skip to main |
skip to sidebar
Tahun Melawat Jerantut Meriah
Pahang merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai tempat menarik hingga menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara. Tidak terkecuali Jerantut yang mendapat jolokan Bandar Taman Negara kerana daerah ini mempunyai beberapa destinasi menarik yang sentiasa menggamit kedatangan pelancong.
Selain destinasi utama iaitu Taman Negara Kuala Tahan, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan indah di Gua Kota Gelanggi, Lembah Kiol, Lata Meraung dan tempat-tempat bersejarah yang dikaitkan dengan pahlawan Mat Kilau.
Bagi tujuan merancakkan lagi industri pelancongan di daerah ini, Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Jerantut, Kementerian Pelancongan, agensi kerajaan dan syarikat swasta termasuk Terra Venture Event Management mengadakan Karnival dan Tahun Melawat Jerantut 2012.
Majlis perasmian karnival itu yang berlangsung di Padang Bola Sepak Jerantut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Lebih 10,000 pengunjung memenuhi padang tersebut yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Jerantut, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Yang Dipertua MDJ, Datuk Muhammad Roslan Harun.
Pada masa yang sama, Himpunan 1,000 Belia Jerantut turut diadakan. Secara keseluruhannya, karnival tersebut berjaya menarik puluhan ribu pengunjung ke daerah ini, sekaligus membolehkan mereka mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pelancongan di Bandar Taman Negara itu.
0 comments:
Post a Comment