Seramai 1,551 murid di daerah ini menerima bantuan tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM310,200 baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil berkata, bantuan itu disalurkan kepada ibu-bapa murid yang berpendapatan rendah dan tidak mampu membayar yuran serta membeli peralatan sekolah.
Menurutnya, tabung itu yang diwujudkan sejak 2003 adalah salah satu usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).
"Kerajaan memberi fokus membasmi keciciran murid akibat kemiskinan sekali gus menyediakan hak pendidikan sama rata dalam menjana kecemerlangan negara," katanya selepas majlis penyampaian wang tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.
Menurutnya, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit, seramai 357 murid dari 12 sekolah di sini menerima sumbangan sebanyak RM71,400.
Jelasnya, penubuhan tabung itu adalah selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuat kuasa mulai Januari 2003 di bawah Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Katanya, akta itu mewajibkan ibu-bapa menghantar anak mereka ke sekolah mulai usia tujuh tahun supaya semua rakyat mendapat hak pendidikan terbaik.
0 comments:
Post a Comment