Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 22, 2011

Ancaman Terhadap Islam


Secara peribadi dan prinsipnya, saya memang tidak pernah takut jika ada agama lain,terutamanya Kristian, mahu mendakyahkan agama mereka kepada saya. Kita lihat nanti, siapa yang akan bersunat! Saya kenal diri saya dan saya bersedia. Persoalannya, kenapa saya menentang dakwah Kristian orang Islam (Melayu) di Malaysia ini? Jawapannya, orang Melayu Islam dilindungi oleh Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Inilah peruntukan perlembagaan yang tidak ada di negara Islam lain di dunia, kecuali Malaysia. Sepatutnya orang Melayu Islam perlu merasa bersyukur di atas perlindungan ini dan sedaya upaya mempertahankannya daripada diperkosa oleh tangan-tangan jahat yang sentiasa mahu mengambil peluang atas kelemahan yang berlaku hari ini.

Tahniah saya ucapkan kepada Hasan Ali terhadap pendedahan ini. Kalau tidak didedahkanpun, saya sudah masak dengan taktik dan strategi licik mereka, kerana saya pernah bersama mereka sebelum Islam. Yang peliknya, orang barat yang asal Kristianpun, tidaklah terlalu obsess untuk mendakyah agama mereka, tetapi ultra kiasu putih celup ini begitu bersungguh-sungguh melakukan ke atas orang Melayu Islam, yang begitu jelas bertentangan dengan perlembagaan. Sudah tentu kita sudah dapat membaca makna yang tersurat dan tersirat. Di tempat saya bekerjapun tidak kurang hebatnya.

Untuk makluman, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengesan lapan cara yang dilakukan oleh pihak Kristian bagi mendakyahkan orang Islam. Antaranya dengan menggunakan sejenis radio rakaman menggunakan tenaga solar yang dimuatkan dengan cerita-cerita Kristian atau disebut ‘Solar Powered Handheld Talking Bible’.

Cara lain termasuk menubuhkan pelbagai pertubuhan kebajikan atau persatuan bagi tujuan memberi bantuan berbentuk kewangan terhadap mereka yang mempunyai kesempitan hidup seperti ibu tunggal, orang miskin, warga emas dan lain-lain. Selain wang tunai, tarikan lain termasuk pemberian keperluan harian, modal perniagaan dan pelbagai lagi. Dakyah-dakyah juga disebarkan melalui internet dengan pelbagai pendekatan dan tawaran.

Ini termasuk hiburan, bantuan, khidmat nasihat, kelas dan lain-lain. Bagi mengaburi pihak berkuasa, pihak Kristian membina pusat-pusat komuniti bagi menyebarkan dakyah mereka. Mewujudkan kelas-kelas tuisyen percuma kepada orang-orang Islam mahupun bukan Islam sambil menyebarkan sedikit demi sedikit kepercayaan agama Islam. Penyebaran risalah-risalah di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah kediaman dan juga di IPTA. Menterjemahkan Injil ke dalam bahasa Melayu. Penggunaan kalimah Allah juga digunakan dalam penulisan Kristian.

Saya amat mengharapkan umat Islam akan bersatu dengan pendedahan ini bukannya dengan mengutuk atau menyalah Hassan Ali atau mungkin Umno. Langkah JAIS untuk memperkenalkan enam tindakan dan langkah pencegahan murtad hendak disokong oleh semua umat Islam dan negeri-negeri dalam persekutuan. Ini termasuk menguatkuasakan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) 1988 terhadap mana-mana individu, persatuan atau pertubuhan yang mendakyah agama selain Islam kepada orang Islam.

PAS tidak perlu takut kepada ultra kiasu dalam hal ini, termasuk jika bukan Islam menggugut tidak mengundinya gara-gara pendedahan Hassan Ali. Jangan biarlah Hassan Ali terkonteng-konteng seorang diri menghadapinya. Niat Hasan Ali amat murni. Cubalah fahami beliau. Umnopun begitu, sokonglah Hassan Ali tanpa berbelah bahagi walaupun berlainan topi. Dalam PAS pun Hassan Ali sudah dipinggirkan.

Saya ingatkan PAS, jangan terlalu berharap atau terlalu bergantung harapan kepada ultra kiasu. Orang yang berada di atas pagar dan simpati dengan PAS akan lari. Seperti yang saya katakan, PAS perlu meletakkan lebih kepercayaan saudara sebangsa seagama, daripada bukan saudara, tidak sebangsa, tidak seagama. Sampai bila-bilapun ultra kiasu tidak boleh dipercayai, kecuali mereka yang sedar diri dan lembut dengan Islam.

Selama inipun, saya yakin, tidak ramai ultra kiasu yang mengundi PAS. PAS banyak mendapat undi protes daripada orang UMNO sendiri dan Melayu yang lain. Ultra kiasu, termasuk juga PKR memang tidak pernah selesa dengan PAS, apatah lagi dengan konsep negara Islam dan undang-undang hudud yang diperjuangkan. Ramai orang Umno yang saya kenali yang mahukan Islam.

Kita perlu ingat terdapat dua orang andartu dan beberapa yang lain yang memegang jawatan exco negeri Selangor dan Pulau Pinang amat kuat mempropagandakan ajaran Kristian kepada orang Melayu Islam. Saya amat hairan kenapa PKR masih lagi membutakan mata. Dek kerana kuasa, mereka sanggup bersekongkol dan tidak mampu untuk menegur sekalipun. Saya juga ingin melihat orang bergelar ‘pakar perlembagaan’ seperti Profesor Aziz Bari pun akan tampil memberikan pandangan dari sudut undang-undang. Janganlah kerana terlalu baik dengan ultra kiasu maka kita membisu. Hairan juga saya, bila ultra kiasu meminta pandangan, terus menjawab tanpa segan silu. Namum, tiba kepentingan Islam dicarik dan dirobek, ramai yang masih membisu kerana mahu menjaga hati dan kuasa.

Ultra kiasu dan pihak Kristian hari ini sudah menjadi semakin berani. Mereka mempertikaikan kedudukan Melayu dan Islam yang jelas termaktub dalam perlembagaan tanpa rasa segan silu. Selain daripada agama Islam, isu-isu berkaitan Melayu Islam turut dicabar hebat. Kewujudkan UiTM, USIM, UIA, MARA, Matrikulasi dan sebagainya dijadikan bahan untuk memburukkan Islam dan mempropagandakan ketidakadilan, seolah-olah berlaku dasar apartheid. Sila baca artikel terbaharu ‘Profesor’ Khoo Kay Peng yang dihantar oleh ultra kiasu kepada saya. Pelbagai tuduhan dilemparkan kerajaan dan orang Melayu Islam. Termasuklah sistem peperiksaan yang kendalikan.

Dakwanya, pelajar bukan Melayu disusahkan dengan peperiksaan STPM, manakala pelajar Melayu disenangkan melalui peperiksaan di institusi MARA dan Matrikulasi kerana soalan dibuat sendiri oleh guru atau pensyarah di institusi berkenaan. Maka tidak hairanlah katanya, ramai pelajar Melayu mendapat keputusan yang cemerlang setiap tahun. Tuduhan ini amat melampau, biadab dan kurang ajar. Jika begitulah keadaannya, bermakna, pelajar-pelajar universitipun turut terlibat sama kerana majoritinya adalah juga orang Melayu dan bumiputera. Persoalannya, sSiapakah yang paling ramai mendapat kelas pertama dan kedua atas setiap kali konvokesyen di IPTA atau IPTS. Adakah dengan adanya ramainya pensyarah Islam di IPTA, maka soalan-soalan dibocorkan kepada pelajar-pelajar Melayu. Bagaimana pula dengan pensyarah bukan Melayu, adalah soalan tersebut tidak dibocorkan pelajar bukan Melayu? Lemah sangat pemikiran ‘profesor’ tersebut.

Kenapa Kay Peng tidak menyebut langsung kewujudan universiti merdeka seperti UTAR, Universiti Terbuka Wawasan, AIMST dan ratusan IPTS yang dipunyai oleh bukan Melayu dan ultra kiasu? Tidak cukupkah universiti tersebut untuk menampung bukan Islam yang kurang daripada 40 peratus. Lihatlah saban tahun bagaimana mereka mendesak kerajaan memberikan biasiswa, penempatan di universiti untuk subjek-subjek kritikal dan sebagainya. Apakah kemasukan mereka ke IPTA dan IPTS tidak menunjukkan lambakan bukan Melayu berada di menara gading? Kenapa dan mengapa umat Islam sering dijadikan mangsa dan dikatakan rasis, sedangkan ia merupakan ‘hak’ mereka selaku peribumi?

Pernahkah orang Islam menuduhkan guru atau pensyarah IPTS memberikan soalan bocor kepada pelajar-pelajarnya? Penulis artikel yang mendakwa dirinya profesor ini sepatutnya membuat penyelidikan yang terperinci. Bila kena pada Melayu Islam dikatakan rasis. Bila kena pada mereka, itu adalah keadilan. Adakah hujah bodoh ini wajar diketengahkan sebagai seorang yang bergelar profesor?

Berapa ramai pelajar Melayu yang gagal di IPTA berbanding pelajar bukan Melayu setiap tahun? Jika tenaga pengajar Melayu membocorkan soalan peperiksaan sudah tentu pelajar-pelajar Melayu sahaja yang akan mendapat markah terbaik. Tetapi hakikat sebenarnya bagaimana? Tuduhan liar, tidak berasas dan amat tidak bertanggungjawab? Adakah semua kemudahan ini dapat dikecapi oleh umat Islam yang menjadi minoriti di China dan India? Adakah umat Islam di sana dibenarkan berkata ini adalah rasis? Sila jawab profesor?

Persoalan GLC, perjawatan di sektor awam dan agihan saham amanah juga dibangkitkan. Buatlah kajian berapa ramai bukan Melayu yang telah dilantik memegang dalam tinggi dan pembuatan dasar. Lihatlah juga apa yang telah berlaku kepada Petronas. Siapakah yang lebih berkuasa, Melayu atau ultra kiasu? Berapa ramai bukan Melayu yang telah dimasukkan menjadi ahli lembaga pengarah Petronas? Tanyalah orang Melayu yang berada di Petronas betapa sakitnya hati mereka melihat keadaan ini bila mana pekerja Melayu mula dipinggirkan, termasuk pemberian kontrak. Justeru, saya mohon dan merayu kepada Melayu Islam yang memegang jawatan tinggi di Petronas dapat memantau perkara ini. Jangan hanya seronok dan khayal dengan jawatan tinggi yang diberikan. Jawatan itu amanah, laksanakan dengan baik-baiknya. Fikirkanlah sama baik buruknya kepada masa depan agama dan bangsa dalam membuat sebarang keputusan.

Satu persoalan lagi, kenapa tidak dibandingkan dengan lambakan sektor swasta yang dikuasai oleh bukan Melayu melebihi 70 peratus yang rata-ratanya mengambil pekerja bukan Melayu dengan meminggirkan orang Melayu Islam? Usahlah ditanya kedudukan dan penggunaan bahasa Melayu di sana. Langsung tidak dipraktikkan atau didaulatkan. Jika adapun pekerja Islam dan bahasa Melayu digunakan, ia hanya untuk melariskan jualan. Lihatlah bagaimana orang Melayu (termasuk pekerja Indonesia) diperalatkan untuk kepentingan perniagaan mereka.

Saya menyeru kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan perancangan ultra kiasu yang jelas-jelas bersekongkol dengan Kristian untuk memusnahkan Melayu dan Islam. Selaku Cina Islam, saya perlu bangkit mempertahankannya, kerana jika lenyap Islam, maka lenyaplah Melayu, begitulah sebaliknya. Justeru, ancaman terhadap Islam, wajar diperangi kerana kesannya akan melenyapkan sistem kenegaraan Melayu yang berteraskan Islam.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

0 comments:

share2