Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 26, 2011

Rumah Terbuka Mengeratkan Perpaduan


Masyarakat pelbagai kaum di daerah ini boleh meningkatkan lagi perpaduan mereka menerusi sambutan hari perayaan mengikut budaya masing-masing.

Pengarah Urusan Raub Australian Gold Mining (RAGM), Datuk Ir. Azinudin Abdul Rahim berkata, sebagai sebuah syarikat swasta yang bertanggungjawab pihaknya terpanggil untuk meraikan semua perayaan yang membabitkan semua kaum dan warga daerah ini.

Katanya, melalui sambutan perayaan seperti itu, penduduk berbilang kaum akan lebih memahami budaya rakan-rakan mereka dan memupuk semangat kekitaan walaupun berlainan agama dan budaya.

''Tahun lalu RAGM mengadakan sambutan Tahun Baru Cina dan tahun ini kita meraikan sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri 1Malaysia.

''Kami berharap aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat mendokong cita-cita untuk membina sebuah negara yang aman, makmur dan progresif," katanya semasa berucap merasmikan majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 1Malaysia-RAGM 2011 di Dataran Raub di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif RAGM, Datuk Seri Andrew Kam Tai Yeow; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Moin; ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Ismail Mohd. Ali.

Seramai 10,000 warga Raub membanjiri Dataran Raub dengan dihiburkan beberapa penyanyi, antaranya Uji Rashid, Hail Amir, Sheqal, Hazama AF9, Haiza dan Eja.

Majlis tersebut bertambah meriah dengan kehadiran pelakon yang juga pengacara, Sharifah Shahira yang bertindak sebagai pengacara.

Menurut Azinuddin, selain operasi carigali emas, RAGM juga turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan seperti memberikan bantuan kepada golongan miskin, kurang upaya dan pendidikan.

''Selain mewujudkan 200 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, kehadiran kami di sini turut memberi impak dan merangsang pertumbuhan kitaran ekonomi yang berterusan kepada penduduk tempatan," kata beliau.

0 comments:

share2