Seorang warga emas di Kampung Baru Peramu dekat sini terharu apabila menerima bantuan daripada Skuad Cakna Wanita UMNO Bahagian Kuantan di sini, baru-baru ini.
Zariah Mat Ali, 73, yang kematian suami sejak 13 tahun lalu menerima bantuan berupa 16 keping zink untuk membaiki atap rumahnya yang usang serta wang tunai dan hamper.
Menurutnya, dia bersyukur dengan bantuan tersebut dan menghargai keprihatinan pergerakan itu yang memahami kesulitan kehidupan mereka sekeluarga.
"Apabila hujan, bahagian dapur yang paling teruk bocor dan memang kena sentiasa bersedia dengan bekas tadahan supaya dalam rumah tidak basah," katanya selepas menerima rombongan skuad tersebut di sini, baru-baru ini.
Kunjungan yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Senator Datuk Zaiton Mat bersama Pengerusi Program Cakna,Siti Zainab Abd. Ghani.
Zariah kini bergantung harap dengan anaknya, Rosnani Mamat, 48, yang kini bekerja sebagai tukang cuci kira-kira sebulan lalu.
Rosnani ketika ditemui berkata, dia menghargai bantuan itu yang sedikit sebanyak mengurangkan beban dan kegelisahan terhadap ibunya apabila keluar bekerja.
"Saya juga baru bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan kasar RM420 sebulan. Sebelum ini saya kerja mencucuk satar dengan upah mingguan kira-kira RM20," katanya.
Dalam pada itu, Zaiton memberitahu, sejak program itu dimulakan pada awal bulan ini, kira-kira 400 orang sudah menerima pelbagai bantuan yang diberikan berdasarkan kesesuaian masing-masing.
Menurutnya, ia adalah aktiviti berterusan sepanjang masa dan mengamalkan konsep 'turun padang' dengan berhadapan golongan sasar yang layak dibantu.
0 comments:
Post a Comment