Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 20, 2012

PTPTN - Bukti Kerakusan Pembangkang Terhadap Wang Rakyat


'JIKa mereka anak jantan pulangkan pinjaman (PTPTN)," itulah cabaran yang dlontarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang semakin muak dengan gelagat pihak-pihak yang menentang pinjaman berkenaan.

Bagaimanapun kita yakin bahawa puak- puak berkenaan termasuklah segelintir mahasiswa yang melakukan demonstrasi tidak matang dan biadab di Dataran Merdeka, sejak Ahad lalu tidak akan menyahut cabaran itu.

Kita harus memahami mahasiswa yang terlibat itu tidak tahu apa-apa, mereka hanya dipengaruhi dengan mainan politik pembangkang. Mana mungkin golongan yang belum pun menggenggam segulung ijazah dan ada pula antaranya digantung pengajian akan begitu bijak mengatur strategi turun ke jalanan.

Difahamkan, ketika demonstrasi berlaku, beberapa pemimpin pembangkang turut turun kononnya untuk memberi sokongan moral kepada mahasiswa yang menjadi 'boneka' mereka, tetapi apabila mahasiswa tersebut berkhemah sehingga diusir oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tiada seorang pemimpin pembangkang bersusah payah dengan mereka.

Kalau mereka kononnya pejuang sejati kepada golongan mahasiswa kenapa tidak berkhemah bersama-sama, kenapa membiarkan golongan pelajar yang masih mentah itu berhadapan dengan pihak berkuasa secara sendirian? Keadaan itu jelaslah menunjukkan betapa jahilnya kelompok mahasiswa tersebut yang begitu mudah menjadi 'boneka' dan alat kepada pihak lain. Malang sekali impian ibu bapa yang menghantar anak untuk menimba ilmu di menara gading, hanya menyaksikan anak mereka itu terpekik terlolong di jalan raya.

Tindakan mahasiswa ini jauh berbeza dengan sekelompok lagi mahasiswa yang bersedia menghadiri meja bulat anjuran Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini bagi mencari penyelesaian terbaik dalam isu PTPTN tersebut.

Mereka tidak mahu terpengaruh dengan mainan pembangkang, sebaliknya sentiasa matang untuk mencari penyelesaian secara berhemah. Sebab itulah kelompok mahasiswa yang berdemonstrasi di Dataran Merdeka tidak mendapat sokongan. Tidak sampai 200 orang menghadiri perhimpunan haram itu yang kesudahannya dikecam oleh blog-blog pakatan pembangkang sendiri.

Sememangnya sejak awal lagi, tindakan berdemonstrasi itu adalah satu perbuatan tidak matang kerana isu PTPTN bukannya boleh diselesaikan dengan berarak di jalan raya atau menjadi bak pelarian dengan tinggal di dalam khemah-khemah.

Semua itu hanya dilakukan oleh mahasiswa yang baru mengenal dunia dan keterujaan mereka mencapai usia 'baligh' untuk berdemonstrasi. Tetapi hakikatnya, apa yang mereka lakukan itu hanyalah sia-sia dan menunjukkan betapa dangkal pemikiran mereka apabila begitu mudah dihasut dan diperalatkan pihak lain bagi tujuan politik.

Justeru tidak perlulah kita merasa gundah gulana dengan puak-puak mahasiswa yang berdemonstrasi itu, apatah lagi tindakan biadab mereka meletakkan kalungan bunga pada gambar pemimpin-pemimpin negara jelas membuktikan bahawa pemikiran mereka sudah dikuasai oleh politik kebencian.

Walaupun ada antara mereka cuba membuat hujah dangkal apabila menyatakan kalungan bunga itu bukan melambangkan kematian dan menafikan bahawa mereka menyebut perkataan 'Allahyarham dan mendiang', namun rakaman video ketika mereka melakukan perbuatan itu sudah tersebar luas di blog-blog.

Kalaulah hujah mereka, kalungan bunga itu tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, jelaslah mahasiswa tersebut sememangnya jahil dan tidak layak belajar di universiti. Mungkin juga jika orang seperti ini dihantar semula menjalani pengajian mana-mana sekolah rendah atau menengah bagi membolehkan ia memahami adat resam masyarakat majmuk di negara ini.

Sebab itulah, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dengan lantang membidas sikap biadab kelompok tersebut.

Bagi Khairy, apa pun hendak dilakukan oleh mahasiswa ia mestilah secara beradab dan bukannya dipengaruhi oleh emosi.

Apa pun, kerajaan tidak perlu tunduk dengan desakan segelintir mahasiswa tersebut yang sudah menjadi alat kepada pembangkang. Menjelang musim pilihan raya ini, banyak lagi isu yang akan menjadi landasan kepada puak itu untuk turun ke jalanan.

Kalau kita asyik melayan kelompok mahasiswa yang belum matang ini dan kerenah pembangkang yang bagi mereka tiada satu pun yang baik di pihak kerajaan, sampai ke bila pun kita tidak akan maju.

Sebab itulah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelajar yang mahu PTPTN dihapuskan sepatutnya memulangkan pinjaman mereka atau tidak mengambil pinjaman itu, bukannya mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya.

PTPTN adalah niat baik kerajaan untuk membantu golongan miskin melanjutkan pelajaran. Mungkin bagi sesetengah pemimpin pembangkang, mereka boleh berkata apa sahaja kerana anak-anak mereka bukannya menuntut di universiti tempatan, mereka mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menghantar anak mereka menuntut di institusi pengajian tinggi swasta atau ke luar negara.

Tetapi apa yang kerajaan buat dalam soal PTPTN ini adalah untuk golongan miskin, orang kaya (mungkin juga di kalangan pemimpin pembangkang) boleh berkata apa sahaja termasuklah menghasut supaya PTPTN dihapuskan. Namun apa akan berlaku kepada pelajar miskin yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti jika PTPTN tidak wujud? Apakah kita hendak mengharapkan pendidikan percuma? Negara mana yang benar-benar berjaya dalam memberi pendidikan percuma ini?

Kalau pun ada kenapakah pembangkang tidak membandingkan pertumbuhan ekonomi negara berkenaan dengan Malaysia? Kenapakah menyembunyikan fakta sebenar? Fakta ini tidak diketahui oleh kelompok mahasiswa yang turun berdemonstrasi tersebut kerana mereka hanya tahu untuk berseronok dan terpekik terlolong di jalan raya sahaja.

Oleh itu, dalam soal PTPTN ini, biarlah pembangkang yang memperalatkan segelintir mahasiswa dengan telatah mereka. Percayalah akhirnya kebenaran akan muncul . Apa yang penting kerajaan memberi penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai isu ini.

Kalau pembangkang berasa hebat sangat, maka pastikan semua institusi pengajian tinggi di bawah mereka memberi pendidikan percuma. Tetapi sekali lagi kita percaya pembangkang tidak berupaya berbuat demikian kerana mereka hanya 'tin kosong yang bunyi sahaja kuat tetapi isinya tiada.''

Tambahan pula, pembangkang pun tahu fakta sebenar memandangkan PTPTN diwujudkan oleh pemimpin pujaan mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kecuali bak kata Dr. Mahathir, ''itulah Anwar, dia lupa apa dia cakap."

Dan 'penyakit' lupa dan buat-buat lupa semakin ketara menyerapi pembangkang akibat sindrom 'tergila-gila' Putrajaya.

0 comments:

share2