TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menemui rakyat Kelantan pada Rabu lalu membayangkan betapa indahnya jika UMNO dan Pas boleh bersatu menjadi satu pasukan.
Percantuman ini akan memudahkan urusan kerajaan negeri dan Persekutuan kerana perselisihan faham dapat diminimumkan, program pembangunan dapat ditingkatkan untuk kepentingan masyarakat Melayu-Islam sendiri.
Pandangan Muhyiddin itu mempunyai kaitan rapat dengan kegusaran pelbagai pihak tentang rapuhnya hubungan sesama Islam yang berlaku di Malaysia apabila perbezaan fahaman politik mengheret bukan Islam semakin keras membuat pelbagai tuntutan dan desakan. Ada pemimpin politik bukan Melayu mempersoalkan peruntukan terhadap pengurusan masjid yang diberikan oleh kerajaan, penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pelbagai program yang melibatkan orang Islam sebagai satu bentuk diskriminasi terhadap pemeluk agama lain.
Namun demikian dalam desakan dan tuntutan itu ramai juga pemimpin yang kononnya berusaha mendaulatkan Islam menjadi goyah sehingga sanggup melenturkan asas perjuangan asal.
Perubahan ini bukanlah sesuatu yang boleh membantu memperkukuhkan Islam bahkan dalam sebuah tulisan terbaru, ada yang menyindir bahawa penyatuan orang Melayu bukan menggambarkan perpaduan Islam. Pandangan kabur itu sebenarnya hadir dalam pemikiran segelintir manusia yang lupa diri dan asal usulnya, kerana tidak dapat memahami watak Melayu itu sendiri diikat kuat dengan agama Islam.
Tema sambutan Hijrah pada tahun ini, Persefahaman Asas Perpaduan memberikan kita gambaran betapa pentingnya hubungan erat antara umat Islam perlu dibina semula bagi membangkitkan sebuah kehidupan lebih baik dan sejahtera. Islam memandang berat tentang persaudaraan bahkan sentiasa mengecam sikap sesebuah kelompok yang terlalu menganggap keyakinan politik dan pemikirannya sahajalah yang terbaik.
Peristiwa hijrah oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat - dari Mekah ke Madinah - merupakan detik kemenangan umat Islam. Ia berlaku di bawah ‘payung persaudaraan’ yang sewajarnya menjadi ikutan kepada kita dalam menempuh hidup yang kini semakin didorong arah persengketaan dan pertikaian tidak berpenghujung.
Terlalu banyak untaian ayat suci dan hadis tentang persaudaraan dilontarkan tetapi ia bagaikan angin lalu. Ramai yang lebih pentingkan diri dan membanggakan puak masing-masing. Lantas bahasa apakah yang paling memukau dan dapat menggerakkan jiwa untuk memahami dan bertindak sedangkan hakikatnya banyak lagi persoalan belum selesai?
Prinsip jemaah yang berdiri di atas tiang tafaahum (saling memahami), takaful (saling bertanggungjawab), ta‘awun (saling tolong menolong) dan tawa‘azum (timbang rasa), kini hanya tinggal kenangan. Jiwa kita kini di nista oleh gaya berfikir yang jauh daripada prinsip Islam. Kalau merenung secara mendalam dengan hati seorang mukhlis (ikhlas), apalah erti kehadiran parti-parti Islam dan organisasi Islam kalau bukan membangun persaudaraan Islam?
Bahkan para ulama Islam terdahulu yang kemudiannya dikatakan sebagai pembawa aliran mazhab sentiasa membuat pengakuan, jika ada pendapat lebih baik, maka ikutlah pendapat itu. Ini tidak diambil iktibar oleh umat Islam di Malaysia, sebaliknya terus mempertahankan seseorang sehingga kesalahan pemimpin itu seolah-olah tidak berlaku, lebih bersifat maksum.
Dalam zaman Rasullullah SAW, baginda tetap mengutamakan seseorang yang mahir dan pakar dalam bidang tertentu mengetuainya.
Mencontohi cara Rasullullah SAW menguruskan manusia adalah contoh terbaik bagaimana pengaruh kepimpinan, visi dan membentuk struktur sosial yang mantap sehingga kini terus dikaji sebagai model masyarakat pelbagai agama yang paling berjaya. Ia bukanlah sekadar iltizam politik bersifat retorik, ia melangkaui setiap tahap kehidupan dan dipandu dengan hemah dan bijaksana.
Dalam konteks itulah tema hijrah pada tahun ini boleh dijadikan penunjuk arah atas kesedaran bahawa pergolakan dalam kalangan orang Melayu banyak bersangkutan dengan permasalahan politik kepartian. Telahan Muhyiddin itu membawa makna besar, tetapi malangnya sesetengah pemimpin melihatnya sebagai negatif.
Dalam semangat menyambut hijrah adalah perlu diketengahkan semula semangat persaudaraan, kerjasama itulah memberikan kekuatan kepada Islam sehingga mampu lahir sebagai sebuah tamadun yang paling besar dan lama sepanjang sejarah manusia. Tetapi, malangnya kelunturan semangat penyatuan turut menyumbang kepada kehancuran tamadun Islam.
Kekuatan Islam di Malaysia tentunya lebih besar terletak di tangan orang Melayu. Maka dakwaan perpaduan Melayu tidak dapat menjamin kedaulatan Islam adalah pemikiran yang tercabut dari akar budaya, kerana tidak memahami orang Melayu terikat dengan Islam, meskipun mereka tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.
Menghayati peristiwa hijrah sebenarnya membawa kepada kelahiran semangat yang kental bagi menyucikan jasmani dan rohani. Islam melihat fitrah ciptaan manusia mempunyai dua sisi utama, iaitu jasmani dan rohani. Islam tidak mengiktiraf konsepsi manusia berdasarkan aliran pemikiran behaviorisme psikologi barat, bahawa manusia sebenarnya menuju ke pencapaian material dan kemantapan psikologi, tetapi hakikat psikologi tidak mengarahkan kepada keyakinan beragama. Psikologi hanyalah satu usaha memahami aspek kejiwaan. Ia tidak merangkumi bagaimana jiwa yang tenang itu sebenarnya terlahir daripada kekentalan iman dan dedikasi diri kepada Allah SWT serta bergerak seirama dengan kepentingan masyarakat, visi bangsa dan matlamat negara.
Jika kedatangan tahun baru Islam pun kita tidak memanfaatkannya sebagai saat untuk “memanggil kembali” semangat keagungan ukhuwah Islam daripada keeratan persaudaraan Muhajirin dan Ansar, maka siapakah kita ini sebenarnya?
0 comments:
Post a Comment