Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 9, 2012

Irene Perlu Mengemukakan Bukti Kukuh - Imigresen


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad Jabatan Imigresen meminta supaya Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez mengemukakan bukti berhubung dakwaan terhadap salah laku pegawainya yang disiarkan dalam akhbar The Jakarta Post.

Irene dalam satu temu bual yang disiarkan oleh The Jakarta Post mendakwa ramai majikan melanggar undang-undang imigresen kerana mengupah pekerja yang tiada dokumen sah, tetapi tidak dihukum kerana mereka membayar (rasuah) polis dan pegawai imigresen dalam pakatan sulit untuk menyalahkan pekerja.

Pengarah Eksekutif Tenaganita itu berkata pihaknya merekodkan lebih 1,500 kes membabitkan pekerja tanpa dokumen dan 500 kes melibatkan majikan melanggar undang-undang imigresen pada tahun 2011.

Walaubagaimanapun Alias mendakwa pihaknya tidak menerima aduan mengenai majikan yang melanggar undang-undang imigresen kerana mengupah pekerja yang tiada dokumen sah, tetapi tidak dihukum kerana membayar pegawainya (rasuah).

“Setakat ini, tiada laporan (seperti yang didakwa) diterima oleh Jabatan Imigresen. Irene perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu.

“Jabatan Imigresen akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat. Semua orang boleh cakap (dakwa) macam-macam tetapi biarlah ada bukti,” katanya.

Alias berkata, jika dakwaan Irene itu adalah benar, Jabatan Imigresen akan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak majikan dan pegawai jabatannya.

“Kami akan menyiasat. Jika benar, kami akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap majikan kerana merasuah pegawai kami.

“Kami juga akan mengenakan tindakan tegas terhadap pegawai terbabit di bawah Lembaga Tata Tertib jabatan. Mereka juga akan diserahkan kepada SPRM untuk siasatan mengenainya kerana menerima rasuah,” katanya.

0 comments:

share2