sudah tentu malu untuk guna wang tersebut kerana pelbagai tohmahan dan cemuhan telah dilemparkan kepada kerajaan dan Felda berikutan penyenaraian FGVHB itu.

"Bagaimanapun itu terpulang kepada peneroka terbabit kerana wang tersebut adalah hak mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sejahtera Peneroka Bersama Pemimpin dan Penyampaian Wang Durian Runtuh kepada 1,432 peneroka Felda dari rancangan Kemasul, Chemomoi dan Sungai Kemahal.

Sebelum ini, lapan peneroka yang didalangi pembangkang iaitu lima dari Jengka 15, dan masing-masing seorang dari Jengka 14, Jengka 4 dan Jengka 17 memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian FGVHB.

Namun empat daripada mereka telah mengambil bayaran durian runtuh fasa pertama manakala dua lagi iaitu peneroka dari Jengka 4 dan Jengka 17 akan menerima cek mereka pada majlis penyerahan minggu depan dengan dua lagi yang memfailkan injunksi itu akan menerimanya pada fasa kedua dan ketiga.

Menurut Adnan, penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia akan membolehkan para peneroka mendapat pendapatan tambahan setiap tahun menerusi pemilikan saham.

Sehubungan itu, beliau berharap para peneroka tidak lagi mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang bertujuan menggagalkan usaha kerajaan memajukan kesejahteraan hidup para peneroka.

Mengenai borang biru yang akan diedarkan kepada peneroka, Adnan memberitahu, borang tersebut adalah tawaran saham yang diberikan kepada peneroka dan bukannya perangkap supaya mereka menyerahkan tanah sebagaimana dakwaan pembangkang.

0 comments:

share2