Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 2, 2012

Kaki Judi Dicekup Ketika Leka


Lima lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 55 tahun yang sedang leka bermain judi tergamam selepas premis perniagaan yang dikunjungi mereka diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan IPD Pekan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan, Amran Sidek berkata, seramai tiga pegawai dan 12 anggota polis menyerbu premis berkenaan yang terletak di Jalan Engku Muda Mansor, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Menurutnya, seorang lelaki yang ditahan berusia 24 tahun merupakan penjaga premis berkenaan, manakala empat lagi lelaki adalah pelanggan yang datang untuk mencuba nasib.

“Sebanyak 40 set komputer ­bernilai kira-kira RM50,000 yang disyaki digunakan dalam kegiatan perjudian Internet berjaya dirampas pihak berkuasa dan kelima-lima lelaki ber­kenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas ialah sebuah kalkulator jenama Casio dan sebuah buku log yang digunakan bagi tujuan perniagaan haram tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Amran berkata, penjaga premis yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara tidak kurang tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

“Empat kaki judi yang ditahan pula kini disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih enam bulan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Amran berkata, sebanyak 89 set komputer yang disyaki digunakan untuk tujuan sama di sekitar daerah ini berjaya dirampas hasil serbuan yang dilakukan tahun ini bermula Januari lalu.

“Hasil tangkapan yang dilakukan, polis turut mendapatkan kerjasama daripada beberapa agensi seperti Majlis Daerah Pekan (MDP) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi urusan pembatalan lesen perniagaan dan pemotongan bekalan elektrik.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terus berdegil menyediakan kegiatan perjudian di sebalik perniagaan Internet yang sah apatah lagi di premis-premis haram,” katanya.

Menurutnya, polis akan terus menjalankan usaha membendung gejala berkaitan yang dikhuatiri membawa kepada masalah sosial dan peningkatan kadar jenayah.

0 comments:

share2