DUNIA komik dan kartun di negara ini semakin berkembang maju. Sama ada dimensi karikatur bercetak, animasi video mahupun visual 3D, perkembangannya dilihat semakin memberangsangkan.
Banyak juga hasil karya tempatan yang diakui setanding dengan tahap antarabangsa.
Bagaimanapun, bilangan kartunis wanita yang terlibat secara langsung dalam arena karikatur dan animasi masih kurang berbanding lelaki. Ia dipercayai disebabkan minat dan kurangnya peluang pekerjaan dalam bidang tersebut.
Selain itu, ada juga yang masih kurang yakin tentang jaminan masa depan jika menceburi bidang berkenaan.
Pertemuan dengan seorang kartunis generasi baharu iaitu Suraya Md. Nasir yang berusia 26 tahun di pejabat Moy Publication Sdn. Bhd. di Subang Jaya baru-baru ini membuka pelbagai cerita tentang kartunis wanita itu.
Wanita kelahiran Johor dengan nama pena, Jon Suraya, itu kelihatan bersahaja dan tidak lekang dengan senyuman.
Sambil tangannya pantas melakar karikatur salah satu watak dalam karyanya di atas sekeping kertas putih, Suraya bermukadimah tentang langkah mula kerjayanya itu.
"Saya tidak menyangka akan jadi kartunis. Masa mula-mula berkarya, saya masih belajar dalam jurusan Diploma Juruukur Bahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
"Bidang yang saya ceburi kini jelas jauh berbeza. Menyedari bakat terpendam saya, seorang sahabat kakak saya telah memperkenalkan saya kepada salah seorang editor majalah syarikat Moy Publication Sdn. Bhd.," katanya yang memberitahu hasil temu duga pertamanya itu telah ditolak.
Begitupun, Suraya tidak berputus asa. Situasi itu tidak menghalang dirinya untuk terus berusaha mengetengahkan karya komik kepada pihak Moy Publication.
Usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila kartun yang dihasilkan berjaya menambat hati editor majalah di Moy Publication.
"Saya sebenarnya minat melukis sejak tadika. Lukisan yang saya hasilkan mendapat pujian guru dan orang sekeliling.
"Apabila memasuki alam universiti, saya melukis dalam majalah fakulti dan lukisan yang saya hasilkan masih mendapat pujian rakan-rakan," kata anak kedua dari empat orang adik-beradik itu.
Dorongan demi dorongan diberikan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga. Atas azimat itu, Suraya mula memasuki dunia kartunis sejak lima tahun lalu sehingga sekarang.
Suraya mula berkarya di dalam majalah Blues Selamanya terbitan Moy Publication sebagai kartunis sambilan selama setahun.
Dia kemudiannya berpindah ke majalah humor G3 terbitan Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. (Karangkraf) selama tiga tahun sebelum beralih angin ke majalah APO? terbitan Moy Publication hingga sekarang.
"Sudah empat bulan saya berkhidmat secara sambilan dengan majalah APO?. Di sini, saya melakar komik kartun Leya The Awek Bikers dan Budak Sewa United," ujarnya yang banyak dipengaruhi teknik lakaran kartun komik mangga Jepun dalam karyanya,
Suraya memberitahu, dia berpuas hati kerana kerjayanya itu memberikan pulangan pendapatan yang lumayan. Dengan pendapatan tersebut juga, Suraya mampu menampung kos pengajian dalam jurusan Sarjana Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM Shah Alam.
Seorang kartunis wanita era 1990-an, Noorhazalen Saad, 40, pula memberitahu, antara faktor pendorong kelahiran kartunis wanita di Malaysia adalah kerana minat untuk bersaing dengan lelaki selain galakan daripada kawan dan keluarga.
Lebih daripada itu, kebanjiran tawaran daripada syarikat penerbitan besar yang berminat untuk menerbitkan karya mereka menjadi faktor positif pengembangan bakat. Dari penerbitan tersebut, karya mereka akan lebih dikenali dan dihargai umum.
Ketika ditanya mengapa jumlah kartunis wanita tidak ramai di Malaysia, Noorhazalen yang dikenali dengan nama pena Leen Mafia menjelaskan bahawa kekurangan itu bukan sahaja berlaku di negara ini sahaja malah di seluruh dunia. Nisbah kartunis wanita kepada lelaki dianggarkan 1/40.
Menurut kartunis yang berasal dari Felda Sungai Koyan, Pahang itu, kartunis wanita di Malaysia sentiasa berpeluang dan diberi ruang untuk maju. Perkara yang menjadi persoalannya adalah mengenai sikap, iaitu sama ada seseorang itu rajin atau tidak dalam berkarya.
"Kartunis lelaki dan wanita jauh bezanya. Kartunis lelaki lebih berbakat kerana fitrah lelaki yang dianugerahkan sembilan akal, mereka lebih kreatif dari segi idea dan lebih lawak berbanding wanita.
"Sebenarnya agak sukar wanita untuk bersaing dengan kartunis lelaki kerana dunia komik dimonopoli oleh lelaki.
"Dari segi psikologi pula, kanak-kanak lelaki lebih suka membaca komik dan meniru watak-watak aksi adiwira sekali gus mendorong mereka untuk melukis karakter tersebut sebagai idola," kata Noorhazalen.
Menurut Noorhazalen, masyarakat di negara ini didapati sangat positif menerima kehadiran kartunis wanita. Walaupun jumlah mereka sedikit, karya mereka sentiasa dinanti-nantikan pembaca.
Tambahnya, bakat melukis yang dimilikinya itu bermula sejak kecil apabila dia didapati aktif melukis dan meminati seni lukisan. Sejak itu, satu-satunya faktor pendorong untuk terus berjaya adalah azamnya sendiri.
Bercerita tentang jejak awal penglibatannya dalam dunia komik, Noorhazalen mengakui, dia berasa tertekan untuk bersaing dengan lelaki kerana golongan itu dilihat lebih kreatif, banyak idea dan mempunyai daya juang yang tinggi.
Begitupun, itu bukan alasan untuknya cepat mengalah. Sehingga kini, karyanya yang terkenal ialah Siswi, Tok Teh, Leen Mafia Real Life, Bapakku Seorang Perajurit dan Kartun Loose.
Sementara itu, Pensyarah Sejarah dan Kritikan Seni di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM, Shah Alam, Selangor, Profesor Dr. Muliyadi Mahamod berkata, walaupun tidak ramai, jumlah kartunis dalam kalangan wanita di negara ini semakin bertambah.
Menurutnya, kehadiran kartunis wanita dewasa ini semakin menyerlah di dalam industri komik dan semakin mewarnai dunia komik negara yang sangat mencabar kini.
Ekoran perkembangan teknologi, kewujudan majalah komik semakin banyak dan medium internet kian meningkat serta mendapat sambutan menggalakkan. Jelas beliau, kartunis wanita seharusnya mengambil kesempatan menempa nama dalam industri ketika masih muda dan bujang sebelum memasuki alam perkahwinan.
"Jadi kartunis sepenuh masa ketika muda, seronok. Bila sudah kahwin dan ada keluarga, kartunis wanita sering kali memilih untuk menjadi kartunis sambilan. Mereka akan mencari kerjaya yang lebih mudah dan menjamin masa depan atau menumpukan perhatian pada keluarga sebagai suri rumah," ujar beliau.
Dewasa ini, persaingan antara majalah komik semakin sengit begitu juga dengan kewujudan komik di internet yang semakin mendapat perhatian. Sehubungan itu, kartunis wanita disarankan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pendidikan formal di peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, mereka juga perlu mengikuti perkembangan semasa. Kewujudan kartun di media cetak, internet dan laman sosial penting ketika ini kerana ia menjadi ejen bagi mempromosi karya kartunis.
"Setiap kartunis wanita perlu mencari identiti sendiri dalam menterjemahkan karikatur mereka.
"Mereka perlu ada pendekatan dengan gaya baharu yang unik. Contohnya, kartun Lat dilihat sebagai karikatur ikon kepada dunia komik tempatan. Kalau boleh, jangan terikut-ikut dengan mangga dan komik Barat," katanya.
Muliyadi mengesyorkan, Persatuan Penggiat Komik Malaysia (PeKOMIK) perlu menggiatkan lagi usaha mempromosi dunia komik yang didominasi lelaki ini kepada kaum Hawa yang dilihat sebagai golongan minoriti.
"PeKOMIK perlu lakukan lebih banyak promosi untuk menarik usaha untuk menambah kartunis wanita pada masa hadapan.
"Penampilan kartunis wanita perlu dilakukan lebih kerap di khalayak ramai terutama ketika menghadiri pesta atau pameran," cadang beliau.
0 comments:
Post a Comment