Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 23, 2011

Perkampungan Di Jerantut Bakal Dibangunkan


Projek membesarkan kampung di daerah ini boleh dijadikan alternatif bagi mengatasi masalah kesukaran membina rumah dan penduduk yang padat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, projek tersebut dapat membantu mengatasi masalah kepadatan penduduk di kawasan perkampungan yang kecil.

"Setakat ini di Jerantut kita telah jalankan projek tersebut di Kampung Bukit Genting, Bukit Dinding serta Kampung Gintong," katanya pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri dan ramah mesra bersama rakyat di Kampung Sungai Par di sini, hari ini.

Menurutnya, melalui projek membesarkan kampung, setiap keluarga akan diberi tanah untuk membina rumah sendiri dan generasi kedua pula akan turut mendapat bahagian sekiranya masih terdapat kekosongan.

"Penduduk di sini meminta kerajaan membina rumah kos rendah di kawasan mereka, namun saya rasa projek membesarkan kampung lebih baik kerana ia akan memberi manfaat kepada semua penduduk.

"Ketua kampung perlu mencari kawasan lapang yang boleh dijadikan penempatan dan saya akan mengemukakan perkara tersebut kepada kerajaan negeri," ujarnya.

Sementara itu, Penghulu kampung berkenaan, Mohd. Nasir Abdullah Sani berkata, semua penduduk bersetuju dengan cadangan membesarkan kampung tersebut.

"Kami akan mencari kawasan lapang berhampiran untuk membina penempatan baru bagi mengatasi kepadatan penduduk dan sekali gus dapat mengatasi penghijrahan penduduk ke kawasan bandar," jelasnya.

0 comments:

share2